Followers

Saturday, August 22, 2009

Sayangkah lagi kita kepada UMNO ?


Itulah UMNO. Menyusahkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan menyusahkan orang Melayu serta mereka yang menentang PPSMI. Enam bulan sahaja untuk berubah kepada PPSMI. Lapan tahun untuk mansuhkan PPSMI sepenuhnya dengan seribu satu alasan yang mengarut ! 5 billion boleh untuk projek PPSMI kenapa tidak boleh 5 billion untuk mansuhkan PPSMI khususnya untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

UMNO memang parti yang menyusahkan kerana pemimpin-pemimpin UMNO suka memperkecilkan pandangan dan hasrat rakyat terbanyak. Pak Samad Said dalam umur 75 tahun bersama pejuang-pejuang bahasa Melayu amat kecewa dengan Kerajaan UMNO sekarang. Jelas Menteri Pelajaran bertindak licik untuk menenangkan kemarahan seketika waktu tetapi kini telah membangkitkan semula kemarahan pencinta bahasa ibunda.

Jelas, kalau ada orang berkata jika UMNO tidak memerintah, orang Melayu akan lemah dan hilang kuasa. Sesungguhnya orang itu adalah orang yang sedang bermimpi ataupun mungkin pembodek nombor satu negara demi tembolok sendiri !

Tidak terfikirkah orang itu, selama 52 tahun UMNO memerintah:

1. Kuatkah ekonomi orang Melayu kini ? Banyak mana kedai-kedai besar dan pasaraya Melayu di bandar-bandar ?

2. Perkasakah Bahasa Melayu kini dalam semua bidang ?

3. Stabilkah politik Melayu kini semenjak persempadanan semula yang dilakukan oleh kerajaan UMNO yang memerintah ?

4. Semakin berkurangankah anak-anak Melayu menjadi penghutang saban tahun?

5. Makin berkurangan atau makin bertambah kini orang-orang Melayu menjual tanah kepada bukan Melayu di kampung-kampung? Apa makna semua ini? Kukuhkah ekonomi orang Melayu jika begini setelah 52 tahun UMNO memerintah?

6. 52 tahun memerintah tanya mufti Perak ramai mana orang melayu murtad ?

7. Banyak lagi soalan yang boleh ditanya tentang mantapkah orang Melayu dalam tempoh 52 tahun UMNO memerintah ? Kita fikir sendiri !

Sayangkah lagi kita kepada parti ini ? Menyusahkan !

Friday, August 21, 2009

UMNO kian menjadi parti yang menyusahkan orang lain

Semenjak berketuakan Dr Mahathir hingga kini, UMNO telah menjadi sebuah parti yang menyusahkan. Menyusahkan orang dan menyusahkan orang Melayu ! Ramai orang susah kerana UMNO. Banyak pihak yang susah kerana UMNO.

Antaranya:

1. Ramai anak-anak Malaysia terutama anak-anak Melayu susah kerana selepas belajar mereka menjadi penghutang kerana UMNO mewujudkan PTPTN.

2. Ramai pelajar-pelajar susah kerana UMNO wujudkan PPSMI

3. PDRM susah buat kerja kerana UMNO menyusahkan.

4. SPRM mendapat reputasi yang buruk kerana menjadi 'kuda tunggangan' UMNO yang menyusahkan.

5. SPR susah hendak berkerja secara bebas dan berintegriti kerana UMNO menyusahkan.

6. Ramai pegawai-pegawai kerajaan susah kerana kerenah UMNO yang menyusahkan.

7. Orang Kg Berembang dulu susah kerana pemerintahan UMNO Selangor zaman Khir Toyo yang menyusahkan.

8. Orang Kg Buah Pala pun susah sekarang kerana warisan lepas tangan kerajaan tajaan UMNO di Pulau Pinang dulu.

9. Ramai orang Melayu Pulau Pinang menjadi orang yang susah kerana UMNO sukan menyusahkan.

10. Tak pasal-pasal Yusri seorang diri dapat susah kerana calon UMNO Ruhaizat bertanding di Permatang Pasir.

Sebenarnya banyak lagi bukti yang UMNO memang menyusahkan. UMNO kini parti yang kian menyusahkan orang dan banyak pihak!!

17 pengkhianatan UMNO kepada Malayu, kata Kamarudin


Oleh Afyan Ali

GOMBAK, 21 Ogos:
Dalam kesibukan Umno melaung-laungkan 'Anwar Pengkhianat', mereka lupa bahawa Umnolah yang sebenarnya pengkhianat kepada orang Melayu.

Datuk Kamaruddin Jaafar, AJK PAS Pusat menyenaraikan 17 pengkhianatan Umno kepada orang-orang Melayu yang bermula semenjak zaman pemerintahan Mahathir lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Hi-Tea anjuran PAS Kawasan Gombak untuk mengutip dana bagi PAS kawasan berkenaan di Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.

"Jangan kita lupa, Umno telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak pemerintahan Dr Mahathir sehingga sekarang di bawah Najib," kat Kamaruddin.

"Pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja Melayu. Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu dan Umno telah merosakkannya," katanya.

Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman negara yang juga dilakukan oleh Dr Mahathir.

Beliau telah campur tangan di dalam sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

Kemudian, selepas pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.

Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah teruk dalam pilihanraya berkenaan.

Pada zaman Dr Mahathir juga, pengkhianatan ke empat yang Umno lakukan adalah dengan memperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang melanggar Perlembagaan Malaysia dan Dasar Bahasa Melayu.

Ia secara lansung melemahkan pencapaian anak-anak Melayu di dalam kedua-dua subjek berkenaan; Sains dan Matematik.

Kemudian, pengkhianatan ke-5 Umno apabila menarik geran peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar anak-anak orang Melayu.

"Seterusnya, pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu apabila memperkenalkan dasar meritrokrasi," kata Kamarudin yang juga anggota Parlimen Tumpat itu lagi.

Jika dahulu, anak-anak Melayu berpeluang menyambung pelajaran ke menara gading, tetapi sekarang peluang tersebut semakin tipis apabila dasar meritrokrasi diperkenalkan oleh Dr Mahathir.

Berikut adalah 17 pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.

4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.

8. Persempadanan semula pilihanraya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby,Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Datuk Harussani 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

/Pemudagombak.com_

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22196&Itemid=1


Thursday, August 20, 2009

Kini siapakah Pengkhianat Melayu yang sebenar ?

Baru-baru ini isu Pengkhianat Melayu membasahkan mulut para pemimpin UMNO hingga bersembur air liur, terutama Muhyiddin. Datuk Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum Keadilan menjadi sasaran paling ganas. Tanpa memberi sebab rasional kenapa Anwar dikatakan pengkhianat melayu, Muhyiddin dan kuncu-kuncu terus 'menggasak' Anwar dengan 'serangan' di seluruh media mereka untuk 'menghasut' rakyat mempercayainya dakwaan mereka itu.

Soalnya sekarang, jujurkah puak-puak ini dengan isu pengkhianat Melayu itu?

Kini siapakah sebenarnya Pengkhianat Melayu itu ?

Apakah Anwar Ibrahim dengan perjuangan Pakatan Rakyatnya atau mereka yang menawarkan calon yang tidak berintegriti dan 'pecah amanah' kepada rakyat majoriti Melayu di Permatang Pasir ?

Rakyat Permatang Pasir pasti tahu memberi jawapannya nanti !

Mohon calon itu tarik diri !!!

Wednesday, August 19, 2009

DUN Kota Seputih: Muhyiddin kecut perut, 'merayu' kepada SPR

Nampaknya Timbalan Presiden UMNO kian tertekan dengan siri PRK yang berjujukkan datang. Lelah mempertahankan calon yang mengalami krisis integriti di Permatang Pasir, kedengaran pula PRK boleh berlaku di Kota Seputih. Kali ini kerusi disandang boleh UMNO/Barisan Nasional.

Berkemungkinan besar jika berlaku PRK di Kota Seputih dengan majoriti lebih 400, UMNO/BN akan kehilangan kerusi itu. Ini pasti menjadi mimpi ngeri kepada UMNO khususnya Muhyiddin yang bertugas sebagai ketua kempen UMNO/BN.

Rentetan dari itu Muhyiddin tanpa rasa malu 'merayu' kepada SPR agar mempertimbangkan kerusi ADUN Kota Seputih yang katanya sakit.

"Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempertimbangkan keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Abu Hassan Sarif - dari Umno-BN - yang kurang sihat dalam menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.

"ADUN Abu Hsaan tak hadir kerana sakit dan beliau ada dokumen berkaitan. Kali ini DUN cuma bersidang sehari. Dan, jika tidak hadir satu hari itu bermakna tidak hadir satu penggal. "

Mendengar rayuan Muhyiddin maka bersegera Timbalan Pengerusi SPR menjawab:

"Oleh kerana kes itu, yang pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini, melibatkan aspek perundangan negeri dan persekutuan, SPR memerlukan masa untuk mengkaji secara mendalam, kata Timbalan Pengerusi suruhanjaya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar. "

Kita ulang balik kata Datuk Wan " kes itu....pertama dalam sejarah.... melibatkan aspek perundangan negeri dan persekutuan....SPR memerlukan masa.....mengkaji mendalam".

Apa makna semua ini ? Apakah Datuk Wan sedang cuba 'mengubat' kecut perut TPM ?

Kedah: Pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh?

Jeng....jeng....jeng !!

ALOR SETAR - Kedah mungkin menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil selepas Bukit Selambau di sini April lalu.

Kemungkinan pilihan raya itu berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif hadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak dua kali berturut-turut.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail memberitahu, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, kerusi yang disandang Abu Hasan akan menjadi kosong apabila beliau tidak menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

"Kami telah memaklumkan hal itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perkara itu semalam (kelmarin). Terserah kepada SPR untuk membuat sebarang keputusan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pada pilihan raya umum lalu, Abu Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat selepas menewaskan calon Pas, Ismail Wan Teh dengan majoriti 1,573 undi.

Kosmo

Tuesday, August 18, 2009

PRK Permatang Pasir: Wibawa calon UMNO 'tenat' !

Zahid Hamidi sudah sakit kepala sekarang. Calon pilihannya dengar ceritanya telah tidak dipersetujui oleh 65 % Ketua Cawangan UMNO dan kumpulan Pemuda UMNO Permatang Pauh yang berketuakan Cikgu Zaidi Mohd Said.

Wibawa Ruhaizad kian 'tenat' semenjak terdedah fakta yang menunjukkan bahawa dia telah tidak diiktiraf Peguam oleh Majlis Peguam Malaysia kerana satu kes yang membabitkan sejumlah wang dengan Persatuan Pekebun Getah.

Bertambah kusam wajah kewibawaan Ruhaizad untuk menjadi seorang wakil rakyat apabila katanya 65% Ketua cawangan dan Pemuda Permatang Pauh tidak menyokong Zahid dalam memilih Ruhaizad

Apakah pengundi Permatang Pauh mahu memilih Ruhaizad yang bersikap menganiayai UMNO. Sepatutnya sebagai ahli UMNO yang bertanggungjawab, Ruhaizad tahu akan keadaan kesnya yang mampu memberi implikasi yang besar dan berat kepada UMNO. Soalnya kenapa Ruhaizad tidak memberi tahu akan statusnya itu kepada Zahid dan Muhyiddin. Ruhaizad hanya mendiam kan diri! Apa maknanya itu ?

Kini belum habis tempuh kempen, Ruhaizad telah merupakan beban yang berat buat UMNO dan BN. Semua ini adalah 'kesilapan' Zahid !

Tapi awas dalam keadaan imej dan wibawa calonnya telah tercalar, UMNO akan buat apa sahaja yang mungkin tidak kita duga. Banyaklah pihak akan diperkudakannya.

PRK Permatang Pasir: Amal 'politik dajal', Umno-BN perlu disingkirkan

Anuar Ahmad

PERMATANG PASIR, 18 Ogos: Umno-BN sentiasa mengamalkan 'Politik Dajal' dalam usaha mengekalkan kekuasan memerintah negara.

"Lantaran itu kita wajib menyingkir mereka walaupun penyakit itu sudah lama melanda negara kita,"kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ceramah di Markas Permatang Luar di sini semalam.

Katanya, jika mereka terus diberi kuasa, politik seperti ini akan tetap diamalkan kerana pada mereka inilah cara terbaik lagi halal untuk mengaburi mata rakyat.

"Politik Dajal ini ialah mengutamakan sahabat handai dan kaum keluarga dalam usaha mereka menyalurkan kekayaan negara dan pelbagai kemudahan,"katanya.

Dalam kes Pulau Pinang, katanya, sejak berpuluh tahun BN memerintah yang sebelumnya Perikatan, apa wakil Umno buat untuk menyenangkan orang Melayu.

"Wakil Umno dalam Dewan Undangan Negeri mengatasi wakil dari Gerakan dan MCA juga MIC. Cakap saja nak tolong orang Melayu. Bohong saja,"katanya.

Sementara itu di tempat yang sama, Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Haron Taib sependapat dengan Dato' Seri Hadi bahawa Umno senantiasa membodoh-bodoh rakyat.

"Mereka sering menggula-gula rakyat (Melayu) dengan pelbagai tawaran yang kononnya merekalah (Umno) yang hanya mampu mentadbir negara dan menyalur segala harta kekayaan,"katanya.

Ingat, katanya, "kita jangan sekali-kali terperangkap dengan dakwaan mereka lagi.

"Mari kita nyahkan mereka segera dan jadikan Pilihan raya Permatang Pasir sebagai medan awal untuk meruntuh kekuasaan Umno-BN pada pilihan raya kebangsaan akan datang,"katanya kepada lebih dua ribu orang yang hadir mendengar ceramah di sini.

Semasa hari pencalonan semalam,calon Pakatan Rakyat dari PAS, Ustaz Mohd Salleh Man akan bertembung satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional dari Umno, Rohaizat Othman. Nama kedua-dua mereka disahkan sebagai calon selepas Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menolak 15 bantahan yang dibuat terhadap mereka.

Sumber: Harakahdaily

Monday, August 17, 2009

Khairy, Hantu dan Pak Turut

Waah...Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda UMNO yang tidak diberi jawatan menteri menyeru ahli-ahli PAS agar jangan menjadi Pak Turut kepada pemimpin-pemimpin PAS.

Nak tergelak aku !!

Dah... kalau tak jadi Pak Turut pemimpin PAS, hendak jadi Pak Turut Khairy ? Minta dijauhkan Allah !! Jadi Pak Turut Muhyiddin? Minta sisih !! Jadi Pak Turut Najib yang 'turut 'Rosmah,? Ya Allah jauh kan aku dari bala ini !!

Woih.....Khairy, tengok ni siapa sebenarnya yang dipaksa jadi Pak Turut; ahli UMNO atau ahli PAS:

Bekas ketua cawangan Umno Bukit Bendera Mentakab, Pahang, Datuk Alimudin Syawal mengesahkan beliau telah keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

Kata Dato Alimudin Syawal, beliau bertindak keluar Umno kerana "tidak wujud ruang demokrasi dalam Umno". (kena jadi Pak Turutlah tu!)

"Saya dukacita, kebebasan bersuara tidak ada dalam Umno. Kalau dikongkong, (maka) tidak guna jadi ahli," katanya. (ahli Pak Turutlah tu!)

"Sudah dua kali - tahun lalu dan tahun ini - bahagian tidak memberi peluang kepada ahli berucap (dalam mesyuarat bahagian). Ahli sepatutnya mengusulkan apa yang mereka tidak puas hati. (ahli dipaksa jadi Pak Turutlah tu!)

"Oleh kerana tidak ada peluang, apa guna saya berjuang dalam Umno. Nak bersuara tak boleh, apa gunanya," tambahnya. ( Kena jadi Pak Turut lagi!)

"Tetapi, Umno bahagian mesti memberi peluang (kepada ahli) memberi idea baru. Sindrom 'angguk, kipas' tak ke mana," katanya. (Angguk, kipas, tak ada peluang berucap....Pak Turutlah tu Khairy oi !!!

Kerana tak tahan jadi Pak Turut UMNO lah tu Datuk Alimudin masuk PAS !! Khairy...Khairy....jangan mengigau di siang hari....hantulah ....pak turut lah......kan malu sendiri atau memang tak ada ......malu..... !

Kata dulang paku serpih, kata orang ahli UMNO-lah sebenar-benar Pak Turut termasuklah si Khairy!

Cubalah Khairy tak jadi Pak Turut, kita tengok ke mana Khairy akhirnya !!

UMNO sibuk mengata orang lain hina Islam, jom kita baca ini satu persatu


Antaranya:

Rekod penghinaan terhadap Islam oleh UMNO-BN

Mat Zain Mat Isa
Mon I Aug 17,09 I 2:48:22pm MYT

Kota Bahru 17 Ogos: Bukanlah suatu perkara sangat sukar bagi mana-mana pihak yang senantiasa mengikuti perkembangan isu-isu sosio-politik negara untuk merasionalkan maksud sebenar penegasan Mursyidul Am PAS berkenaan sikap DAP terhadap Islam yang hangat diperkatakan kini.

Ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri Kelantan di Kota Bharu pada Rabu (12 Ogos), Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan menganggap tindakan beberapa pemimpin DAP yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam tidak menghairankan. Baginya ia mungkin ekoran kefahaman mereka terhadap agama Persekutuan yang tidak begitu mendalam.

Tok Guru sebaliknya membandingkan tindakan pemimpin bukan Islam itu dengan penghinaan yang dibuat oleh sebilangan pemimpin Islam sendiri.

"DAP kalau hina Islam, pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,"ulasnya.

Meski pun tidak menyatakan pemimpin Islam mana yang beliau maksudkan, tidak sukar diakui kenyataan beliau itu lebih ditujukan kepada para pemimpin Umno.

Apatah lagi itu bukan kali pertama Tok Guru meluahkan kekecewaannya terhadap parti tua itu yang disifatkannya terang-terang menolak ajaran Islam dan memilih kebangsaan sebagai dasar perjuangannya. Perbuatan Umno itu menyebabkan Islam tercemar dan disalah-ertikan kesuciannya, terutama oleh mereka yang bukan Islam.

Tidak syak lagi senarai penghinaan oleh para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno terhadap ajaran dan hukum Islam amat panjang. Ia boleh dikatakan berlaku saban tahun dan tidak terlepas dari perbahasan dalam masyarakat.

Kes paling banyak ialah percanggahan terbuka antara para pemimpin Umno dengan para ulama dan agamawan. Sebagai pengajaran apa kata kita tinjau kembali sebahagian daripada isu-isu dimaksudkan itu.

Pertama, isu rumah terbuka kongsi raya. Satu daripada 23 resolusi Muzakarah Ulama pada Jun 2006 menggesa kerajaan mengkaji semula amalan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Menurut kenyataan jawatankuasa muzakarah, resolusi itu bukan berniat memburukkan kepercayaan agama lain di negara ini. Sebaliknya ia merupakan perkara fikah bagi mempertahankan akidah umat Islam.

Ia dibuat ekoran keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelumnya bahawa perbuatan merayakan perayaan agama lain boleh memesongkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesyirikan (The Star, 16 Jun 2006).

Gesaan itu bagaimana pun disanggah secara terbuka oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Beliau sebaliknya menegaskan kementeriannya akan meneruskan program rumah terbuka kongsi raya kerana ia acara sosial yang diterima baik pelbagai kaum dan bukan upacara keagamaan yang boleh menggugat keimanan.

Bukan itu saja, Rais malah dipetik akhbar sebagai menempelak para ulama seraya menyifatkan pandangan mereka itu sebagai pemikiran sempit.

"Mereka yang beranggapan sambutan itu tidak boleh diadakan saya anggap itu pemikiran sempit dan kami sedia bertelaah dengan mana-mana pihak berhubung isu itu," kata Rais (Berita Harian, 16 Oktober 2006).

Kedua, isu konsert hiburan keterlaluan. Mufti Perak, Dato' Seri (kini Tan Sri) Harussani Zakaria menegaskan semua konsert serta rancangan hiburan yang keterlaluan, termasuk Akademi Fantasia, Audition, Malaysian Idol dan Karnival Sure Heboh TV3 jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Selain menggalakkan budaya berhibur di kalangan remaja, program berkenaan jelas membelakangkan hukum agama seperti meninggalkan solat, menggalakkan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan menyelitkan unsur kebaratan.

"Adalah disyorkan karnival itu (Sure Heboh TV3) dihentikan sebagai merealisasikan konsep negara Islam Hadhari. Ini bukan masalah emosi tetapi kehormatan agama dan maruah bangsa. Budaya seperti ini terang-terang mencabuli budaya Melayu dan Islam,"kata Harussani (Berita Harian, 3 Ogos 2004).

Pengajuran Sure Heboh TV3

Keputusan itu bagaimana pun dipersoalkan Menteri Penerangan, Dato' Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir. "Saya tidak nampak penganjuran konsert TV3 Sure Heboh ini salah. Tiada salahnya mengadakan sedikit hiburan untuk keluarga selepas mereka penat bekerja,"katanya, sepertimana dipetik Berita Harian pada tarikh sama.

Beliau selanjutnya meminta pihak yang membuat kenyataan mengharamkan sesuatu perkara agar mengkaji terlebih dahulu kesannya supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai menyindir golongan ulama, khususnya Mufti Perak.

Ketiga, konsep Islam Hadhari yang mengelirukan. Konsep itu diperkenalkan oleh Umno sejurus selepas Dato' Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih teraju negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003.

Sejak diperkenalkan, Islam Hadhari tidak pernah sunyi dari pertikaian, terutama dari kalangan ulama dan cendikiawan Islam sendiri. Ia antara lain dianggap seumpama mengada-adakan sesuatu yang dilabelkan kepada Islam dan menyalahi sifat Islam itu sendiri yang sudah sempurna.

"Kita tidak boleh dengan mudah menggunakan perkataan Islam sebagai label, sebab ia boleh menimbulkan kekeliruan. Sebab itu sejak mula diperkenalkan dulu, orang bertanya: Kenapa Islam Hadhari? Dan mereka bertanya lagi: Apakah Islam yang ada sekarang tidak betul?,"ulas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (wawancara dengan Sinar Harian, 17 April 2008).

Menurutnya, ramai kalangan ulama yang tidak bersetuju dengan istilah Islam Hadhari."Mereka menyatakan pandangan mereka secara terbuka, tetapi mereka tidak didengar," sambungnya lagi.

Memang itulah sifat dan sikap Umno, dulu, kini dan selamanya. Ia memang sukar mendengar dan menerima pandangan pihak lain, termasuk dari ulama dalam perkara berkaitan Islam.

Keempat, wanita dibolehkan melacur jika terdesak. Itu kesimpulan yang dapat difahami dari pandangan Dato' Dr Mashitah Ibrahim. Bagi Umno beliau adalah seorang agama wanita dan dijulang menerusi forum perdana ehwal Islam serta diberikan tanggungjawab dalam kerajaan menerusi portfolio berkaitan Islam.

Namun bagi Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddeen Mohd Taib yang pernah bertanding menentang Dr Mashitah di situ, jelitawan Umno itu ialah seorang 'ratu cantik'.

Okay, kesnya ialah Dr Mashitah melalui kolumnya di Harian Metro 21 Jun 2005 memberikan respons kepada satu soalan mengenai wanita (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak.

Jawabnya, mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu terpaksa membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendak hatinya. Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan.

Sambungnya lagi, perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram. Tetapi jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan.

Kenyataan itu mendapat reaksi tidak menyenangkan sebahagian besar umat Islam negara ini. Malangnya, reaksi itu tidak langsung mendorong Dr Mashitah menariknya balik. Umno pula bukan setakat tidak menegur keterlanjuran itu, malah semakin memberikan keistimewaan kepada Dr Mashitah.

Ketika membuat kenyataan itu beliau hanyalah Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri. Kini beliau naik satu anak tangga ke jawatan timbalan menteri menjaga portfolio sama. Mungkinkah anugerah itu sebagai penghargaan Umno atas fatwanya yang menghalalkan pelacuran itu?

Kelima, Kabinet menolak garis panduan hiburan berasaskan agama kerana bercanggah dengan Perlembagaan. Kes pada Mei 2005 ini satu lagi yang membabitkan Rais. Selaku Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, beliau berjaya meyakinkan Kabinet untuk menangguhkan pelaksanaan cadangan garis panduan hiburan yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berbagai alasan diberikan bagi merasionalkan keputusan itu. Dikatakan perkara itu memerlukan kajian mendalam. Rais juga menyebutkan tentang adanya sebuah jawatankuasa dikenali sebagai Puspal, dibentuk pada 2001 di bawah kementeriannya. Baginya jawatankuasa itu telah melaksanakan tugasnya dengan baik memantau etika dan perlakuan pelakon, penyanyi dan anggota kumpulan muzik.

Difahamkan garis panduan hiburan itu antara lain melarang penyiaran atau persembahan hiburan ketika waktu solat. Ia juga melarang penggunaan istilah dan penulisan lirik yang bercanggah dengan Islam atau yang dianggap melalaikan pendengar. Penggubalan garis panduan itu turut melibatkan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malangnya ia seakan ditolak mentah-mentah oleh kerajaan. Walau pun menggunakan istilah 'menangguhkan', tempoh penanggguhan itu tidak diketahui bila akan berakhir. Apa yang pasti setelah lebih empat tahun berlalu, rakyat belum diberitahu sejauh mana perkembangan kajian mendalam oleh Rais itu.

Mungkin hasrat sebenar beliau dapat difahami dari kata-katanya ketika itu.

"Sebarang usaha untuk melaksanakan undang-undang yang hakikatnya berkaitan agama terhadap industri muzik dan hiburan sebagai lebih daripada polis moral yang amat mengikuti undang-undang.

Umno tolak hukum Islam

"Melaksanakan peraturan keagamaan seperti 'apa yang boleh dan tidak boleh dibuat', bertentangan dengan Artikel 8(a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan prinsip kesaksamaan semua rakyat dalam undang-undang,"katanya (Berita Harian, 28 Mei 2005).

Ya, mungkin bagi Umno, wasiat Raja-Raja Melayu bahawa Islam itu Agama Persekutuan akan dijunjung hanyalah selagi mana Islam itu tidak bercanggah dengan peruntukan lain dalam Perlembagaan?

Keenam, Kabinet April lalu memutuskan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin walau pun ibu atau bapa memeluk Islam. Keputusan itu kemudiannya ditempelak para mufti dan agamawan sebagai membelakangkan kepentingan Islam. Mereka berpendapat Kabinet sepatutnya terlebih dahulu mendapatkan pandangan Islam sebelum membuat keputusan itu. Ia juga tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang bulan lalu.

Ada banyak lagi contoh dalam senarai perkara yang boleh dikategorikan sebagai tindakan Umno yang bercanggah dan menghina Islam. Jika mahu dimuatkan kenyataan para pemimpin Umno yang menolak hukum Islam, khususnya hudud, ia akan menjadi terlalu panjang.

Ada sebuah buku bertajuk "Mahathir anti-Islam" diterbitkan Dewan Pemuda PAS Pusat (2002) memuatkan sebahagian kenyataan, terutama oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir mengenai perkara itu.

(Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang katanya pernah berjumpa dan berbincang dengan Menteri regim Israel yang membunuh begitu ramai umat Islam yang tidak berdosa. Apakah yang dibincangkan?- Tak menghina Islamkah itu ?- saya menambah)

Sebagai kesimpulan, sudah tidak sukar diakui betapa sikap dan perbuatan sebilangan pemimpin Melayu-Islam sendiri sebenarnya yang menjadi punca penghinaan terhadap Islam, termasuk oleh bukan Islam. Sepertimana ditegaskan Tok Guru, apabila pemimpin Islam sendiri tidak menerima gagasan Islam dalam hidup atau sebagai dasar parti dan kerajaan yang mereka pimpin, apa peliknya bila bukan Islam mempertikaikan Islam? -azm

Sumber : Harakah daily

Jangan serang peribadi calon UMNO, calon PAS tak apa !!

Katanya berjuta ahli! Pilih punya pilih, terjumpa Rohaizad. Orangnya muda, peguam pula tu. Maka keluarlah di akhbar pengampu; Permatang Pasir-Peguam lawan Peniaga. Kalau di Manik Urai dulu keluar tajuk besar, Profesional lawan Peraih Ikan !

Sebaik terpilih tiba-tiba ada orang terutama di Permatang Pasir, ternampak pulak 'bintik-bintik hitam' pada Rohaizad. Maka berjam-jam pula Zahid menjelaskan akan 'bintik-bintik hitam' itu. Dan Rohaizad pula awal-awal mengatakan bersedia untuk membela diri dia tidak ada 'bintik-bintik hitam'!

Rohaizad kini teruji kerana rakyat Permatang Pasir pasti tertanya-tanya bolehkah Rohaizad memegang amanah rakyat ? Isu ini kini menserabutkan pemikiran Zahid Hamidi lantas memberitahu orang-orang PAS akan pesanan Tok Guru Nik Aziz jangan serang peribadi, tak baik!
Kata Zahid, saya walaupun bukan orang PAS akur dengan nasihat Tok Guru Nik Aziz itu.

Maknanya, maksud Zahid, dalam kempennya UMNO tidak akan serang peribadi.

Begitulah baiknya cara UMNO berkempen!! Huhuhu....! Di Manik Urai dulu UMNO mulakan kempen dengan ayat semacam merendah-rendahkan Abe Uji, konon hanya peraih ikan! Mana boleh lawan Profesional UMNO! Bagi UMNO, ini bukan serangan peribadi, cuma hina sikit saja !

Muhyiddin dalam sibuk-sibuk menonjol diri, telah melaungkan Anwar Pengkhianat di saat hendak diadakan PRK Permatang Pasir salah sebuah DUN dalam Parlimen yang Anwar wakili. Maka ramailah ahli-ahli UMNO yang memang pak turut dan mak turut itu melaung sakan, Anwar Pengkhianat! Ini pun bukan serangan peribadi, cuma nak berlatih sorak buat sambut hari merdeka 31 Ogos !!!

Sebab apa bukan serangan peribadi sebab UMNO yang kata !

Rosmah Mansor buat laman web guna kemudahan kerajaan, Rohaizad sebagai peguam disenarai hitam kerana ada kes dengan Koperasi Pekebun Kecil Getah Pulau Pinang..ha itu serangan peribadi!!
Sebab apa itu serangan peribadi, sebab Pakatan Rakyat yang kata!!!

Demikianlah adanya, antaranya, akan maksud serangan peribadi tu!!!!

Sunday, August 16, 2009

1Malaysia: H1N1 terus membunuh

Tiga lagi kematian dicatatkan akibat influenza A(H1N1) - termasuk dua kanak-kanak - menjadikan jumlah korban penyakit tersebut meningkatkan kepada 62 orang.

Dua kanak-kanak lelaki itu berusia enam dan tiga tahun. Manakala seorang lagi korban ialah seorang lelaki berusia 50 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 283 lagi kes baru dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sehingga ini sebanyak 3,857 kes.


Sumber Malaysiakini

1Malaysia: Hanya 15 hotel 'halal' di Pahang

Walau pun Pahang sebuah negeri yang besar tetapi hotel yang ada hanya 370 sahaja. Dari 370 itu hanya 15 buah hotel....hanya 15 buah hotel yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal.

Apakah ini bermaksud 355 hotel di Pahang yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal selama ini menyediakan makanan yang tidak halal kepada pelanggan muslim khusus kakitangan kerajaan mahupun swasta yang sering menganjurkan kursus, seminar, mesyuarat dan sebagainya di hotel.

Perkara ini adalah serius. Pihak exco Pahang yang berkenaan di bawah sepatutnya mendedahkan 355 hotel tersebut kepada sektor kerajaan dan swasta muslim supaya mereka tidak memilih hotel yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal. Kalau tidak didedahkan nama hotel-hotel tersebut serupa tidak mendedahkan isu ini dan membuktikan 1Malaysia masih tidak mendahulukan rakyat Muslim dalam menjamin hak mereka memakan makanan halal.

Atau zaman 1 Malaysia ni sudah tidak diambil kira hal halal haram ?

KUANTAN – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Pahang, Datuk Shafiq Fauzan Syarif berkata, hanya 15 daripada 370 hotel di negeri ini mempunyai Sijil Pengesahan Halal.

Beliau berkata, pengusaha hotel digalakkan mendapat sijil halal walaupun tidak diwajibkan berbuat demikian bagi menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan Muslim.