Followers

Saturday, September 19, 2009

Perutusan Hari Raya Presiden PAS

Presiden PAS

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ramadhan Al Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.

Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ianya merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita : bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara.

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan Al Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawadhuk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Eid Mubarak kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ikhlas,

Presiden PAS

Thursday, September 17, 2009

80% golongan muda tidak sokong BN - Daim

Tun Daim kata 80 peratus golongan muda tidak sokong BN kerana sebab-sebab di bawah ini:

KUALA LUMPUR, 16 Sept: 80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Sebenarnya bukan sebab yang disebutkan oleh Tun Daim itu sahaja, ada banyak sebab lain lagi.

Semua orang tahu, golongan muda tidak menyokong BN khususnya UMNO kerana menyertai parti ini bermakna menjadikan diri golongan terjajah, yang menjadikan mereka tidak berjiwa merdeka. 'Penjajahan' parti ini terhadap mereka yang menyokong dan menyertainya sangat dahsyat. Mereka menjadi macam takut-takut dan 'bodoh' dalam berfikir, fanatik dan jumud.

Kita boleh lihat, rakyat tidak suka rasuah tapi apa jenis SPRM yang ada sekarang ? 'Jerung-jerung' relek sahaja! Sistem kehakiman menjadi bercelaru dan macam hilang integriti. SPR memang jelas dan terang menjadi 'anggota' tak rasmi BN atau macam salah sebuah sayap UMNO. PDRM duduk sibuk dengan memantau aktiviti Pakatan Rakyat yang tidak membahayakan keselamatan negara pun. Tengok, sudahlah negara semakin tidak ada duit , nak bagi bonus kepada pekerja sendiri pun tak mampu, nak masuk pulak formula one?

Pemimpin-pemimpin UMNO/BN tahu rakyat tak suka semua ni , tapi mereka buat tak kisah sahaja kepada pemikiran rakyat!

Kalau macam ni bukan golongan muda sahaja yang tidak akan sokong UMNO/BN, hantu betulpun, kalau boleh mengundi tak akan pangkah puak-puak ni !!

Monday, September 14, 2009

PAS santuni, dekati penghuni 'belakang mati'

Azamin Amin

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Sept:Tiba-tiba belakang bangunan PAS itu jadi tumpuan bak lebah mengerumuni madu. Tidak semena-mena kelibat para penghuni lorong gelap, golongan gelandangan serta marhaen, anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan maknyah melabuhkan diri dalam sebuah program PAS.

Program yang berjaya menyatukan semua golongan daripada aneka jenis latar belakang. Daripada masyarakat bawahan, miskin ataupun yatim masing-masing bersama meluangkan masa beramah mesra dengan pimpinan PAS.Sama-sama bersila, bersimpuh dan bersentuh lutut tatkala menjamu selera ketika berbuka puasa.


Itulah keistimewaan dan keunikan program PAS yang diberi nama Semarak dan Semerak Ramadan PAS yang berlangsung buat julung kalinya petang semalam di belakang bangunan pejabat agung PAS Jalan Raja Laut. Ia berjaya melakarkan sejarahnya yang tersendiri dengan sambutannya yang cukup luar biasa dan luar jangka.

Sungguhpun, pada asalnya penat merempuh jalan raya yang sesak menuju ke pejabat PAS ini, namun hilang lelah tatkala melihat kehadiran orang ramai dan aktiviti yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat. Lebih kagum kesungguhan para petugas menjayakan program ini, sungguhpun suasana Ramadan berbaki tujuh hari dan bakal melintasi Syawal tak lama lagi.

Bermula jam 2.00 petang, di bawah enam khemah 'berkipas' yang boleh menampung kehadiran lebih 200 orang, program dimulakan dengan membuka kaunter perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma daripada doktor dan pengamal perubatan alternatif yang didatangkan khas daripada Darussyifa, khidmat nasihat guaman syariah dan sivil daripada tiga peguam dan khidmat kaunseling daripada seorang pakar.

Selain itu, terdapat kaunter pusat khidmat wakil rakyat kawasan Titiwangsa bagi para pengundi untuk mengajukan masalah setempat dan kaunter daftar Ahli PAS dibuka bagi yang berminat.

Mengkagumkan, semua kaunter dipenuhi dengan orang ramai yang berhajat tanpa rasa segan dan silu. Tanpa kecuali Harakahdaily juga sempat menjengah satu persatu kaunter yang dibuka bagi mendapat beberapa info untuk menambah ilmu diri.

Seperti di Kaunter Guaman, Harakahdaily dimaklumkan bahawa antara aduan, kes ataupun masalah yang dirujuk lebih tertumpu kepada hal ehwal rumah tangga seperti nafkah pencarian, tuntutan harta, cerai berai dan melibatkan ibu tunggal yang bermasalah. Kaunter ini, diselia oleh peguam Ahmad Zamri dan Marlina Amir.

Terdapat pameran informasi undang-undang turut dipaparkan di belakang khemah bagi orang ramai mendapatkan sedikit sebanyak maklumat berkaitan antaranya seperti urusan pembahagian harta, keadilan kes rumah tangga dan juga hak-hak yang wajar diketahui umum. Tanpa kecuali risalah dan pamplet berkaitan juga turut diedarkan.

Menarik perhatian, apabila seorang remaja lelaki cuba mendapatkan rawatan bengkak kaki daripada Ustaz Mohd Ali Jamil daripada Darussyifa. Bukan itu sahaja, beberapa orang bukan Islam juga turut mendapatkan khidmat nasihat Ali Jamil yang diberikan secara percuma juga.

Kaunter kesihatan juga tidak menang tangan dibuatnya, apabila hadirin cuba mendapatkan nasihat para doktor yang bertugas berkaitan penyakit yang dihadapi seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Kira-kira jam 3.00 petang,pengacara majlis berbesar hati mengumumkan sejumlah 27 orang telah mendaftar sebagai ahli PAS, yang rata-ratanya terdiri daripada remaja dan pemuda sekitar usia 18 sehingga 30 tahun.

Terdapat dua tabung disediakan di dalam khemah bagi orang ramai yang berhajat menyumbangkan dana untuk disalurkan bagi tujuan aktiviti "Kami Prihatin" anjuran Parlimen Titiwangsa seterusnya untuk golongan yang kurang bernasib baik. Mencuri perhatian orang ramai apabila seorang warga emas berbangsa Cina, menderma sejumlah wang ke tabung tersebut.

Sungguhpun, hujan lebat mula membasahi pekarangan kawasan program namun semangat dan keinginan orang ramai khususnya penghuni lorong 'belakang mati' untuk merapat dan mendekati, tidak patah bahkan semakin menyemarak untuk menyertai aktiviti yang sedia ada.

Tidak dinafikan, di belakang lorong, terdapat juga beberapa orang penghuni yang agak segan dan malu-malu alah untuk menjengah sungguhpun dialu-alukan oleh pengacara dari masa ke semasa.

Ada yang meninjau dari balik belakang bangunan, mengintai dari tepi dinding dan tingkap. Ada yang mahu tapi malu.

Setelah agak lama memerhati ragam hadirin, Harakahdaily sempat beramah dan berkongsi cerita dengan dua orang saudara baru yang begitu kagum dengan program yang dianjurkan oleh PAS ini.

Bagi Muhd Ali Beh Abdullah, 53 yang berasal dari Miri Sarawak dan Muhd Hassan Che Peng Abdullah, 35, program ini wajar diteruskan dan dijadikan acara tahunan kerana aktiviti yang dijalankan begitu bermanfaat buat masyarakat khususnya saudara baru seperti mereka yang dahagakan ilmu.

"Saya minat Islam bila pergi masjid dengan kawan-kawan melayu. Bila saya cuba-cuba sembahyang, hati sangat tenang," kata Hassan yang memeluk agama Islam, 4 bulan lalu.

Sungguhpun begitu, kedua-dua mereka melahirkan rasa kecewa dengan layanan yang diberikan oleh dua agensi agama kerajaan yang dilihat tidak mengambil berat hal ehwal kebajikan saudara baru khususnya melibatkan zakat yang tidak mereka terima.

Mereka ini, adalah antara empat saudara baru yang hadir mengetahui program ini melalui iklan kain rentang yang dipamerkan di pejabat agung PAS itu.

Bagi Norliyana Zanar 16, yang hadir bersama empat adik-beradiknya yang lain, begitu seronok ketika dijemput oleh pihak penganjur untuk sama-sama memeriahkan program tersebut dan dia merupakan antara 18 anak yatim Kampung Jawa yang diraikan oleh PAS.

"Raya ini macam biasa dan ala kadar sahaja sahaja. Baju raya pun belum beli lagi," katanya yang telah kehilangan ayah tercinta kerana sakit asma semenjak dia tadika lagi.

Nafas turun naik, namun tetap semangat

Selepas solat Asar secara berjemaah bersama hadirin di Suaru Tingkat 1, Bangunan PAS itu, majlis diteruskan dengan ucapan aluan-aluan oleh 'orang kuat' dan tulang belakang program iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Pengerusi Lajnah terbabit Dr Lo' Lo' Ghazali.

Cukup teruja melihat beliau, yang dalam keadaan kesihatan yang masih kurang stabil, masih gigih berusaha menjayakan program di samping menitipkan kalimah semangat buat hadirin.

"Maafkan saya kerana bertopeng. Bukan kerana tuan dan puan tetapi kerana masalah kesihatan radang saya yang tidak mengizinkan dan cukup berisiko tinggi bila berada di khalayak umum," katanya yang telah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dua minggu yang lalu.

Kelihatan beliau yang agak semput, dan laju turun naik nafasnya, masih bersemangat menyampaikan tazkirah dan ucapannya kepada hadirin.

"Kita mahu sama-sama mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat. Ambillah iktibar, seorang pelacur yang memberi minum kepada seekor anjing juga dapat masuk syurga.

Beliau menyeru supaya golongan yang tersasar di Lorong Haji Taib dan Chow Kit itu, mencari rahmat Allah kerana jalan untuk bertaubat dan kembali terbentang luas.

"Kalau tak mampu berlari, merangkaklah secara perlahan,"jelasnya dengan nada suara yang semangat.

Sungguhpun kelihatan agak penat sambil diusap belakang oleh petugas dan anak beliau, Dr Lo' Lo' mampu mencebiskan kata-kata hikmah selama 10 minit kepada hadirin, yang tekun mendengar luahannya.
Sejurus itu, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambil tempat sekaligus merasmikan program yang cukup bermakna bagi PAS dan juga warga lorong gelap itu.

"Tidak ada manusia yang tidak ada dosa. Malahan saya sendiri ada dosa. Para Nabi juga pernah buat silap.

"Ini kelemahan manusia, justeru tuhan memberi peluang untuk kita bertaubat dan merahmati. Allah beri peluang supaya kita tidak terlambat. Oleh itu rebutlah peluang itu khususnya di bulan Ramadan ini," katanya yang membuat hadirin, masing-masing pegun dan khusyuk mendengar suntikan semangat daripada Presiden PAS itu.

Turut hadir di perasmian itu ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Mohammad Nor, Pengarah Program Brig Jen (B) Abdul Ghani Mahludin

Selesai program perasmian jam 7.00 malam, orang ramai dan pimpinan PAS mula beratur mengambil makanan dan duduk bersila di lantai khemah, bersiap-sedia menantikan waktu berbuka.

Kelihatan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Mantan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin; ADUN Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani, Presiden Anak, Mazlan Aliman dan Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh antara pimpinan PAS yang 'menanggalkan' gelaran Dato' mahupun Yang Berhormat untuk sama-sama merasai 'kenikmatan' dan denyut nadi bersama golongan akar umbi ini.

Mereka sama-sama turun padang, berbuka puasa dengan makanan bungkus dan tidak kekok mereka menyapa orang ramai sambil bersalaman dan bertukar-tukar cerita antara satu sama lain.

Dengan juadah hidangan bungkus nasi tomato berlauk ayam, bubur lambuk dan kuih agar-agar membuatkan masing-masing begitu berselera sekali menjamu tatkala, azan mula berkumandang di ruang angkasa lorong Haji Taib dan Chow Kit itu.

"Program ini bagi mengeratkan hubungan dengan jiran kita dari lorong ini. Dengan sumbangan dan pemberian yang tak seberapa daripada PAS ini, walaupun tak dapat menyelesaikan semua masalah, sekurang-kurangnya dapat menceriakan Ramadan dan Aidilfitri mereka nanti, " kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.

Perkara ini turut diakui sendiri oleh Pengasas dan Penyelia Rumah Perlindungan Sinar Salam, Afidah Ab Latif, yang mengendalikan dan menyelia lebih 40 anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan golongan gelandangan di Chow Kit.

"Program ini akan lebih mengakrabkan lagi hubungan dengan golongan tidak bernasib baik. Dan program ini mesti dilakukan selalu," katanya yang terharu dengan sumbangan yang disampaikan oleh PAS.

Kemudian, setelah solat Maghrib berjemaah yang diadakan di bawah khemah, majlis sumbangan derma dan cenderahati disempurnakan oleh Dr Hatta dan Ustaz Mohammad Nor.

Suasana begitu ceria sekali dan 'gamat' apabila golongan gelandangan dan orang ramai khususnya kanak-kanak sejumlah 80 orang mula mengerumni kedua-dua tokoh untuk mendapatkan duit raya yang disediakan penganjur.

Malam ini, malam bahagia mereka bagi anak-anak yatim, anak-anak pekerja seks, si fakir miskin,si jalanan dan golongan yang terjerumus ke kancah hitam, moga terbit rasa insaf diri setelah disantuni dan didekati PAS sendiri.

Kelihatan terbit raut bahagia dan teruja di wajah mereka kerana sudi dilayan dan dimesrai oleh PAS, sekaligus tidak dipinggirkan sungguhpun di balik tabir, hidup mereka dibaluti kelam dan suram.

Majlis dan program yang berlangsung selama enam jam dan berakhir 8.30 malam itu, telah mula mencebiskan nama PAS dan parti itu mula meniti dibibir mereka sejak dua tahun 'bertapak' di lorong ini. PAS mula disegani, dan semakin ramai mahu mengenali. Dan Slogan "PAS for All" dan "Negara Berkebajikan" membuktikan kebenarannya hari ini, dan lorong ini semalamnya menjadi saksi !

Suara rakyat suara keramat

Itulah yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib di Sabah. Suara rakyat suara keramat !

Apakah Perdana Menteri baru sedar atau sudah lama sedar atau sedar tetapi sengaja buat tidak sedar ?

Katanya, pemimpin adil perlu menjaga kepentingan semua rakyat dan bukannya hanya menjaga kumpulan penyokong atau ahli parti sahaja. Hakikat itu perlu menjadi pegangan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, yang menjadi penentu jatuh bangun pemimpin adalah rakyat. Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat.

Katanya lagi, "saya mahu menjaga 27 juta rakyat Malaysia dan saya harap ini menjadi sikap pemimpin kita di semua peringkat."

Alangkah cantiknya keazaman tersebut.Apabila dilaungkan suara rakyat suara keramat dan apabila ditempikkan rakyat perlu diutamakan, apakah realitinya begitu atau hanya laungan dan tempikkan hipokrit semata-mata:

1. Rakyat turun di jalan raya mendesak dimansuhkan ISA, akta zalim tanpa bicara, rakyat digodam dan ditangkap dijalanan.

2. Rakyat turun di jalan raya mendesak PPSMI dimansuhkan segera dan serta merta demi memartabatkan kembali Bahasa Melayu, kerajaan UMNO/BN semacam kecewa dengan tuntutan rakyat dan pemansuhan hanya menggunakan apa yang mereka panggil "soft landing". Rakyat mahu serta merta, UMNO/BN guna soft landing !! Rakyat didahulukan ??

3. Rakyat di negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak memilih Pakatan Rakyat tetapi kerajaan UMNO/BN sibuk mengganggu, menekan dan mendiskriminasi pilihan rakyat. Rakyat didahulukan atau rakyat ditekan ?

4. Rakyat Perak turun ke jalan memprotes rampasan kuasa di Perak. Kerajaan UMNO/BN buat pekak telinga.

5. Banyak perkara yang rakyat Perak protes kerajaan Najib di Perak. Kalau tak percaya bubar DUN Perak !

6. Rakyat Islam dan bukan Islam kecewa dengan demonstrasi kepala lembu berdarah di Shah Alam tetapi penganjur demonstrasi hanya di bicara di mahkamah majistret, itu pun katanya kerana PRK Bagan Pinang.

7. Mahalkan harga minyak hijau. Upgradekan minyak merah jadi minyak kuning dengan harga yang lebih tinggi. Kereta majoriti rakyat jadi berdengung. Rakyat diutamakan!!?

8. Setiap kali datang musim raya, rakyat dipaksa beli gula pasir tak lebih dua kilo. Merata-rata rakyat pergi beli gula ! Kalau ke kedai runcit untuk hanya membeli gula, kena bertengkar dengan tokeh kedai dulu, baru dapat. Rakyat diutamakan !!

9. Kartika yang sudah insaf dan bersedia serta rela untuk menerima hukuman sebat mahkamah syariah, ada pula tangan-tangan liar berhasrat membatalkan hukuman tersebut.

7. Masalah generasi kedua FELDA belum selesai-selesai, FELDA pula dicadang dikonsortiumkan dengan FELCRA dan RISDA.

Dan banyaklah 'suara rakyat suara keramat' hanya di mulut pemimpin yang akhirnya nanti rakyat juga akan 'dijual' !!