Followers

Tuesday, May 12, 2009

Najib, Zambry, rakyat Perak perlu didahulukan !

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam keadaan politik di Perak terus berkeadaan tidak menentu. Keadaan yang begitu sukar diramalkan buat masa ini akan terus menyulitkan keadaan dan dibimbangi akan terus mencalar-balarkan lagi keluhuran perlembagaan.

Kita amat bimbang huru-hara politik di Perak akan terus berpanjangan. Hairan, apalagi yang hendak dicari oleh pihak Dr Zambry bersama UMNO /BNnya selain dari pembubaran DUN Perak. Kalau kamu sungguh MB Perak sekarang, retilah bahawa kemelut politik yang berlaku semakin bercelaru, kamu pergi mengadap istana, bubarkan DUN Perak segera. Mengapa kamu begitu pengecut untuk menghadapi pilihanraya DUN Perak ?

Datuk Seri Najib telah memberi kesanggupan boleh bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam menyelesaikan kemelut di Perak. Oleh yang demikian apakah Datuk Seri Najib tidak dapat melihat bahawa kerjasama yang paling wajar antara BN dan Pakatan ialah membubarkan DUN Perak dan menghadapi masing-masing dalam pilihanraya ?

Cukuplah bersikap lempar batu sembunyi tangan. Cukuplah melontar kata-kata yang tidak bererti. Najib dan Zambri Kadir buatlah suatu tindakan yang menunjukkan RAKYAT DIDAHULUKAN! Janganlah hanya berslogan ke sana ke mari tapi sebenarnya hampas belaka.

Sampai bila Najib dan Zambry mahu mempertahankan kerajaan haramnya ? Sampai bila keputusan mahkamah akan menyusahkan ? Sampai bila pihak istana mahu mendiamkan diri kerana semata-mata berpegang kepada konsep Raja berada di atas politik ? Sampai bila sistem demokrasi suara rakyat hendak dihenyak dan dibakul sampahkan ? Dan sampai bila rakyat mampu bersabar menghadapi kemelut dan kerenah yang tidak berintegriti yang terus mencederakan keluhuran perlembagaan ? Sampai bila ?


Apakah keputusan mahkamah rayuan nanti mampu menstabilkan politik Perak ?

Dengan rayuan yang di kemukakan oleh Dr Zambry dan tindakan segera mendengar rayuan tersebut di mahkamah rayuan apakah prinsip keluhuran perlembagaan akan terus teruji ? Keputusan akan diketahui sebaik keputusan penghakiman rayuan diputuskan.

Bagi pihak Dr Zambry, UMNO dan Barisan Nasional kelihatannya tidak mahu belajar dari sejarah yang telah berlaku dalam tempoh lebih kurang 100 hari yang lalu. Memang mereka yang kalah dalam mana-mana keputusan mahkamah mempunyai hak untuk membuat rayuan, namun demikian dalam kes yang berlaku di negeri Perak darul Ridzwan ini, hak yang hendak dipergunakan amat wajar mengambil kira kepentingan pihak rakyat jelata yang telah menjadi mangsa ketidakstabilan politik negeri Perak.

Manakala institusi yang berkuasa membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku wajar segera membuat keputusan yang bersandarkan kepada tuntutan perlembagaan dan undang-undang negara bukan membiarkan keadaan menjadi semakin tidak jelas dan tidak menentu. Dewan Undangan Negeri Perak wajar dibubarkan segera kerana kecederaan yang berlaku dari krisis politik di Perak sebenarnya telah merusakkan kedaulatan dan keluhuran perlembagaan.

Institusi yang mampu memberi keputusan membubarkan DUN Perak wajar bersikap mengambil jalan tengah yang tidak memenangkan mana-mana pihak, bukan bersikap tunggu dan lihat sehingga keadaan menjadi lebih rusak dan parah. Jalan tengah yang terbaik ialah bubar DUN Perak segera dan biarkan rakyat membuat keputusan.

Soalnya apakah keputusan mahkamah rayuan nanti mampu mengembirakan rakyat Perak ?

Monday, May 11, 2009

Keputusan mahkamah itu seharusnya memberi kesan yang besar kepada kestabilan politik di Perak.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah memutuskan bahawa Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah harus dijadikan langkah pertama ke arah menstabilkan kembali keadaan politik yang tidak menentu di Perak. Peluang ini harus digunakan oleh semua pihak khususnya pihak UMNO/BN. Adalah diharapkan pihak UMNO/BN menerima dengan rela keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah tersebut.

Kita benar-benar berharap pihak Dr Zambry, UMNO/BN jangan lagi menserabutkan suasana dengan tindakan yang tidak akan membantu ke arah penguraian kekusutan masalah politik di Perak. Biarkan MB Nizar membuat keputusan yang sepatutnya demi kepentingan rakyat Perak. Tidak sukar untuk dijangka bahawa MB Nizar akan berusaha memohon DUN Perak dibubar untuk menyerahkan kepada seluruh rakyat Perak membuat keputusan yang muktamat. Tak usahlah keputusan MB Nizar itu diganggu lagi oleh Dr Zambry, UMNO dan BN.

Seharusnya Dr Zambry bersama UMNO dan BN benar-benar insaf demi kepentingan rakyat Perak. Semoga Dr Zambry tidak bersikap seperti Pengerusi Perhubungan UMNO sebelumnya yang tidak begitu faham undang-undang terutama undang-undang Perak. Kita tidak pelik jika Pengerusi Perhubungan UMNO yang lalu tidak faham undang-undang tubuh negeri Perak kerana orang itu bukan orang Perak dan apalah sangat caknanya kepada rakyat Perak. Tetapi Dr Zambry sebagai anak jati Perak yang baru mengetuai UMNO Perak harus memulakan tugas dengan sikap yang penuh berintegriti bukan bersikap tidak reti-reti akan undang-undang negeri dan negara.

Semuga keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu mampu memberi kesan yang besar kepada kestabilan politik negeri Perak Darul Ridzwan.

Keputusan Mahkamah Tinggi: Datuk Seri Nizar MB Perak yang sah

Semua telah jelas MB Perak yang sah ialah Datuk Seri Nizar. Mahkamah baru membuat keputusan sebentar tadi.

Sunday, May 10, 2009

Krisis politik Perak: Campur tangan Sultan penentu penyelesaian?

Sumber mStar Online:

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PETALING JAYA: Di sebalik krisis politik Perak yang telah masuk bulan ketiga sekarang, penganalisis-penganalisis berpendapat parti-parti politik perlu berkompromi manakala Sultan perlu campur tangan walaupun raja "berada di atas politik".

Penganalisis politik Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kekecohan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Khamis lalu tidak sepatutnya berlaku dalam konteks demokrasi diamalkan di negara ini.

“Kita tak seharusnya sampai ke tahap mentaliti politik yang negatif seperti yang berlaku dalam Parlimen di Taiwan,” katanya.

Jelasnya, imej negara tercalar atas kekecohan yang berlaku dan kemelut politik yang melanda Perak tidak akan selesai sehingga pilihan raya umum yang ke-13 jika tiada langkah segera diambil.

“Sudah tiba masanya baginda (Sultan Perak) campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya melihat Sultan wajar mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan pendirian baginda berhubung keputusan yang telah dibuat (melantik Menteri Besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir).

“Walaupun Sultan berada di atas kuasa politik tapi dalam situasi seperti ini, saya melihat campur tangan itu perlu untuk meredakan kemelut politik di Perak,” kata beliau kepada mStar Online.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata, baginda boleh mengisytiharkan darurat di Perak dan menyerahkan urus tadbir negeri itu kepada kerajaan Persekutuan untuk sementara waktu. “Langkah ini boleh diambil kerana pentadbiran di Perak telah menjadi kucar-kacir dan rakyat yang mangsa. Pemimpin politik ini perlu berhenti bertelagah,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan pembangkang tempoh hari lebih bersifat populis untuk meraih sokongan rakyat untuk menunjukkan seolah-olah mereka menjadi mangsa diskriminasi dan percaturan politik BN.

“Mereka (Pakatan Rakyat) sengaja berbuat demikian kerana ia akan memberi kesan kepada pola pengundian pada pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat Perak dijangka menterjemahkan melalui pilihan raya, mereka akan undi pembangkang sebagai undi protes kepada BN yang dilihat merampas Perak daripada Pakatan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, bagi menyelesaikan konflik politik itu salah satu pihak perlu mengalah, tetapi sama ada BN mahupun Pakatan kelihatan tidak akan mengalah dengan mudah.

“Jalan penyelesaian terbaik adalah kita harus serahkan kepada mahkamah. Sememangnya akan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah Isnin ini.

“Amalan berpolitik keterlaluan yang berterusan hanya merugikan negara dan rakyat akan terus mangsa,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin pula menyifatkan insiden tersebut sebagai satu lagi rampasan kuasa selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Februari lalu.

“Apa yang berlaku semalam tidak betul dan salah dari sudut perlembagaan. Mereka (kerajaan Barisan Nasional) tidak boleh memecat Speaker dan pelantikan penggantinya yang baru (dari BN) juga tidak sah," katanya.

Jelasnya, kekecohan itu juga memberi tanggapan negatif masyarakat luar negara terhadap negara ini.

“Bukan sahaja ekonomi Perak akan terjejas, malah ada kemungkinan pelabur-pelabur asing akan was-was mengenai kestabilan politik di negeri itu.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada industri pelancongan ekoran urus tadbir yang tidak sempurna,” katanya.


Datuk Seri Najib kata apa yang PR lakukan di Perak mencemar imej demokrasi negara di mata dunia !

Datuk Seri Najib Tun Razak bersyarah dengan menyifatkan kekecohan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dimulakan oleh Pakatan Rakyat dan sesuatu yang amat memalukan dan perkembangan tragik kepada demokrasi negara. Leternya pembangkang (Pakatan Rakyat) gagal menghormati tatasusila dan prinsip pematuhan kepada undang-undang apabila menekan pendirian mereka sehingga menafikan hakikat bahawa kerajaan juga mempunyai hak tersendiri untuk dipertahankan. Katanya, sikap pembangkang itu, secara langsung mencemarkan imej institusi demokrasi negara di mata dunia.

Mendengar rungutan tersebut dapat dibayangkan betapa alim politiknya orang yang berkata itu. Seolah-olah apa yang berlaku di Perak itu bukan hasil kerja kotor tangannya sendiri. Kepada siapa lagi hendak dihala segala kata-kata penipuan dan pembohongan ini? Apakah rakyat semakin bodoh untuk menilai sesuatu tindakan dan sesuatu apa yang telah berlaku ?

Inilah mentaliti pemimpin UMNO yang pasti jika beginilah cara berfikir mereka, tidak akan mampu lagi meletak kembali UMNO di persada politik negara. Hari ini rakyat semakin bijak dan pandai untuk menilai politik tindakan meceavelli dan politik tindakan berintegriti dan beretika. Mereka tidak membuat apa-apapun perubahan dan tiada apa-apa perubahanpun yang berlaku. Apakah mereka belum sedar-sedar atau mungkin tidak akan sedar-sedar ?

Jika kita membaca ulasan pakar perlembagaan di bawah ini maka jelaslah perbuatan-perbuatan haram terus berjujukan berlaku. Siapakah sebenarnya yang telah mencemar imej demokrasi negara di mata dunia ?

"Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: "Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu".

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

"Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai".

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

"Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi," katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

"Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa", tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

"Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya". Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa."

Apakah yang akan berlaku selepas ini akan terus mengusutkan lagi proses perundangan kecuali DUN Perak di bubarkan. Mengapakah susah sangat DUN Perak hendak dibubarkan? Belum tentu Pakatan Rakyat akan menangpun!