Followers

Tuesday, May 19, 2009

Rayuan Nizar, Khamis ini - PAS bimbang BN beli hakim

Irwan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob menyokong penuh permohonan Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang mahu mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya.

Salahuddin juga mengesa agar lima hakim yang akan mendengar rayuan Nizar khamis nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti.

Beliau menegaskan demikian sebagai respon kepada permohonan Nizar semalam yang mahu mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya mengetepikan keputusan mahkamah itu minggu lepas yang membenarkan penangguhan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

"Bukan hanya lima hakim sebaliknya hakim-hakim tersebut perlulah mereka yang mempunyai intergriti dan juga telus dalam menjalankan tugas mereka.

"Jika tidak kita bimbang keputusan Khamis nanti akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) kerana hakim yang mendengar rayuan itu terdiri dari mereka yang boleh dibeli," tegas beliau.

Salahuddin turut menegaskan jika hakim yang dipilih tidak mempunyai integriti kepentingan awam tidak akan terbela dalam kes tersebut.

Semalam Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar mengesahkan telah menghantar surat permohonan itu melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Berikutan keputusan itu, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu. - mr _

Berita Harakahdaily

Monday, May 18, 2009

Naib Ketua Pemuda UMNO minta SPRM siasat PAS

Nampaknya beria-ia Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Razali Ibrahim yang bakal menjadi Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan Pemuda UMNO akan datang (!?), meminta SPRM menyiasat kononnya katanya berlaku politik wang dalam PAS. Satu pandangan yang begitu berintegriti kelihatannya apabila terhadap Pakatan Rakyat sahaja !

Namun demikian Datuk ini tidak pula beria-ia mendesak SPRM menjelaskan sejauh mana siasatan terhadap seorang orang kuat pemuda di Kuala Lumpur sebelum perhimpunan UMNO yang lalu. Macam tidak akan ada keputusan saja. Yalah lama-kelamaan orang akan lupa!

Apalah yang dibimbangi sangat oleh Datuk Razali Ibrahim terhadap dakwaan politik wang dalam PAS kerana sepanjang yang umum tahu, bab PAS jika terlibat dalam rasuah, SPRM tak payah diberitahu kerana SPRM telah terbukti sangat peka melebihi Datuk Razali. Dulu, apabila Tuan Guru Nik Abd Aziz menceritakan kisah yang terlalu lama, ada orang datang bejumpa dengan beliau dan mahu merasuah sejumlah yang besar jumlahnya tetapi ditolak dengan tegas oleh Tuan Guru, SPRM tanpa membuang sesaat masa pun terus datang konon untuk menyiasat Tuan Guru !

Adalah diyakini jika benar-benar ada rasuah politik wang dalam PAS, SPRM sudah lama masuk menyiasat kerana kesempatan dan peluang itu memang tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh SPRM sahabat karib UMNO itu. Tetapi sehingga ke hari ini SPRM tidak berani terkam masuk untuk menyiasat PAS kerana SPRM sedar jika dia masuk menyiasat sudah pasti mereka akan mengumumkan bahawa PAS sebenarnya tidak pernah terlibat dengan rasuah dan politik wang, maksudnya PAS parti bersih.

Hari ini Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah mengumumkan dalam penyiasatan jawatankuasa pusat PAS, tiada rasuah dan politik wang dalam PAS. Oleh yang demikian jika SPRM masuk menyiasat SPRM pasti akan mengumumkan perkara yang sama. Ini akan memberi kredit yang besar kepada PAS di kalangan rakyat berbilang kaum.

Nampaknya Datuk Razali Ibrahim Naib Ketua Pemuda UMNO yang lebih hebat dari YB Khairy itu telah memainkan lagu politik sumbang terhadap PAS. Apakah akan ada lagi lagu-lagu sumbang dari Datuk ini dalam usahanya menuju puncak ? Habis Khairy hendak dihumbankannya ke mana ? Kesian Khairy !