Followers

Saturday, February 14, 2009

Peranan "Mat Kemian" cetus rasa tidak puas hati rakyat Perak

Pak Tam Mat, Jitra
Sat | Feb 14, 09 | 1:53:14 pm MYT

Krisis perlembagaan di Perak timbul apabila Sultan membuat pilihan yang salah dan jelas memihak kepada BN. Sultan ada pilihan lain yang lebih nuetral, iaitu dengan membubarkan Dewan Undangan Perak dan menyerahkan semula kepada rakyat Perak untuk membuat pilihan melalui pilihan raya yang adil dan bebas, tetapi yang peliknya baginda tidak memilih jalan tengah itu.

Dalam pilihan raya Mac 2008, rakyat telah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Perak. Biarpun majoriti penguasaan kerusi agak kecil, iaitu 31 Pakatan Rakyat berbanding 28 BN, namun ia sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Pakatan Rakyat berhak memimpin. Dalam sistem demokrasi, kelebihan satu undi memberi makna kemenangan dan ia tidak boleh dipertikai lagi.

Pencetus segala kemelut politik di Perak adalah Sultan sendiri. Ketika mana seluruh rakyat jelata tertumpu dan mengharapkan kebijaksanaan baginda mencari jalan keluar yang boleh memuaskan hati semua pihak, saya hairan mengapa Sultan Azlan Shah memilih untuk menyokong BN. Kewibawaan institusi raja-raja Melayu yang selama ini dilihat berada di atas daripada percaturan politik terjejas dengan teruk sekali. Sultan Azlan Shah, bekas Ketua Hakim Negara, mengetepikan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan dengan itu meletakkan baginda dalam kancah kontroversi yang begitu merugikan.

BN memang cukup takut untuk berdepan dengan rakyat. Sebab itu mereka cuba untuk mengelak dari mengadakan pilihan raya. Mereka lebih suka membeli Adun-Adun Pakatan Rakyat dengan tawaran lumayan, kalaupun tidak dengan ugutan dan ancaman. Mereka umpama perompak dan penyamun, yang mengetepikan hak rakyat untuk memilih pemimpin.

Yang peliknya, mengapa Sultan tidak menggunakan segala kebijaksanaan baginda untuk memilih penyelesaian yang tidak akan menyinggung mana-mana kelompok atau parti yang bersaing untuk meraih kuasa? Saya tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa Sultan seolah-olah sudah dibeli oleh orang-orang politik. Raja-Raja Melayu masih dianggap sebagai pelindung untuk semua rakyat berteduh. Jika benar dakwaan Sultan sudah tidak lagi boleh berperanan memayunngi rakyat, maka ini bermakna kita sudah menempuh satu era gelap yang membawa negara mundur ke belakang.

Episod hitam Sultan dianggap memihak BN apabila timbul krisis politik hendaklah dipadamkan segera. Apatah lagi kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai sultan yang dihormati rakyat tidak wajar dicemarkan hanya kerana perselisihan politik antara BN dan Pakatan Rakyat. Justeru, setiap raja-raja Melayu harus sentiasa cermat sebelum memutuskan sesuatu perkara. Rujukannya adalah Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Pilihannya pula tidaklah sepayah mana.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sudah menghadap memohon perkenan baginda untuk membubarkan Dun. Sultan Azlan Shah yang terkenal arif dan bijaksana itu, hanya perlu memperkenankanya atau tidak memperkenankan. Baginda boleh membiarkan Nizar terus sebagai menteri besar sehinggalah ia diputuskan melalui usul tidak percaya yang akan dibawa ke persidangan Dun tidak lama lagi. Bagaimanapun ramai mengharapkan Sultan Azlan membubarkan sahaja Dun untuk mendapatkan kembali mandat rakyat. Memang tidak ada dalam kuasa baginda untuk memecat seseorang menteri besar, apatah lagi tambah sebab dan alasan yang kukuh.

Keadaan sekarang memang sudah kelam-kabut. Nizar dan anggota Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tentu tidak akan duduk diam selepas mereka dilucutkan jawatan. Reaksi mesti ada, masakan mereka duduk diam melongo. Sesiapa pun pasti akan memberi reaksi atau tindak-balas jika dizalimi atau dianiaya. Kita ada undang-undang yang mesti dipatuhi, tidak kira ia seorang Sultan atau rakyat biasa.

Jika rakyat sudah mula mempersoalkan kewibawaan Sultan, mungkin kerana dipengaruhi "Mat Kemian" yang sering masuk-keluar Istana, maka janganlah mudah untuk melabelkan rakyat yang hina itu sebagai penderhaka pula! _

Sumber : HarakahDaily.net

Alahai...Khir Toyo ditahan - Malaysiakini

KJ cabar PAS buat hudud melalui Pakatan Rakyat sewaktu berdebat dengan Datuk Husam. Mukhriz ajak PAS bersatu dan kini Khir Toyo menghantar bantahan kepada Karpal sehingga ditahan polis kerana ‘penderhakaan’ terhadap Sultan Perak.


Begitulah ‘hebatnya’ ketiga-tiga orang calon Ketua Pemuda UMNO. Masing-masing menunjukkan ‘kepahlawanan’ masing-masing.


KJ yang bersembur-sembur air liur mengecam penderhaka-pederhaka terhadap Sultan dilayar-layar TV, namun Khir Toyo juga yang paling pahlawan antara mereka bertiga. Khir Toyo rasa dia sudah hampir-hampir setaraf dengan kepahlawanan dan semangat juang tulin Ketua Pemuda PAS dan Keadilan juga DAP. Kalau Ketua Pemuda Pakatan Rakyat sejak dulu-dulu bila berdemontrasi kena tangkap adalah perkara biasa. Khir Toyo pun begitu !! Tengok Khir Toyo sudah ditahan polis !

Senyum Khir Toyo sewaktu ditahan kerana agaknya bagi Khir Toyo, KJ dan Mukhriz hanya banyak cakap dan beretorik tetapi takut ditahan polis. Khir Toyo mana takut ?

Laporan Utusan Meloya bahawa Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo ditahan oleh polis ekoran tindakannya cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh di kediamannya di Jalan Kebun Bunga. Beliau bersama tiga Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan pemandunya ditahan di Taman Belia di sini pada pukul 3.15 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan dibebaskan sejurus keterangan mereka diambil.

Alahai…Khir Toyo, ditahan, ambil keterangan lepas itu bebas! Tapi Ketua Pemuda PAS sempat berumah dalam lokap dan penjara lagi. Namun demikian agaknya setakat hari ini pasti perwakilan-perwakilan Pemuda UMNO berbangga dengan Khir Toyo yang begitu berani menentang Karpal Singh yang telah sekian lama terjelepok di atas kerusi roda itu.

Hendak sampai ke hari pertandingan berapa kali lagikah adegan-adegan Khir Toyo ditahan polis akan dapat kita saksikan. Atau calon-calon lain juga akan nanti melakukan juga adegan-adegan serupa seperti yang Khir Toyo lakukan kerana nampaknya isu ‘penderhakaan’ terhadap Sultan Perak akan menjadi drama Melayu bersiri ! Jeng...jeng...jeng !!

Pemuda UMNO tidak sensitif penderhakaan kepada hukum-hukum Allah.

Pemuda PAS dan Persatuan Ulama mengajak semua NGO Islam membantah program Musawah anjuran NGO sesat Sisters In Islam (SIS) pada 13 hingga 18 Februari .Program Musawah itu membincangkan nilai-nilai Islam liberal yang merupakan antara bentuk penyamaran baru musuh untuk mengelirukan fikiran umat Islam. Fikrah sesat ini cukup berbahaya kepada aqidah Islam kerana topik yang sering dibincangkan ialah tentang moral tidak boleh diperundangkan dan dosa-dosa peribadi bukanlah satu jenayah. Dalam ertikata yang lebih jelas mahu menyamakan Islam dengan agama lain.

Program Musawah itu juga dilihat sebagai hasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar.

Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al Quran dan Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Ianya juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala Syariat yang dibawa oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Antara penceramah yang terlibat Amina Wadud (yang bercita-cita menjadi imam solat Jumaat), Ziba Mir Hosseini, Muhd Khalid Masud, Hussein Muhd.

Sesungguhnya program Musawah SIS ini amat membahayakan aqidah umat Islam khususnya umat Islam di negara ini.

Persoalannya, selain dari pemuda PAS, Persatuan Ulama dan NGO yang mencintai Islam ke mana pergi Pemuda UMNO dalam isu ini. Kelihatannya Pemuda UMNO hanya sibuk menyaman Karpal Singh yang kononnya menderhaka kepada Sultan Perak, menjadi buta mata dan pekak telinga atau memang tidak faham agama apabila ada pihak yang mengaku Islam sedang bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, sedang menderhaka kepada Allah Tuhan seru sekalian alam.

Ertinya, kepada Pemuda UMNO ‘menderhaka’ kepada sultan pantang mak bapak mereka tetapi menderhaka kepada Allah, itu awak punya hal ! Sedangkan isu menderhaka kepada sultan itupun diputarbelitkan dan tidak pernah berlaku di kalangan rakyat yang bukan UMNO kecuali UMNO sendiri yang pernah dan kerap melakukannya. Sejarah tidak akan dan tidak pernah berbohong. Kajilah sejarah…UMNO bukan sahaja pernah menderhaka kepada Raja-raja Melayu malah tidak pernah cuba menghalang pihak-pihak yang cuba menderhaka kepada Allah!

Friday, February 13, 2009

Polis dan pihak istana talian hayat UMNO-Mohamad Sabu

TASEK GELUGOR, 13 Feb (Hrkh)- Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menggangap 'talian hayat' Umno kini bergantung pada pasukan keselamatan dan pihak istana ketika membantu peristiwa rampasan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Tambah beliau, Umno sebenarnya takut berhadapan dengan realiti untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di mana rakyat yang menjadi hakimnya.

Pakatan Rakyat seperti PAS, KeADILan dan DAP senantiasa menanti untuk bersemuka dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mengatakan yang hak untuk rakyat menilai yang mana betul dan yang mana dikatakan rakus, katanya

"Tragedi yang melanda Kerajaan Perak minggu lalu adalah pintu untuk Umno menuju ajal sebenar dalam masa singkat.

"Jika mereka tidak bertindak merampas kemungkinan usia Umno lebih panjang tetapi kini nak bernyawa pun dah tersekat-sekat, " ujarnya dalam program ceramah perdana anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor baru-baru ini.

Baginya, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik peristiwa tersebut untuk direnungi bersama umpamanya lebih berhati-hati ketika memilih calon untuk bertanding dalam pilihanraya ke 13 kelak, jentera Pakatan Rakyat hendaklah diperkuatkan dan mesti mempunyai jiwa kental untuk melawan BN bukan seperti 'kambing takutkan air'.

Fenomena yang melanda Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak harus teladani oleh Pakatan Rakyat sekiranya mahukan kekuatan terbina, semua parti dalam gabungan wajar menanamkan semangat perjuangan yang tinggi di kalangan ahli dan kepimpinanya.

"Jika tidak dapat merenggangkan bilangan kerusi yang banyak pasti sukar untuk BN mencari kesempatan maka tugas kita mulai sekarang memastikan kekuatan terbina sesama sendiri, " jelasnya.

"Najib sengaja atur strategi sebegitu untuk meningkatkan graf dirinya menjelang Mac ini tetapi dia silap sasaran yang mana silap-silap haribulan parti Umno dan BN terus hilang kuasa di beberapa negeri lagi, " katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Menyentuh mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Zahid Hamidi kononnya PAS diperkudakan oleh KeADILan dan DAP beliau berkata, tidak berlaku sebegitu sebaliknya sama-sama berganding bahu untuk menjayakan program atau merangka strategi menjatuhkan BN.

"Tidak timbul siapa memperkudakan siapa dalam Pakatan Rakyat tetapi yang penting ialah pergantungan sesama sendiri untuk menjatuhkan BN.

"Itulah yang ditakuti oleh BN selama ini sehinggakan membuat mereka terpaksa mengerakkan aktiviti terancang merampas kembali Perak dengan cara yang tidak beradap, " tegasnya.

Berceramah sama pada malam tadi ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Choong Eng dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man. - azm


Sumber: Kedahlanie.blogspot.com

Thursday, February 12, 2009

Setia sungguh UMNO Baru kepada Raja-raja Melayu - Malaysiakini

Nampaknya semacam sudah tidak ada pihak lain yang paling setia kepada raja-raja Melayu khususnya kepada Sultan Perak kecuali UMNO Baru sahaja.UMNO Barulah yang 'boleh' diharap untuk menjaga institusi raja-raja Melayu, pihak lain semacam sudah tidak boleh diharap lagi. Di sana sini bagaikan orang mengigau UMNO Baru berdemonstrasi haram demi kononnya memperjuangkan kedaulatan Raja-raja Melayu khusus Paduka Sultan Perak?

Dulu Tun Dr Mahathir menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu bukan dari UMNO agaknya!
Tun Ghafar Baba membentangkan usul mendedah perihal tingkahlaku istana Johor dalam parlimen dulupun bukan dari UMNO juga rasanya!
Anuar Musa yang menabalkan Sultan baru Kelantan dulupun bukan dari UMNO jugak !
Mohd Taib yang bawa lari anak Sultan kahwin di Siam dulupun bukan dari UMNO juga rasanya. Entah dari parti mana agaknya. Pati ubi rasanya !!

Pada waktu-waktu tu ramai sungguh ahli-ahli UMNO sama ada dari wanita dan pemuda nya memenuhi jalan-jalan raya berdemonstrasi membela sungguh-sungguh kehormatan dan kedaulatan raja-raja Melayu ! Ramai sungguh... sampai tak cukup jari hendak dibilang, melimpah jalanraya!!!! Banyak sungguh saman, sampai habis kertas-kertas saman di balai-balai polis!!! Terkedu dan terkelu Mahathir, Ghafar Baba, Anuar Musa, Shahidan Kasim dan ramai lagi !!!!!

Maka terbukti sahih konon ahli-ahli UMNO baru yang begitu sayang sangat kepada Raja-raja Melayu hinggakan hari ini, boleh dikatakan setiap hari mereka 'berkumpul' memperjuangkan kedaulatan Sultan Perak yang entah siapa mengancamnya pun tak tahu kecuali Karpal seorang. Sayang sungguh mereka kepada Raja-raja Melayu !

Karpal Singh yang tak fasih berbahasa istana itupun dibelasah derhaka. Datuk Seri Nizar yang tahu berbahasa istana juga dikatakan derhaka. Agaknya orang yang sokong Datuk Seri Nizarpun akan dicap derhaka oleh UMNO Baru. Yang tidak derhaka UMNO Baru seekur je ,seperti pejuang-pejuang Agung mereka Rafidah Aziz, Muhyiddin Yasin, Ali Rustam, Mohamad Hassan, Mohamad Mohd Taib. Piiirah !!

Paduka Sultan Perak dan Raja Nazrin sudah pasti gembira sangat dengan sokong UMNO Baru itu. Ampun Tuanku ! Patik bimbang sokong itu sokong membawa rebah Tuanku. Ampun Tuanku!

Dua pertiga pengundi mahukan DUN Perak dibubar -Merdeka Center.

Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center dalam tempoh 6 dan 8 Februari 2009 bagi mengukur pandangan orang ramai mengenai perkembangan politik di Perak mendapati:

1. 74 peratus pengundi mahu DUN Perak dibubarkan kerana mahukan rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka.

2. 76 peratus pengundi mahukan proses pilihanraya sebagai cara menentukan kerajaan pilihan mereka (pilihan rakyat). 21 peratus mengatakan pihak istana ada hak dalam menentukan penukaran kerajaan bagi rakyat jelata di Perak.

3. 62 peratus responden merasakan bahawa peranan istana dalam penukaran kerajaan di Perak tidak mencerminkan kehendak rakyat. Hanya 29 peratus menyatakan peranan istana itu mencerminkan kehendak rakyat.

4. Mengenai penyelesaikan kepada krisis politik ini, seramai 33 peratus responden mahu pilihan raya yang baru dilangsungkan, 35 peratus lagi mengatakan pilihan raya kecil wajar diadakan di kawasan yang ADUNnya keluar parti manakala 28 peratus mahu kerajaan baru dibenarkan terus memimpin negeri itu.

Monday, February 09, 2009

Di dua bukit akan berlaku 'peperangan' - Malaysiakini

Setelah menang di kuala, Pakatan Rakyat akan menggasak BN di bukit pula. Kali ini di dua buah bukit. Bukit Gantang Perak dan Bukit Selambau Kedah. Pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang sudah pasti cuma di DUN Bukit Selambau terpaksa menunggu keputusan SPR kerana ADUNnya meletak jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau petang tadi.

Isunya di DUN Bukit Selambau, apakah SPR akan buat 'tahi' lagi sekali dengan memberi keputusan yang diluar bidang kuasa mereka seperti mana yang dilakukan di DUN Changkat Jering dan DUN Behrang Perak. Kita tunggu keputusannya nanti. Jika berlaku lagi sekali keputusan seperti di dua DUN di Perak memang nampaknya SPR mencari penyakit. Jika begitulah keputusannya, SPR pasti akan menjadi sokong kepada UMNO/BN. Sokong membawa rebah !

Pada masa ini koleksi menyampah rakyat kepada Barisan Nasional khususnya UMNO semakin bertambah hari demi hari. Apakah SPR akan menambahkan lagi koleksi menyampah terhadap UMNO itu ? Terpulanglah kepada SPR jika mahu melihat UMNO dengan yakinnya dikuburkan pada pilihanraya yang ke 13 nanti.

Pakatan Rakyat Akan Turun Keseluruh Negara Mengajak Rakyat Membantah Rampasan Kuasa BN di Perak

Written by Editor


Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua rakyat Malaysia di seluruh negara dan seluruh dunia menyatakan bantahan bersama dengan YAB Menteri Besar Perak yang sah.


Beliau berkata Dato’ Seri Nizar Jamaludin telah dipilih dengan cara yang sah mengikut amalan demokrasi.

”Beliau (Nizar) telah dipilih mengikut lunas-lunas perlembagaan negara, melalui pilihanraya, pilihan yang sah, dan telah menjalankan tugasnya dengan baik,

”beliau tidak boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya,”katanya dalam Himpunan Menyokong MB Perak di kediaman rasminya di Ipoh semalam, yang disiarkan secara langsung melalui WEB TV PAS.

Katanya sekiranya ada pihak yang mahu memberhentikan Nizar, hendaklah dengan yang cara yang mulia dan terhormat dan jangan ‘merompak di tengah jalan’.

Beliau berkata PAS mempunyai pengalaman menghadapi menang kalah dalam pilihanraya dan jatuh bangunnya kerajaan PAS dimasa lalu.

“PAS sebuah parti yang sah, menyertai amalan pilihanraya sejak tahun 1955, PAS menang dan kalah, memerintah Kelantan dan Terengganu, pernah ditumbangkan di Terengganu dan Kelantan,

“di Terengganu pada tahun 1961. wakil rakyat telah dicolek ketika itu, dengan cara yang tidak terhormat, dengan melakukan rasuah,”kata beliau.

Walaupun begitu, katanya, Perikatan (ketika itu) telah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri dan membawa usul tidak percaya ke dalam dewan.

“Setelah (Perikatan) mendapat suara majoriti, kerajaan PAS di tumbangkan, PAS tidak membantah,”tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di Kelantan pada tahun 1978, Barisan Nasional (BN) yang tidak berjaya menjatuhkan kerajaan Kelantan, tetapi mereka tidak menumbangkan kerajaan dengan merampas kuasa.

”Mereka (BN) tidak berani merompak, tetapi mencuri, mereka mengisytiharkan darurat, kemudian mengisytiharkan pilihanraya,

”pimpinan UMNO, dulu ada harga diri, tetapi yang melakukakan kerja di Perak (sekarang), tidak tahu malu, merompak (merampas kuasa) di tengah hari,”tegas Dato’ Seri Abdul Hadi.

Beliau bertanya kepada hadirin, ”adakah rakyat Perak dengan kerajaan perompak yang berlaku pada hari ini ? Lalu dijawab dengan bergemuruh oleh hadirin yang “Tidak !”.

Katanya beliau begitu gembira pada malam tadi, kerana rakyat pelbagai kaum pelbagai bangsa berkumpul pada malam semalam, yang bersatu pelbagai agama dan fahaman politik menentang yang zalim, menentang BN yang tidak ada maruah dan harga diri.

Belau turut menyelar Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang bakal menjadi menjadi Perdana Menteri (PM).

”Kalau inilah pemimpin yang bakal menjadi PM, belum lagi jadi PM, sudah tunjuk perangai, kalau jadi PM, hancur negara kita, apa akan jadi kepada rakyat dan perlembagaan negara kita ?” soal beliau.


Beliau turut mengumumkan rancangan Pakatan Rakyat yang akan menjelajah keseluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat dan mengajak rakyat menyatakan bantahan bersama Menteri Besar Perak yang sah, Dato’ Seri Nizar jamaludin.

“Malam ini permulaan, kita akan turun ke negeri-negeri, DUN-DUN, menghalau hantu yang merosakkan negara,”tambahnya.

Turut berucap dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan Ketua Umum PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Last Updated on Monday, 09 February 2009 13:56


Sumber berita:

http://www.buletinonline.net

Karpal akan belayar dengan kapal sendiri ?-Malaysiakini

Nampaknya Karpal Singh memang sudah tak ada kerja lain, asyik hendak menyalahkan orang sahaja. Atau sejak akhir-akhir ini Karpal agak mudah terasa hati !


PAS menyatakan perjuangannya mahu menegakkan hudud di Malaysia untuk orang-orang Islam, PAS disalahkannya. Riuh rendah satu Malaysia sewaktu pilihanraya Kuala Trengganu tempoh hari. Kecaman Karpal dimain-mainkan oleh UMNO/BN merata-rata di Kuala Trengganu dan siarkan media BN ke seluruh negara. Hasilnya PAS parti komponen Pakatan Rakyat mencapai kemenangan bergaya.


Kali ini apabila Kerajaan Pakatan Rakyat Perak diguling secara lompat parti yang tidak bermoral oleh BN, Karpal bingkas mengecam Anwar Ibrahim sebagai tidak layak menjadi Ketua Pakatan Rakyat. Pada hal sewaktu usaha 16 September tempoh hari Karpal turut tahu apa yang Anwar dan Pakatan mahu lakukan. Tidak pula pada waktu itu Karpal menegur atau membuat bising apatah lagi protes Anwar sebagai tidak layak menjadi Ketua Pakatan.


Mungkin kali ini Karpal marah sungguh kerana ada seorang DAP yang menjadi ‘katak’ .Bertambah marah lagi Karpal kerana Pakatan Rakyat tidak bersetuju apabila dia mahu saman Sultan Perak ? Itulah Karpal. Beliau seorang yang tidak kira tempat dan masa, dia akan melenting dan ‘meletup’ jika dia mahu ‘meletup’. Kali ini letupannya juga ditalanya juga ke arah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.


Kerana kecewa dengan semua pihak PAS, Anwar dan PKR serta kepimpinan tertinggi DAP, Karpal membuat ancaman untuk menarik DAP keluar dari Pakatan Rakyat.Apakah cadangan Karpal nanti akan turut dipersetui oleh pemimpin kanan DAP yang lain. Jika mereka itu tidak bersetuju dengan Karpal apakah Karpal akan 'belayar' dengan kapal sendiri ? Kapal yang mana dan bagaimanakah rupa kapal itu ?


Kini, awal-awal lagi pihak media massa tunggangan UMNO/BN telah menyiar ke serata ceruk ancaman dan gertakan Karpal. Kini ulasan yang dihamburkan merata-rata sehari dua ini ialah Pakatan Rakyat telah berpecah. Nampaknya ’berlauklah’ UMNO/BN sehari dua ini!


Menariknya ialah apabila Karpal mencadangkan Anwar berundur sebagai ketua kepada Pakatan Rakyat, siapakah agaknya orang yang layak yang hendak dicadang oleh Karpal ? Lim Kit Siang ? Lim pun sudah kena marah. Tok Guru Nik Aziz? Tuan Guru Haji Hadi? Atau Pengerusi Kebangsaan DAP sendiri? Namun demikian bagaimanakah reaksi Karpal apabila hari ini Lim Guan Eng mengatakan Anwar Ibrahim tetap mengetuai Pakatan Rakyat? Apakah Karpal akan kecil hati lagi dan akan benar-benar belayar dengan kapal sendiri kerana Karpal telah memberi amaran , "Jangan main-main dengan saya !".

Sunday, February 08, 2009

Kerajaan Haram akan tersangkut di DUN Perak - Malaysiakini

UMNO memang kian teruk. Sebuah parti politik yang rosak dan merosakkan. Apa sahaja tindakan yang dilakukannya akan dianggap tidak salah maksudnya akan dianggap betul oleh UMNO walaupun bercanggah dari segi perundangan dan perlembagaan. Dan jelas UMNO ini menyusahkan semua orang; menyusahkan politik berintegriti dan merosakkan integriti pihak istana.

Dalam ceramah di Taman Melewar malam tadi, Datuk Paduka Husam Musa menyatakan bahawa Dato Najib (katanya bakal PM ?) terlupa dua perkara mengenai rampasan kuasa haram yang dilakukan di Perak dan kerana itu Kerajaan Haram Perak akan berhadapan dengan konflik yang berpanjangan.

Najib terlupa bahawa speaker DUN yang masih lagi kekal adalah dari ADUN DAP. Maka itu sidang DUN pada bulan hadapan akan dimasuki oleh Menteri Besar Haram yang akan ber-speaker-kan ADUN Pembangkang.

Ada dua masalah yang akan dihadapi:

Pertama, Speaker DUN Perak tidak boleh dipecat begitu sahaja. Speaker hanya boleh dilucutkan jawatan melalui usul tidak percaya terhadapnya. Dalam soal ini Speaker DUN ada kuasa mutlak untuk menerima atau menolak usul tersebut. Dalam soal ini apakah Speaker DUN Perak akan terima usul undi tidak percaya yang akan dikenakan terhadapnya dalam krisis dan konflik di Perak ini.Nampaknya jauh panggang dari api. So sampai bila-bilapun Menteri Besar Haram Perak tidak boleh tukar Speaker itu kecualilah DUN Perak dibubarkan. Kena melalui pembubaran juga !! Yang takut sangat nak bubar tu kenapa ?

Masalah yang kedua kata Datuk Husam, Speaker DUN Perak tidak iktiraf Menteri Besar Haram Perak kerana bagi Speaker, Menteri Besar Perak masih lagi Datuk Seri Nizar. Najib terlupa, peraturan tempat duduk dan aturan persidangan adalah kuasa mutlak Speaker. Dan lagi bermasalah kepada kerajaan Haram BN itu apabila nanti Speaker boleh menghalau ADUN Jelapang, ADUN Changkat Jering serta ADUN Behrang yang pada pandangan speaker mereka ini telah terlucut jawatan sebagai wakil rakyat.

Nampaknya keadaan menjadi begitu rumit kerana Menteri Besar Haram tidak boleh menghalang speaker kerana dia tidak ada kuasa malah katanya dalam soal ini Sultan pun tidak boleh pecat Speaker !

Bayangkan dalam persidangan itu nanti Datuk Seri Nizar tetap berada di kerusi Menteri Besar dan Menteri Besar Haram berada di kerusi pembangkang ! Dalam keadaan begini bolehkah UMNO/BN/Bebas Katak itu mengusulkan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Nizar ? Agak-agaknya Speaker PR terimakah usul tersebut?

Tidak dapat dibayangkan juga hari Selasa ini MB Haram akan berlumba-lumba dengan MB Halal datang ke Pejabat.

Inilah akibatnya mainan politik curang Najib. Dan inilah akibatnya apabila keputusan tidak adil dihadiahkan kepada rakyat. Bukan menyenangkan tetapi semakin menyusahkan, hasil dari pemikiran cerdik yang tidak boleh diikut! Kalau diterima pembubaran Datuk Seri Nizar dahulu, kan tak ada masalah. Meriah Perak berkempen...macam di Kuala Trengganu!