Followers

Saturday, February 28, 2009

Judi untuk pendidikan dan kesihatan ? - Malaysiakini

Bayangkan, sebaik menerajui Kementerian Kewangan, bakal Perdana Menteri Malaysia dilaporkan telah meluluskan 10 'special draw' judi. Dengan cabutan itu kerajaan mendapat hasil cukai itu sebanyak RM77,026,171.04. Maklumat ini diketahui dari jawapan bertulis Kementerian Kewangan mengenai kelulusan 10 cabutan 'special draw' kepada Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook baru-baru ini.

Apakah erti semua ini ? Apakah ini, perniagaan judi menjadi langkah mudah yang digunakan oleh bakal Perdana Menteri untuk menjana dan meraih pendapatan negara dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada waktu ini?

Paling membimbangkan apabila dilaporkan bahawa cabutan tersebut sebagai sumber pendapatan bertujuan untuk dana pendidikan , kesihatan dan sebagainya. Jika ini betul apakah anak-anak kita yang meminjam PTPTN terlibat dalam penggunaan wang judi ini ? Sesuatu yang sangat serius untuk difikirkan oleh seluruh rakyat.

Memang kerajaan membenarkan cabutan khas diadakan berdasarkan kepada keperluan semasa yang bertujuan untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan yang berbentuk sukan, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan namun demikian apakah jaminan bahawa anak-anak orang Islam tidak terlibat dengan penggunaan wang tersebut.

Nampaknya dalam keadaan kewangan negara yang tenat ini, punca atau sumber dana semacam sudah tidak menjadi pertimbangan rasional lagi !

Friday, February 27, 2009

Pemuda UMNO tunjuk 'gagah' tidak bertempat -Malaysiakini

Sekarang ini kecoh pula Pemuda UMNO 'berperang' dengan Karpal Singh. Karpal yang duduk di atas kerusi roda itu pun hendak diajak 'bertumbuk'. Apalah PemudaUMNO ni. Sudah hilang kewarasan dan keinterlektualan mereka. Kini bukan kebijaksanaan akal fikiran yang hendak digunakan tetapi 'hukum rimba' yang menjadi panduan mereka.

Betullah kalau pemimpin atasan gaya 'brutal', anak buah pun akan ikut brutal. Jika pemimpin atasan tak tahu hendak ikut undang-undang atau tidak tahu bertindak mengikut semangat perundangan, anak buah juga tak segan silu melanggar undang-undang dan bersikap gedebe di parlimen. Konon dengan gedebe begitu, akulah pejuang dan pembela Melayu !

Apakah dengan 'melayan' dan 'berperang' dengan Karpal Singh yang lemah di atas kerusi roda itu telah membuktikan Pemuda UMNO itu pejuang bangsa Melayu atau pahlawan Melayu. Sungguh memalukan !

Hendak menjadi pejuang bangsa Melayu bukan dengan mengutuk Karpal Singh. Banyak lagi isu-isu lain yang wajar diberi tumpuan oleh Pemuda UMNO bukan Karpal Singh. Isu PPSMI, isu murtad, isu PTPTN, isu wilayah Iskandar, isu rasuah, isu setinggan Kg Berembang dan sebagainya, di mana Pemuda UMNO ?

Apalah sangat kalau Karpal Singh kata Pemuda UMNO celaka. Itu pun Karpal sudah tarik balik. Habislah isu kerana itu urusan dalam parlimen. Itu, UMNO Trengganu kata Agong , "Natang", di mana Pemuda UMNO ?

Ketua Pemuda UMNO pun sama juga seperti anak buahnya. Marah kepada Tuan Guru Haji Hadi yang mengatakan mereka yang mengusahakan PPSMI itu celaka. Betullah, memang betullah jika dikatakan mereka yang bersungguh-sungguh mahukan PPSMI itu celaka kerana mengikut Kamus Dewan celaka maknanya malang , sial, tidak baik dan juga memberi makna sesuatu yg menyebabkan penderitaan (menderita pelajar-pelajar yang tak faham Bahasa Inggeris -pen.) bedebah dan satu bentuk seruan kemarahan !

Ramai orang marah dengan pelaksanaan dasar PPSMI, maka untuk melahirkan rasa marah yang keras kerana kebabilan tidak mahu memansuhkan PPSMI, maka kata yang sesuai ialah "celaka" !

Nampak sangat Pemuda UMNO hanya tahu hendak mengena kepada orang lain tetapi bila dia sendiri terkena, mengamuk bagaikan orang hilang pedoman ! Sudahlah Pemuda UMNO, tak usahlah tunjuk gagah tidak bertempat !!

Bertempur lagi ....! Malaysiakini

Pengurusan dan pentadbiran negara terus bercelaru. Dalam kecelaruan itu, keadaan menjadi semakin celaru apabila kerajaan mengumumkan akan menaikkan harga tol. Menteri Kerjaraya mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju menaikkan harga tol. Siapalah mempengerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskankan kenaikan tersebut agaknya ?

Setelah tersiar dalam media bangkangan rakyat yang ditemubual maka pada hari ini Pak Lah menyeru Jemaah Menteri menimbang semula kenaikan tersebut. Beliau berkata beliau akan berjumpa Najib untuk berbincang hal itu.

Nampaknya bakal pengganti Pak Lah semakin mahu menunjuk berkuasa. Dia tidak langsung berusaha untuk mempopularkan UMNO yang kian tidak disukai ramai pada waktu ini. Banyak keputusan, bila mereka kerajaan langsung tidak memikirkan masalah rakyat. Yang mereka fikirkan ialah kepentingan sendiri yang mampu mengkayakan kroni-kroni. Akibatnya sejak akhir-akhir ini Pak Lah dan Najib sering ' bertempur' sesama sendiri. Apakah kesudahannya nanti?

Kesudahannya..... kita tengok pada bulan Aprli nanti.



Thursday, February 26, 2009

Dah kata Hishamuddin takut berdebat pasal PPSMI - Malaysiakini

Ketua Pemuda UMNO yang bakal bertanding jawatan Naib Presiden UMNO terus berdolak-dalih apabila dicabar berdebat pasal PPSMI oleh Ketua Pemuda PAS. Ini membuktikan sebenarnya Menteri Pelajaran ini bukan seorang yang pandai berhujah.

Hishamuddin tetap menonjolkan Persidangan meja bulat yang sebenarnya ditolak oleh rakyat. Kononnya banyak cadangan dan pandangan dari persidangan tersebut akan diambilkira. Bukan persoalan mengambilkira pandangan dan cadangan dari persidangan tersebut, persoalannya ialah PPSMI itu digesa agar dimansuhkan oleh semua pihak.

Beliau juga menggesa agar Pemuda PAS memberi pandangan dan cadangan tentang PPSMI. Masalahnya ialah cadangan dan pandangan Pemuda PAS ialah mansuhkan PPSMI. Itu pun Hishamuddin susah hendak faham. Maka memanglah HIsahmuddin seorang Menteri Pelajaran yang 'koman' !

Dr Haron Din ulas isu mufti dan derhaka

Azamin Amin
Wed | Feb 25, 09 | 9:40:03 am MYT

"...tidak pernah dengar ada sebarang komen daripada mana-mana mufti."

Beliau adalah antara ulama terkemuka yang masih berhubung rapat dengan Istana dan Raja-Raja Melayu, tetapi tetap dekat di hati rakyat. Justeru, Dato' Dr Haron Din dirasakan tokoh paling sesuai yang boleh mengupas situasi gawat di Perak terutama berkaitan hal yang digembar-gemburkan media, iaitu isu taat setia kepada kepimpinan dan masalah derhaka kepada Raja-Raja Melayu, dari perspektif agama.

Ketua Pengarang KumpulanHarakah AHMAD LUTFI OTHMAN dan Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN beserta jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH sempat mewawancara Timbalan Mursyidul Am PAS itu, di kediamannya di Bandar Baru Bangi, pagi 16 Februari lalu.

Bahagian Dua)

Pada pendapat Dato', adakah Sultan Perak sendiri merasakan Nizar sudah menderhaka kepadanya?

Kebetulan ketika rancak isu yang dimainkan media kononnya Nizar derhaka kepada Sultan Perak, tiba-tiba saya terbaca dalam berita bahawa Nizar dijemput dan menghadiri Majlis Jubli Perak Sultan di istana. Kalau ini boleh difahami, maka jika benar Nizar derhaka pada Sultan, pada hemat saya sudah pastilah Sultan tidak akan jemput orang yang menderhaka kepada baginda.

Begitu juga Nizar, jika tiada jemputan pihak Sultan, tentu Nizar tidak akan pergi dan jika Nizar derhaka, sudah pasti dia tidak memenuhi jemputan itu atau tidak hadir di majlis Sultan.Amalan kita ialah kita tidak akan datang jika tidak dijemput dan dalam kes ini, jemputan mestilah atas perkenan Sultan. Kemudian Nizar datang dengan hati terbuka. Maka tidak benar sama sekali dakwaan Nizar derhaka kepada Tuanku.

Mufti Perak, Dato' Seri Harussani menyarankan agar taat kepada pemerintah dalam apa jua keadaan. Mungkin Dato' ada pandangan lain?

Saya mengikuti saranan beliau agar taat kepada pemerintah. Saya nak menyebut, saya amat menghormati dan menghargai seluruh mufti kerana mereka memegang amanah Allah SWT untuk mengajak manusia kepada yang benar, al-Haq. Sepanjang yang saya ikuti dalam konteks politik Malaysia, berlaku pertembungan antara parti-parti politik yang membabitkan banyak isu, misalnya krisis perlembagaan yang melibatkan Raja-Raja Melayu.

Maknanya, pertembungan Umno dengan seluruh Raja-Raja Melayu, termasuk krisis membuang imuniti dan kekebalan Raja-Raja. Ketika itu tidak pernah kita dengar ada sebarang komen daripada mana-mana mufti.

Seingat saya, mereka berpegang kepada neutraliti. Ini kerana Mufti kita ketahui selalu berpegang kepada prinsip 'non-partisan' dan tidak mahu terlibat dalam kancah politik. Bila berlaku krisis di Perak, Mufti membuat komentar yang baik namun orang ramai menafsirkan sebagai telah 'memihak' kepada Umno-BN.

Antara lain saranannya agar menyokong idea untuk tidak perlu bubar Dun dan akur sahaja dengan apa yang berlaku dan berserah kepada takdir, terimalah seadanya ...Komen seperti itu wajar disuarakan kerana itu pandangan peribadi bukan fatwa, tetapi apabila ia dilihat antara 'between the line', antara tersurat dan tersirat, ia amat jelas memihak dan menafikan hak satu pihak yang lain.

Dengan itu, ia mengundang tafsiran yang negatif terhadap mufti.

Ada pihak beranggapan tindakan Sultan Perak itu sebenarnya adalah untuk mengembalikan kuasa kepada orang Melayu di negeri berkenaan yang kononnya selama diperintah Pakatan Rakyat, Nizar hanya menjadi boneka kepada DAP. Jadi, menurut golongan ini, walaupun ada percanggahan dengan undang-undang tetapi Sultan lebih melihat kepentingan orang Melayu?

Keutamaan saya adalah jangan hanya kerana nak kembalikan kuasa Melayu, sampai kita boleh ditafsirkan sebagai 'perompak'. Jangan kita buat sesuatu yang tidak wajar. Ada cara yang betul. Ambillah kuasa itu balik dengn cara yang 'gentleman', dengan keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Yakni, kembalikan kepada rakyat dan masing-masing kempen semula untuk mempengaruhi rakyat.

Buka ruang untuk orang Melayu Perak kembalikan kuasa melalui proses pilihan raya. Itu yang sepatutnya. Tetapi, sekarang, selepas banyak hiruk-pikuk berlaku, barulah nak timbulkan bahawa keputusan istana nak kembalikan kuasa kepada orang Melayu. Itu berlaku ketika krisis, kenapa tidak timbulkan dari awal lagi. Dah huru hara, baru kata itu ini. Sebenarnya kuasa rakyatlah yang menentukan kuasa orang Melayu yang sebenarnya.

Bagaimana pula pandangan Dato' tentang tindakan lompat parti dan isu surat letak jawatan Adun yang dipertikai SPR sedangkan itu di bawah kuasa Speaker?

Dulu saya kata kenapa tidak saman SPR, sebab mereka yang menolak surat itu. Siapa yang berkuasa dalam sebuah negeri, SPR atau Speaker? SPR hanya mengendalikan pilihan raya selepas Speaker mengisytihar sesuatu kawasan itu kosong. Kalau silap keputusan orang akan saman Speaker dan bukan SPR?Tapi SPR menyalahi Sspeaker dan buat keputusan sebaliknya.

Sama juga dengan cek misalnya, tiada tulis tarikh tetapi sudah tulis jumlah RM1,000, dan diberi pada saya. Tiba-tiba dua tahun kemudian, saya teringat cek itu, saya terus tulis tarikh dan pergi bank. Dan semuanya nampak lengkap apabila ada tarikh, tanda tangan dan jumlah. Bank terus bagi duit. Ia tak pertikai dah. Ikut faktanya begitu.

Dalam Islam hendaklah seseorang itu mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui bersama selama ia tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan perkara yang halal oleh Allah SWT.

Masa letak calon, kemudian mereka menang, maka mereka bersetuju dengan menandatangani surat tanpa tarikh itu. Yakni jika belot dan atau berpaling tadah, pihak yang berkenaan berhak letak tarikh dan terus berhenti jadi wail rakyat. Itu dipersetujui bersama dan dalam Islam ia sah.

Kalau ia bertanding atas nama PAS, secara dasar ia tidak boleh lompat parti dan lari daripada perjuangan terutama kepada keadaan yang lebih buruk.

Ada pihak berhujah bahawa lompat parti itu sah dari segi hak asasi manusia, yakni kita bebas memilih parti mana yang kita sertai sebab kita wakil rakyat, bukannya wakil parti.

Sama sahaja, hak asasi yang boleh dilaksanakan adalah yang tidak melanggar hukum Allah, jika berlawanan maka ianya bukan hak asasi. Seseorang itu memegang jawatan yang merupakan amanah parti dan orang ramai. Macam tiga orang ini, mereka melanggar janji dengan rakyat, dam ia menyebabkan heboh dan gawat seluruh negara sehingga kuasa yang sah ada pada pemerintah dapat diganggu-gugat.

Disebabkan tiga orang inilah, mereka lebih bahaya kerana telah mengheret pertelingkahan derhaka antara rakyat dengan raja, dan rakyat dengan rakyat, seterusnya menimbulkan krisis Perlembagaan. Dan tindakan mereka ini sebenarnya mempunyai amat besar kesan buruknya jika dibanding dengan orang yang ditahan ISA sedangkan mereka tidak pernah melakukan kesalahan jenayah.

Luahan hati rakyat melalui perhimpunan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar memang mengejutkan dan tidak disangka-sangka, sampai ada rakyat mempertaruhkan nyawa sanggup berbaring di tengah jalan menghalang kenderaan istana termasuk Raja Muda untuk hadir majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru. Malah ada rakyat yang menjerit minta Dun dibubarkan di depan kerabat diraja.

Apa yang kita saksikan dengan mata kepala seperti demonstrasi, tunjuk perasaan dan fenomena yang berlaku, yang belum pernah terjadi sebelum ini, iaitu orang ramai tanpa disuruh, telah bertindak sendiri-sendiri sehingga membahayakan diri di jalan raya. Maknanya mereka sanggup mengorbankan diri dan ada yang dikatakan melontar objek tertentu.

Ini berkembangan yang lebih serius yang memberi isyarat kepada semua pihak khasnya istana dan pemerintah Malaysia umumnya bahawa perkara ini perlu diambil perhatian dan perlu dibendung. Jika tidak, ia akan menjadi lebih teruk.

Ia memberi isyarat, jangan lagi buat keputusan yang separuh matang, yang boleh mengundang kemarahan sehingga mencetus insiden rakyat tidak sabar lagi. Ini mesej penyataan atas rasa tidak senang rakyat terhadap istana.

Rakyat melakukan perkara yang begitu menggerunkan, yang boleh membahayakan diri, bagi menyatakan hasrat secara terang-terang kepada pihak atasan supaya suara mereka didengar dan diambil perhatian yang serius.

Ada pihak yang menohmah dalam isu ini, bahawa PAS sekiranya memerintah akan menjadikan Malaysia sebuah negara republik tanpa raja, seperti republik Islam di Iran yang menghapuskan sistem beraja?

Tohmahan seolah-olah pihak Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaaan berstatuskan republik, ini fitnah yang amat besar yang dilakukan oleh lawan politik untuk menakutkan rakyat, mencemuh dan mendatangkan kemarahan kepada pihak istana tanpa ada bukti-bukti yang PAS akan lakukan.

PAS sejak dahulu sentiasa mempertahankan kuasa raja-raja. PAS sepanjang sejarahnya sejak tahun 1951, sampai hari ini, umumnya tidak pernah ada perjuangan PAS yang ada titik hitam hubungan dengan istana atau raja-raja. Perkara di Perak ini sebenarnya pun bukan titik hitam, ia digembar-gemburkan media milik Umno dan BN.

Bagaimanapun, jika dirujuk sejarah, maka ternyata banyak sungguh pihak Umno-BN yang melakukan penderhakaan dan bercita-cita ke arah itu dengan bukti bahawasanya kekebalan Raja-Raja telah dihapuskan oleh Umno-BN. Itu berlaku dalam krisis Perlembagaan 1993. Kuasa Raja-Raja negeri-negeri telah dilucutkan. Itu adalah satu usaha untuk buang kuasa Raja-Raja. Ini sebenarnya banyak berlaku. Seolah-olah merekalah yang berusaha untuk menyingkirkan kuasa Raja-Raja atau menghapuskan terus Raja-Raja. Ini yang Umno-BN telah lakukan.

Ini tidak berlaku dalam PAS. Hanya kes Nizar dengan Sultan Perak yang bukannya sebagai penderhakaan cuba diterjemahkan sampai dikatakan hasrat PAS jadikan Malaysia republik.Saya menafikannya dan ini adalah suatu taktik jahat kotor nak melaga-lagakan PAS dengan istana dan Raja-Raja Melayu.Kita balik semula kepada asas perbincangan.

Dari segi tradisi pemerintahan dalam Islam, apakah amalan institusi raja sebenarnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam?

Dalam pemerintahan Islam, ketua pemerintahan ada beberapa istilah, kalau zaman Nabi, ketua negara kita kita panggil Rasullullah, selepas wafat Nabi dipanggil khalifah, selepas naik Umar, dipanggil Amir Mukminin, selepas Uthman dan Ali dikenali balik sebagai khalifah. Selepas itu timbul pula pemerintahan beraja dipanggil al-Malik.Sebelum Nabi Muhammad, Nabi Sulaiman itu adalah Raja. Puteri Balqis, Raja negeri Saba' mengakui Sulaiman sebagai Raja.

Jadi itu tak jadi masalah, dalam Islam sama ada dia Khalifah, Amir, Malik atau apa sahaja. Semuanya tetap patuh kepada perintah Allah dan Rasul dan amat menghormati institusi ulama dalam serba keadaan. Kita ambil dari satu dekri ucapan Khalifah Abu Bakar, sebagai pemerintah Islam dalam ucapan sulungnya menjadi Khalifah pertama:

"Andanya kamu melihat saya memerintah dengan betul dan benar, wajib kamu membantu dan menyokong saya. Sekiranya saya menyeleweng dengan hukum Allah, maka gugurlah ketaatan kamu kepada saya, perbetulkanlah saya. tegurlah saya."

Naik Umar pula jadi pemerintah, ucapan sulungnya hampir menyamai Abu Bakar tetapi lebih keras lagi. Sebaik habis ucapan Umar, bangun seorang sahabat dengan menghunus pedangnya seraya berkata, "wahai Umar, jika kamu menyeleweng, kami perbetulkan kamu dengan pedang kami ini."Umar tidak murka.

Orang itu tidak dikatakan derhaka malah Umar menyebut, "Saya memuji Allah yang mengutuskan ada di kalangan rakyat Umar orang yang sanggup memperbetulkan Umar jika dia salah dengan pedangnya. Itulah karektor yang patut wujud pada seorang pemerintah, sama ada raja, sultan, perdana menteri dan ketua negara, yang semuanya tidak terlepas dari hukum Allah.

Harapan Dato; kepada situasi di Perak?

Saya melihat, ia menjadi seperti mana perkara kecil yang sengaja diperbesarkan. Media bertindak 'over-killing', melakukan tindakan yang melampau lebih daripada yang patut sehingga berlaku demonstrasi di luar Perak. Akhirnya jika berlaku yang tidak baik, yang ruginya adalah rakyat.

Nizar dihalau daripada pejabat dan dapat simpati ramai. Kasihan dia jadi target. Kenapa halau dia dan kenapa kata kita gila kuasa dan jawatan sedangkan kuasa dan jawatan sudah ada pada kita? Yang gila kuasa itu Umno-BN bukannya kita, tapi dia gunakan terbalik.

Harapan saya, perkara sebegini jika cepat diselesaikan maka redalah masalah dan selesailah krisis. Jika dibiarkan, sengaja dilambatkan atau ditambahkan, keadaan akan jadi lebih meruncing. Cara mempercepatkan cara penyelesaiannya, perlu ada keberanian daripada pihak yang berkenaan untuk membuat keputusan segera yang menguntungkan semua pihak, 'win-win situation.'

Atau meminta mahkamah buat ketetapan kes ini atau rundingan yang lebih berwibawa agar tidak mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.Yang penting, jangan biarkan lebih lama. Dalam politik kita pakai istilah, tiada kawan yang selama-lamanya kawan dan tiada musuh yang selama-lamanya musuh.

Musuh hari ini, mungkin jadi kawan atau kawan hari ini jadi musuh esok hari. Maka musuh yang hari ini kita berunding dengan cara baik, esok boleh jadi kawan. Jika ikhlas, bincang cara yang betul, akan dapat hasil terbaik. - azm _

http://www.harakahdaily.net

A Samad Said rela gelaran Sasterawan Negara ditarik balik

Mohd Nor Yahya
Wed | Feb 25, 09 | 8:16:52 pm MYT

KOTA BHARU, 25 Feb (Hrkh) - Dato' A Samad Said tetap meneruskan perjuangan mendaulatkan bahasa ibunda biar pun gelaran Sasterawan Negara yang diberi kerajaan ditarik balik.

"Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.

"Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.

"Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 petang tadi.

Malam ini beliau dijangka berceramah bersama Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tokoh akademik Prof Dr Shahrir Mohd Zain dan anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah dalam siri ceramah Mansuhkan PPSMI di Padang Perdana.

A Samad yang dikenali dengan panggilan Pak Samad terkenal dengan penulisan yang kritis mendedahkan sebelum ini beliau sering menutup mulut dalam pelbagai isu yang dilakukan kerajaan.

"Tetapi selepas saya ke Mekah dan bertaubat, kini saya akan bercakap benar dalam segala hal, biar pun ia amat pahit di pihak kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Beliau juga berkata, penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar subjek Matematik dan Sains jelas melanggar akta pelajaran Malaysia kerana tidak membantu peningkatan penggunaan bahasa Melayu.

"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun.

"Setakat ini hanya PAS yang menganjurkan ceramah untuk menjelaskan kepincangan PPMSI dan sebab itulah saya memilih platform ini untuk menjelaskan kepada seluruh masyarakat," katanya.

Menurut beliau umurnya sekarang 76 tahun dan sudah sampai masanya memperjuangkan bahasa ibunda sebelum ia hilang di muka bumi.

Dr Shahril yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuh PPMSI (GMP) berkata, terdapat dua badan induk yang kini lantang menentang kerajaan dalam isu tersebut iaitu GMP dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Kata beliau Gapena telah menyaman kerajaan kerana meneruskan dasar PPSMI.

Manakala GMP pula akan mengadakan demontrasi aman di hadapan Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengumpul 100,000 rakyat.

"Demontrasi tersebut akan diadakan pada 7 Mac ini dengan melibatkan pelbagai kaum dan NGO," ujar beliau.

Katanya juga tiada sebab untuk meninggalkan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Matematik dan Sains kerana di negara-negara maju, mereka terus menggunakan bahasa ibunda.

Misalnya dalam anugerah nobel fizik, kebanyakannya diterima oleh negara-negara yang mengamalkan bahasa ibunda seperti Perancis dan Jerman.

Selain itu kata beliau negara juga akan hilang kreativiti sendiri sekiranya menggunakan bahasa Inggeris dalam setiap aspek kehidupan.

Beliau juga berkata sebelum ini media harian tidak berani memainkan isu bantahan tokoh-tokoh akademik terhadap PPMSI, sedangkan bantahan itu berterusan dilakukan 13 NGO.

"Kini lima tahun diamalkan PPMSI, selepas Pakatan Rakyat serta NGO lantang membantah, barulah media harian membuat liputan agak meluas," katanya.

Menurutnya terdapat enam kajian dibuat pusat tengajian tinggi terhadap pelaksanaan PPMSI dan kesemuanya mendapati banyak kelemahan yang timbul.

Katanya juga PPMSI menafikan hak bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kerana lama kelamaan ia akan hilang dengan sendirinya dari bumi Malaysia.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah, Ketua Pemuda PAS, Mohd Zaki Ibrahim dan Penolong Pengarah GMP Suhaizan Kaiat. - mj _

http://www.harakahdaily.net

Wednesday, February 25, 2009

45 kes rasuah UMNO yang ditutup ada udang disebalik batu ? - Malaysiakini

Memang itu rumah tangga UMNO. Tiada siapa yang boleh campur tangan. Tetapi kisah UMNO sebenar memang suka benar dihebuhkan oleh media massa arus perdana seolah-olah UMNO itu hak semua orang. Kadang-kadang berita UMNO lebih besar dan lebih banyak daripada berita kerajaan. Itulah UMNO dengan kegedebelannya. Menjadikan dirinya begitu penting untuk dibicarakan oleh semua orang.


Oleh kerana UMNO suka sangat ianya dibicarakan maka tidak salah kita sentiasa berbicara pasal UMNO.


Antara berita yang agak terkini ialah Perdana Menteri berkata UMNO terima keputusan SPRM tutup 45 kes daripada 90 kes rasuah politik yang didakwa melibatkan pemimpin Umno kerana ketiadaan bukti kukuh. Perdana Menteri berkata SPRM lebih berkemampuan dan siasatannya lebih teliti berbanding siasatan Lembaga Disiplin Umno. SPRM tidak dapat menghasilkan fail kes yang lengkap dan kukuh kerana pengadu hanya mengemukakan aduan secara umum tanpa disertakan bukti bagi menyokong aduan itu.


Persoalan yang bermain difikiran rakyat ialah siapakah yang didakwa dalam 45 kes itu ? Maka itu untuk meyakinkan rakyat bahawa kes-kes ini benar-benar tidak lengkap atau berbentuk umum ianya perlu didedahkan kepada khalayak umum. Jika tidak rakyat akan membuat andaian bahawa 45 kes itu pasti membabitkan 'ikan-ikan jerung' bukan 'ikan-ikan bilis'. Andaian akan berlanjutan bahawa ianya ditutup bukan kerana tidak cukup bukti tetapi mungkin kerana memberi perlindungan !


Apakah salah bagi rakyat membuat andaian begitu ?


Sudah tentu tidak salah kerana SPRM adalah sebuah suruhanjaya yang kini sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat teruk di kalangan rakyat jelata. SPRM begitu cekap dalam kes lembu korban dan kereta MB Selangor sehingga dengan laju menjatuhkan 'hukuman' kepada MB Selangor itu. Sedangkan dalam kes rasuah politik UMNO, yang diulang-ulang ialah gambar seorang guru UMNO yang ditahan. Keputusan muktamat kes tersebut belum jelas. Yang ditahan bukan 'taukeh besar' yang mahu bertanding tetapi hanya balachi yang bagi dan edar wang di hotel-hotel!


Sebab itu adalah tidak diyakini langsung bahawa 45 kes yang ditutup oleh SPRM itu adalah kerana tidak ada bukti kukuh tetapi yang pasti ada udang disebalik batu ! Itulah UMNO dan begitulah SPRM !

Tuesday, February 24, 2009

Pilihanraya Kecil: Dari 2 Bukit turun ke Batang Ai....

Nampaknya belum bermula Pilihanraya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang kini datang pula berita kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Batang Ai. Dalam keadaan satu bukit lagi ia itu Bukit Lanjan belum pasti, Batang Ai dahulu mengesahkan diri.Selepas ini kawasan mana pula agaknya ?

Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dublin Unting, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Batang Ai meninggal dunia awal pagi tadi.

Sumber PRS mengesahkan beliau meninggal dunia setelah diserang angin ahmar kira-kira pukul 1.25 pagi.

Mendiang juga Timbalan Menteri Sarawak bagi Sukan dan Pertanian.

Kerusi DUN Batang Ai terletak dalam bahagian Parlimen Lubok Antu, Sarawak.

ADUN dua penggal itu mempertahankan kerusinya pada 2006 dengan menewaskan calon Parti Nasional Sarawak (Snap), Bawin Anggat.

Perkembangan terbaru ini membuka laluan kepada pilihan raya kecil dalam masa 60 hari memandangkan tempoh mandat semasa kerajaan negeri Sarawak hanya akan berakhir pada Mei 2011.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika dihubungi mengesahkan sudah memperoleh maklumat mengenai perkembangan terbaru ini.

Monday, February 23, 2009

Semakin sakit Perak kalau tidak dibuat pilihanraya - Malaysiakini

Keadaan di Perak semakin sakit. Kenapalah pihak yang boleh selesaikan kemelut di Perak ini membiarkan begitu sahaja keadaan itu begitu!

Bermula dengan satu keputusan yang tidak mengikut semangat perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Perak, konflik perundangan menjadi semakin banyak dan semakin merumitkan. Kekusutan semakin ketat dan sukar dileraikan. Hakim yang ingin membuat keputusan pun menjadi sukar kerana ia akan pasti menjadi rujukan pada masa akan datang. Pasti ada pihak akan menggunakan peristiwa ini sebagai rujukan keputusan di masa-masa akan datang. Maka perlembagaan akan menjadi tidak luhur lagi!

Sepatutnya, mudah sahaja hendak di selesaikan konflik di Perak ini . Suruh sahaja mana-mana Menteri Besar Perak yang diyakini, bubar DUN Perak buat pilihanraya semula. Segala apa yang sudah difailkan di mahkamah arah tarik balik dan batalkan segera. Serahkan kepada rakyat Perak pilih antara kerajaan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Perak. Siapa yang hendak sokong Pakatan Rakyat berkempenlah untuk Pakatan. Sesiapa yang hendak sokong Barisan Nasional/UMNO yang memiliki sayap-sayapnya yang mantap seperti Pemuda, Wanita, Putra, Putri, SPRM, PDRM, SPR, Kementerian Penerangan dan seumpamanya berkempenlah sungguh-sungguh. Aslkan biar rakyat yang pilih.

Tak usah biarkan keadaan yang ada ini berlarutan tanpa buat sesuatu. Nanti ini akan memalukan Malaysia dan semua institusinya. Buat apa sampai hendak mengadap QC di London. Itu semua bukan percuma, membazir! Masalah tidak selesai juga.

Speaker Sivakumar sudah 'gantung' MB Zamry dengan exco-exco nya bermakna BN sudah hilang majoriti dalam DUN. Kalau ditunggu lagi lah malu. Lebih baik Dr Zamry mengadap Paduka Sultan mohon DUN dibubarkan. Hari ini mengadap Paduka Sultan - bubar DUN, esok terus selesai masalah.

Bayangkan kalau ada pilihanraya, Dr Zamry telah membantu rakyat Perak menambah punca pendapatan melalui perniagaan kerana sudah pasti ramai yang akan ke Perak sama ada dari dalam dan luar negeri untuk berkempen dan menyaksi suasana kempen. Dengan membantu meransang ekonomi sewaktu pilhanraya, tidakkah ini memudahkan BN untuk menang ! Untung BN kalau dibuat pilihanraya, rugi BN kalau keadaan dibiarkan begini !

Lompat kotak lompat ! Cepat ! - Malaysiakini.

Mungkin ramai orang tidak suka tapi penulis mahu terus mengupas isu raja katak yang seorang ini. Hari ini ketua penjaga kolam yang kian tercemar di sebuah negeri di Pantai Timur ada menawarkan tempat dalam kolam tersebut kepada si raja katak. Tengoklah, mungkin esok atau lusa si raja katak pasti akan mengulas tawaran penjaga kolam tercemar di negeri Che Siti itu.

Tentu si raja katak itu akan gembira mendapat tawaran tersebut kerana dulu dia dikuis keluar oleh Tok Ketua kolam tercemar di KL.

Masalahnya apakah dengan kemasukan semula si raja katak itu kolam tercemar, air kolam tidak akan berkocak kerana perut si raja katak itu nampaknya besar. Bayangkan bila raja katak terjun ke dalam air kolam semula...bedebuss! Habis orang lain akan terpercik. Tuan punya rahim co di pasir yang sangat berharga itu juga mungkin akan basah kuyup kerana terjunan si raja katak itu. Kalau sudah masuk ke dalam kolam itu pasti bunyinya akan semakin kuat...onng sana, onnng sini ! Masalahnya kalau dah bunyi kuat dan bising, boleh tahan ke makhluk yang ada dalam kolam tu ?

Tok Guru cabar suruh letak jawatan, dikatanya kepada Tok Guru jangan cakap besar. Dia ingat Tok Guru tu macam dia, suka cakap besar tahi lekat di gelegar.

Raja katak ini pasti tidak akan letak jawatan kerana dia tahu kalau letak jawatan, dia tidak akan boleh bertanding semula. Tok Guru pun tahu bukan Tok Guru tak tahu cumanya Tok Guru hendak bagi tahu, Tok guru sudah menyampah dengan perangai dia tu. Maka dalam pilihanraya ke 13 nanti bertandinglah engkau sendiri dan tahulah engkau rakyat pasir yang berharga itu, akan 'mengulai 'engkau!

Bagi PR, lagi cepat raja katak ini melompat lagi bagus. Nobatkan terus di sebagai raja katak terulung. Kita pun suka, biar dia lemas dalam air 'tahi' lalu 'mati'. Jangan raja katak salah faham pulak, 'mati' yang dimaksudkan akan lenyaplah raja katak dari persada politik tanah air kerana makhluk yang dalam kolam tercemar itu bukan suka sangat pada raja katak itu!

Orang lain pun meluat kat raja katak ini - malaslah nak dengar cerita dia lagi!. Menyampah !!

Sunday, February 22, 2009

PAS tolong Ibrahim: Bagaikan melepas anjing tersepit - Malaysiakini

Ibrahim Ali memang ahli politik yang tidak patut ditolong. Sekali beliau 'jatuh' biarkan dia terus jatuh dan 'tersembam' di lembah politik hina yang dia anuti itu. Tatkala hampir tersembam dia akan bermuka manis dan hiba demi belas kasihan orang. Dia akan buat apa sahaja untuk mengemis belas kasihan dari cium tangan hingga ke cium entah apa-apa agaknya , dia akan tergamak! Itulah Ibrahim Ali.

Ibrahim Ali adalah ahli politik yang opportunis, dominan dengan kegiatan lompat si katak lompat dalam politik sejak awal. Dia seorang yang tidak tahu menghurmati orang yang 'memapahnya' sewaktu dia hampir 'lumpuh'. Dia sentiasa merasakan dia cukup sempurna di persada politik sedangkan nyawa politiknya sebenarnya adalah atas ihsan orang lain bukan kekuatan pengaruh peribadi seperti yang dimiliki oleh Anwar ibrahim, Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz.

Ibrahim Ali ini sebenarnya mempunyai banyak 'muka' dan muka yang paling seiras dengannya bukan muka Cina, bukan muka India, juga bukan muka Melayu tetapi ialah muka tak tahu malu!

Hari ini Ibrahim Ali yang bermuka tidak tahu malu ini mengaku telah banyak menolong PAS. Entah ya entah tidak.....dan bilalah agaknya itu ! Macam seolah-olah PAS bertahan di Kelantan selama ini adalah dengan bantuan dia. Dasar tidak sedar diri!

PAS bukan parti yang tidak memerlukan kiritikan dan nasihat, tetapi memang betul, PAS tidak memerlukan nasihat dari orang seperti Ibrahim Ali. Pasti PAS tidak akan memapahnya lagi di atas persada pilihanraya ke 13 nanti selagi ia membabitkan Ibrahim Ali yang ini, namun tidak tahulah kalau 'Ibrahim Ali' yang lain .

DanPAS sudah mulai sedar kini bahawa menolong Ibrahim Ali dalam pilihanraya ke 12 lalu adalah bagaikan melepaskan 'anjing' tersepit!

Kekalahan Rafidah tidak menjadi kudis tetapi akan menjadi barah- Malaysiakini

Pertembungan antara Rafidah dengan Shahrizat akan menjadi kenyataan. Pertembungan ini diyakini bukan sebarangan pertembungan kerana ia pasti akan memberi kesan yang besar kepada kedua-dua penyokong Rafidah dan Shahrizat.

Dalam pada Kemalia tersenyum senang, Rafidah dan Shahrizat masih belum boleh tidur lena dan lepa kerana waktu-waktu mengatur strategi semakin menuntut dan suntuk. Siapa yang silap strategi akan kalah. Siapa yang pasif akan kecundang. Yang paling parah ialah Shahrizat kerana beliau tidak boleh kalah kerana kalau beliau kalah nasibnya akan sama seperti apa yang Rafidah lakukan kepada Siti Zaharah. Shahrizat mesti berjuang untuk menang dalam keadaan Rafidah begitu aggresif mempertahankan jawatannya.

Keadaan bertambah sesak dengan kehadiran bahang pilihan raya Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Antara kepentingan jawatan dalam UMNO dengan kepentingan parti yang mana perlu didahulukan.

Kesan yang lebih parah ialah selepas Pilihanraya UMNO tersebut. Apakah orang dan penyokong yang kalah akan boleh menerima kekalahan begitu sahaja. Sejarah UMNO selepas pertandingan pemilihan UMNO, menceritakan aktiviti cantas mencantas dan pulau memulau antara mereka begitu tegar dan lumrah.

Rafidah sudah memberi kata-kata yang memberi makna yang mendalam kepada UMNO bahawa kalau dia kalah tidak menjadi kudis gatal kepadanya tetapi agaknya maksud Rafidah akan tetap menjadi barah kepada UMNO ?

UMNO kian menderita !