Followers

Saturday, February 07, 2009

UMNO menggali lubang kubur sendiri -Malaysiakini

Apa yang berlaku di Perak nampaknya begitu menggembirakan para pemimpin UMNO terutama Dato Najib. Berbagai-bagai ulasan yang pemimpin UMNO berikan di seluruh media yang mereka kuasai kononnya itu adalah pandangan seluruh rakyat. Apakah rakyat begitu bodoh untuk mentafsir dan memahami pandangan dan ulasan yang penuh dengan putar-belit dan kepura-puraan mereka. Yang paling utama apakah wajah gembira mereka itu memberi petanda bertambah kuat dan kukuhnya UMNO di persaingan politik tanah air ?

Rata-rata pada pandangan rakyat yang waras UMNO sebenarnya telah memperalatkan pihak istana untuk kepentingan nafsu serakah mereka sendiri. UMNO berusaha meyakinkan pihak istana, untuk yakin kepada mereka yang sedang menghadapi tuduhan rasuah. Bagaimana implikasinya kepada dan imej pihak istana jika sekiranya pihak yang sedang bergelumang dengan tuduhan rasuah itu benar-benar didapati bersalah oleh mahkamah nanti ? Atau apakah akan ada pihak yang akan pastikan mereka berdua itu tidak akan didapati bersalah oleh mahkamah? Jika ini berlaku, apakah rakyat Perak terlalu bodoh untuk memahaminya ?

UMNO kini sedang riuh rendah sama ada dari mulut pemimpin mereka mahupun dari corong-corong media mereka menuduh Pakatan Rakyat menderhaka kepada sultan. Sebenarnya tuduhan ini hanyalah mainan politik UMNO semata-mata. Persoalan yang perlu difikir dan dikaji oleh pihak istana secara ikhlas dan rasional apakah UMNO benar-benar telah memartabatkan institusi istana selama mereka memerintah ini? Apa yang sebenarnya berlaku UMNOlah yang kian meletakkan istana dalam kedudukan yang semakin tidak popular. Secara halus UMNO seperti mengheret istana terbabit ke kancah politik curangnya yang tidak bermoral. Sekali lagi apakah rakyat terlalu bodoh untuk memikir dan memahami perkara ini?

Para pemimpin UMNO terutamanya Najib telah membuat fitnah dengan mengatakan bahawa apa yang mereka lakukan di Perak adalah apa yang diajar dan dipersetujui oleh Pakatan Rakyat. Sesungguhnya menipu dan memutar belit fakta adalah kerja UMNO. Kegagalan 16 September adalah kerana Pakatan Rakyat mahu melakukannya secara bermaruah dan berperlembagaan. Menghantar surat kepada Pak Lah untuk menyatakan mempunyai majoriti. Pak Lah tolak. PR terima. Kemudian menghantar surat kepada Speaker agak memanggil sidang parlimen tergempar untuk melakukan undi tidak percaya. Speaker tolak. PR terima. Mungkin mereka memohon kepada Agong untuk menitahkan Pak Lah buat sidang tergempar parlimen. Mungkin tiada jawapan. PR terima.

Gagalnya 16 September, PR terima kerana mereka lakukan mengikut prosedur yang dibolehkan perlembagaan.

Tetapi apa yang berlaku di Perak berbeza dengan telah dilakukan oleh PR untuk mencapai 16 Sepetember. 'Culik' dan 'sorok' ADUN selama beberapa hari, tiba-tiba keluar berubah pendirian. Ada dakwaan mengatakan mereka ini diberi ganjaran namun SPRM kelu seribu bahasa. Di manakah SPRM ? Tok Guru Nik Aziz bercerita kisah yang sudah berpuluh tahun berlalu, yang dia pernah cuba dirasuahkan , esoknya BPR serta merta memberi kenyataan akan menyiasat dan datang sungguh berjumpa Tok Guru. Dato' Nasharuddin Bota masuk PKR tak cukup mulut SPRM menyebut hendak menyiasat. Bila Dato Nasharuddin Bota masuk balik UMNO, ke mana perginya SPRM ?

Apakah petanda semuanya ini? Bagi majoriti rakyat yang ramai sudah cerdik dan pandai malah yang lebih pandai dan bijak dari para pemimpin UMNO, ini bermakna UMNO sebenarnya telah mula secara intensif menggali kuburnya sendiri! Mereka yang hanya akan memangkah UMNO pilihanraya ke 13 nanti hanyalah pengundi pos, saluran satu dan PENGUNDI HANTU !! Heh...UMNO memang tengah menggali kuburnya sendiri.

Reformasi Kedua di Kuala Kangsar

Petikan Telaah Politik
Sat | Feb 07, 09 | 6:16:25 am MYT


Setelah lebih sepuluh tahun reformasi berkaitan pemecatan Anwar Ibrahim, kali ini berlaku peristiwa seumpamanya berkaitan pemecatan tidak sah Nizar Jamaluddin.

Jika gelombang reformasi tahun 1998 berlaku di Kuala Lumpur kemudian merebak ke seluruh negara, reformasi kali ini berlaku di Kuala Kangsar dan bakal merebak ke seluruh Perak, malah mungkin ke seluruh negara. Sekiranya reformasi sebelum ini kerana tidak puas hati dengan Dr Mahathir Mohamad, reformasi kali ini disebabkan tidak puas hati dengan Sultan Perak dan pimpinan Umno. Yang sama, kedua-dua reformasi itu tercetus disebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang membuak-buak terhadap ketidakadilan.

Dalam reformasi tahun 1998, Dr Mahathir yang mengukir nama baiknya hampir 18 tahun sekali tersalah tindakannya, nama beliau menjadi busuk dan dibenci oleh ramai rakyat Malaysia.

Demikianlah juga Sultan Perak yang telah memerintah hampir 25 tahun sebagai Sultan yang dihormati, sekali beliau bertindak secara tidak adil rakyat Perak kiri dan kanan sudah mula mencemuh.

Dikatakan Sultan Perak dan Raja Muda begitu terkejut dengan reaksi rakyat Perak menentang tindakan baginda.

Baginda menyangka bahawa rakyat Perak akan akur dengan keputusannya, tetapi peristiwa di Kuala Kangsar ini sememangnya di luar dugaan baginda. Kedudukan baginda sama seperti kedudukan Dr Mahathir pada tahun 1998.

Baginda Raja Muda Nazrin yang menaiki takhta dengan melangkaui giliran pastinya terkejut keretanya telah dibaling batu oleh para penunjuk perasaan. Baginda yang sejak sehari dua ini bertitah dengan tulus dan mulus menyatakan peranan Raja yang mesti mendukung keadilan, dapat melihat sendiri apabila rakyat memberontak setelah dirasakan Raja tidak adil dan berpihak.

Sehari dua ini kalau baginda turun kepada rakyat, tidak mustahil peristiwa yang berlaku kepada Bush akan turut berlaku kepada baginda. Cuma rakyat Perak mungkin tidak baling kasut sebab ramai di kalangan mereka yang tidak berkasut cuma berselipar. Kalau rakyat Perak membaling selipar apalagi jenis selipar jamban, maka sudah tentu Raja Nazrin akan rasa lebih terhina.

Demikianlah juga ayahanda Baginda Sultan Azlan, baginda juga pasti terkejut apabila rakyat sudah berani mempertikaikan kewibawaan baginda. Dalam laman-laman web kutukan demi kutukan telah dilempar kepada Sultan Azlan. Malah lebih mengejutkan lagi dalam web rasmi Sultan Perak, rakyat telah mencaci nista baginda di dalam buku pelawat web tersebut.

Perkataan-perkataan yang dilempar kepada Dr Mahathir, kini dilemparkan pula kepada Sultan Azlan. Sambutan 25 tahun baginda di atas takhta telah dicemari dengan kemarahan rakyat. Sepanjang 25 tahun baginda dihormati, kali ini rakyat tidak lagi menghormati baginda malah dicaci nista oleh mereka.

Dalam artikel kami yang lalu, kami telah menyatakan kalau Sultan Perak memilih untuk untuk menerima pandangan BN, maka sejarah hitam akan terpalit dalam 25 tahun pemerintahan baginda. Rakyat sekarang bukan lagi rakyat yang tidak bijak. Mereka telah mendapat ilmu setaraf dengan baginda, malah mungkin lebih.

Rakyat hari ini telah menolak propaganda media sebagaimana yang dilakukan dalam pilihan raya umum dan dua pilihanraya kecil yang lalu. Mereka telah mendapat berita dari pelbagai sumber.

Minda politik mereka telah beranjak kepada minda politik kelas pertama seperti di negara maju. Golongan yang sebaya dengan Baginda Sultan Perak ramai yang telah kembali menemui Allah, justeru rakyat baginda sekarang benar-benar telah berubah.

Peringatan yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS, supaya Sultan Perak meneliti keputusan baginda supaya selaras dengan kehendak rakyat seharusnya diberi perhatian. Sekiranya tidak peristiwa yang berlaku hari ini adalah natijahnya. Lebih daripada itu, sebagaimana yang disebutkan oleh Mursyidul Am PAS, kemungkinan sistem beraja di negara ini akan turut menjadi sejarah sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara lain.

Tindakan baginda dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk di kalangan vateran Umno sendiri seperti Dr Mahathir, Tengku Razaleigh dan Rais Yatim. Demikian juga dengan SUHAKAM, turut mempertikaikan pembentukan kerajaan BN yang tidak sah ini.

Reformasi kali kedua ini mewarisi semangat reformasi kali pertama. Rakyat bangun menyatakan bantahan atas ketidakadilan. Kali ini mereka tidak mempedulikan siapa, kerana jelas kemarahan mereka ditujukan kepada Sultan Perak selain daripada pimpinan Umno.

Biarpun media massa memainkan peranan untuk mengelirukan rakyat bahawa Nizar dan penentang keputusan Sultan ini sebagai derhaka, hari ini telah diterima umum derhaka kepada kezaliman itu sesuatu yang mulia.

Zaman feudalisme dunia dan negara ini telah lama berlalu. Sekiranya Hang Tuah dan Hang Jebat menjadi calon Menteri Besar Perak sekarang, rakyat hari ini akan memilih Hang Jebat.

Sebagaimana propaganda media memburuk Anwar dan mewajarkan tindakan Dr Mahathir semasa reformasi 1998 tidak ditelan oleh rakyat, maka dipercayai propaganda media pada kali ini juga tidak akan berkesan.

Betapa lagi kalau Pakatan Rakyat bertindak bijak sepertimana tindakan mereka tahun 1998 yang lalu. Kalaupun kerajaan haram BN tidak tumbang, nama pemimpin mereka termasuklah nama Istana Perak akan terus buruk di mata rakyat.

Hari ini bukan sekadar zaman feudal telah berlalu, tetapi zaman politik perkauman juga hampir tamat. Faktor ini akan menjadikan reformasi kali kedua ini mungkin lebih berjaya. Cuma mungkin bahangnya hanya dirasai di Perak tidak di negeri yang lain. - telaahpolitik.blogspot.com_

Sumber: Harakahdaily

Friday, February 06, 2009

Antara politik berintegriti dan politik curang - Malaysiakini

Kini sudah terakam dalam arkib sejarah Negeri Perak Darul Ridzuan antara politik berintegriti dan politik curang, akhirnya politik curang dipayungi pada tanggal 5 Februari 2009 bersamaan 9 Safar 1430 Hijri.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi negeri Perak dan seluruh negara dalam keadaan corong telinga rakyat masih terngiang-ngiang terdengar ucapan beberapa hari sebelum peristiwa melompat parti bahawa pihak yang memayungi negeri atau negara seharusnya bersikap tidak partisan dan mesti sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat. Pada waktu itu alangkah leganya seluruh jiwa raga rakyat mendengar ucapan yang begitu berkualiti tinggi dari lontaran minda intelektual.

Namun hari ini rakyat terus buntu dan gagal untuk memahami di manakah kesecocokan ucapan itu dengan keputusan yang dianugerahkan kepada rakyat Perak. Rakyat tidak faham di manakah ciri-ciri keadilan yang diwar-warkan ucapan tersebut. Mungkin juga ucapan itu terlalu tinggi tahap intelektualnya sehinggakan rakyat Perak yang agaknya 'bodoh-bodoh' belaka sukar memahaminya !!

Atau ucapan itu sebenarnya hanyalah mainan retorika pemikiran intelektual kebangsawanan yang bagaikan 'minyak dengan air' dengan denyut nadi perjuangan dan kehidupan rakyat ?

Dunia terus memerhati, apakah yang akan berlaku selepas ini ? Apakah krisis perundangan dan perlembagaan ini akan dibiarkan oleh yang memayungi untuk terus merugikan rakyat yang memerlukan pembelaan dan kebajikan. Apakah ini tidak memberi sebarang kesan negatif kepada institusi yang memayungi akhinya nanti?

Sementara nasi belum menjadi bubur basi, masa masih ada untuk diberi keadilan kepada semua dengan menerima pembubaran DUN Perak. Semoga rakyat tidak terus 'meratib' sepanjang zaman; antara politik berintegriti dengan politik curang, politik curang akhirnya dengan senyum galak dipayungi !!! Dunia dah nak kiamat !


Pakatan Rakyat Sepakat, Rakyat Sokong Nizar - Malaysiakini

Written by Editor

Friday, 06 February 2009 08:37


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak supaya mematuhi perlembagaan negara.


Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama semua pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat di rumah kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh petang semalam.

Beliau berkata demikian setelah bersepakat menyokong keputusan supaya Menteri Besar Perak Dato’ Seri Nizar Jamaludin tidak meletakkan jawatan sebegai Menteri Besar.

Sementara itu PAS menyokong apa-apa jua yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat untuk mengembalikan kuasa rakyat.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS berpendapat Nizar masih lagi Menteri Besar yang sah sehinggalah semua proses undang-undang yang melibatkan 3 bekas ADUN Pakatan Rakyat selesai.

”Apa yang berlaku hari ini amat mengecewakan, terutamanya apabila pencabulan undang-undang telah dihalalkan,

”sekiranya pencabulan ini dibenarkan, ia mencipta satu perkara yang boleh membahayakan negara,”katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau telah menyelar Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dengan mengatakan apa yang berlaku hari ini menggambarkan sikap yang akan ditunjukkan oleh Najib apabila menjadi Perdana Menteri kelak.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana polis telah digunakan untuk menghalang Menteri Besar dan Exco kerajaan memasuki pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), walaupun mereka masih lagi belum menerima surat, samada dipecat, disingkir ataupun sudah tidak diperlukan lagi.

“Apa yang berlaku hari ini, dimana Setiausaha Kerajaan Negeri mengambil alih kuasa amat memalukan,

“Najib perlu membuat satu pilihanraya Dewan Undangan negeri, bagi memastikan hak rakyat dikembalikan,”tambahnya.

Dalam perkembangan lain, media arus perdana melaporkan tindakan Barisan Nasional merampas kuasa dan melantik Menteri Besar yang tidak sah disokong oleh rakyat.

Semalam menyaksikan keadaan sebaliknya berlaku sebagaimana Malaysiakini melaporkan, dari jam 10 malam hingga saat ini, kenderaan yang bertali arus di depan kediaman rasmi menteri besar terus-menerus membunyi hon selama hampir dua jam - dipercayai menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

"Ribuan orang masih berkumpul di tepi-tepi jalan di luar kediaman tersebut dan sehingga kini tiada tanda-tanda mereka akan bersurai."lapor akhbar tersebut hingga jam 12.00 tenghmalam semalam.


Sumber:

http://www.buletinonline.net


Thursday, February 05, 2009

Penculikan dan rasuah untuk jatuhkan kerajaan Perak ? - Malaysiakini



Oleh Johari Jaafar

IPOH: 5 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata beliau menyerahkan urusan pembubaran Dun Perak kepada Allah setelah berusaha dengan berbagai cara yang betul mengikut lunas undang-undang dan syarak.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat solat hajat dan berdoa kepada Allah memohon supaya kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat diselamatkan.

Malam tadi penyokong-penyokong Pakatan Rakyat kelihatan begitu ramai berkumpul di sekitar kediaman Menteri Besar Perak.

Beliau menasihati orang ramai supaya bertenang, tidak menimbulkan kekacauan, provokasi dan tidak melanggar batas undang-undang.

"Serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan menyelesaikan kemelut ini," ujar Nizar.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki difahamkan 'agen-agen BN' telah memperdaya Adun Bota yang membawanya keluar dari rumahnya kononnya Raja Muda ingin bertemu.

Sepatutnya malam itu Nasarudin bersama semua Adun Pakatan Rakyat berada di rumah Menteri Besar.

Rupanya beliau dibawa ke Putrajaya dengan kawalan yang sangat ketat.

Menurut isterinya yang menceritakan kepada pimpinan PKR Perak sambil menangis suaminya dipaksa untuk menyertai semula BN.

Beliau sempat menghantar mesej pada suaminya dengan mengingatkan supaya jangan menjadi pengkhianat, tetapi mesej tersebut tidak berjawab.

Rumahnya di Ipoh dikawal dengan ketat oleh orang-orang yang tidak dikenali.

Peringkat awal, rumah mereka dikawal oleh petugas-petugas PKR.

Oleh kerana ramainya orang-orang yang tidak dikenali menceroboh masuk ke halamannya rumahnya, petugas-petugas PKR terpaksa mengundur diri kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

Mohamad Nizar menyeru seluruh rakyat Perak bersabar dengan cubaan jahat Umno ini.

Mohamad Nizar memberitahu ketika beliau melangkah keluar dari pintu Istana, Baginda Tuanku berpesan kepada beliau dengan membaca petikan ayat al-Quran yang berbunyi "Innallaha ma'assobirin"._

Sumber: Tranungkite online:

http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=2155

Raja dan demokrasi

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Feb 05, 09 | 6:21:48 pm MYT

1.Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.

2.Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain.Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: "Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri."

3.Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4.Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5.Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6.Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak.Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman.

Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud :

"Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam." (Surah Al Anaam: Ayat 45)../wann _

Sumber: Harakahdaily

Antara integriti dan mainan politik, siapa yang dipayungi-Malaysiakini

Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar berusaha menguruskan kerajaan Pakatan Rakyat dengan berintegriti. Dengan integriti tersebut selama 11 bulan memerintah rata-rata rakyat Perak begitu seronok dan teruja.


Pada hari ini Menteri Besar Perak dengan penuh integriti mempertahankan pula kerajaan Pakatan Rakyat dari tindakan spesis-spesis politik yang tidak bermaruah dan tidak berintegriti akibat dari mainan politik ADUN Bota, ADUN Behrang, ADUN Changkat Jering dan ADUN Jelapang. Empat orang ADUN yang paling tidak berguna dan tidak bermaruah di abad ini. Kepada apakah yang hendak di pegang dengan ADUN-ADUN yang serumpama ini. Apakah mereka ini boleh dijamin tidak akan mengulangi permainan yang mempermainkan demokrasi. Rakyat yang cerdik barangkali sudah serik untuk berYBkan spesis-spesis seumpama ini.


Najib yang rasanya ditegur oleh Tengku Razaliegh agar jangan sibuk bermain politik kerana ekonomi negara sedang tenat dan rakyat sedang susah dan tertekan, tersenyum lebar dengan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah untuk merampas kerajaan Perak secara sangat tidak berintegriti dan membiarkan rakyat terus terhimpit dengan tekanan ekonomi yang kritikal.


Sehingga waktu ini nampaknya belum ada keputusan yang jelas di Perak sama ada antara integriti dan mainan politik curang , siapakah yang akan dipayungi ? Semoga pihak yang sentiasa dianggap berintegriti oleh rakyat memayungi integriti !

Tuesday, February 03, 2009

Bolehkah PPSMI dimansuhkan ? - Malaysiakini

Written by Ibrahim Baba

Monday, 02 February 2009 08:54

Perlaksanaan PPSMI adalah suatu keputusan yang dilakukan oleh Mahathir secara yang amat tergesa-gesa. Tanpa kajian yang menyeluruh berhubung implikasi dan kaedah perlaksanaan - Mahathir terus mengarahkan ianya dilakukan dalam masa yang amat suntuk.

Apakah kerana tidak puas hati dengan pegawai kerajaan yang lemah dalam pertuturan Bahasa Inggeris dalam suatu persidangan antarabangsa wajar untuk beliau terus membuat kesimpulan begitu dan terus menyalahkan bahasa ibunda.

Apakah ini seperti marahkan nyamuk kelabu dibakar?

Berbalik kepada persoalan di atas, perlaksanaan PPSMI sebenarnya bagaikan durian runtuh untuk sesetengah orang dan b eberapa syarikat yang hidup bernafas semula hasil dari kontrak pembekalan pelbagai peralatan untuk projek PPSMI. Bukan jutaan Ringgit tetapi berbillion Ringgit.

Di awal perlaksanaannya perbelanjaannya adalah sekitar RM900,000,000 hingga RM1,050,000,000 setahun untuk enam tahun pertama. Kini sudah masuk fasa-fasa yang seterusnya dan sudah lebih RM10 billion dibelanjakan untuk pelbagai perkakasan, peralatan, perisian, latihan dan juga kos juru runding.

[IB tidak mahu membicara pelbagai masalah dan kerugian yang telah dialami - akibat dari ketidaksediaan infrastuktur, tiada perancangan teliti dan tiada kepakaran yang perlu. Tidak kurang juga perkakasan yang hilang dan dicuri]

Yang kenyang - segelintir syarikat dan manusia yang mengikuti rapat projek ini dan kini merekalah di antara orang yang banyak melobikan agar projek ini diteruskan - demi menjaga periuk nasi mereka.

Jadi kepada persoalan di atas tadi - kesediaan untuk mansuh PPSMI adalah “political decision” dan juga “business decision” - mungkin tidak ada kena mengena demi kepen tingan bahasa dan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Berdemo dan berbantahlah kita - selagi mereka yang berkepentingan itu perlukan projek ini maka PPSMI akan tetap diteruskan.



http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=160:bolehkah-ppsmi-dimansuhkan-&catid=37:pendapat&Itemid=50

Drama politik di Perak semakin suspen....!

Hari ini ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering yang dihebohkan hilang dan telah 'ponteng' tugas exco selama 5 hari telah diselamatkan oleh keputusan SPR yang 'menghakimi' bahawa surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN tersebut mencurigakan. SPR lantas membuat keputusan tiada pilihanraya kecil.

Tersengih YB Jamaluddin dan terus memaklumkan bahawa beliau tidak akan masuk mana-mana parti politik. Namun enam jam selepas itu beliau mengumumkan keluar PKR untuk menjadi ADUN Bebas. YB Othman juga dilaporkan membuat keputusan yang sama ?

Dengan keputusan tersebut bermakna drama politik di Perak terus suspen. Adakah akan berlaku selepas ini ?

Suara-suara mempertikai keputusan SPR telah mula kedengaran. Apakah SPR telah membuat keputusan yang betul. Apakah keputusan SPR itu ada dalam bidang tugas dan dalam bidang kuasa SPR. Isu ini nampaknya akan meninggalkan konflik berundangan yang berpanjangan untuk diselesaikan menerusi mahkamah yang adil.

Yang jelas, masyarakat umum merasakan semacam ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan SPR pada hari ini. Persoalan yang perlu ditanya, kenapa SPR seperti mahu konflik ini berterusan berbanding jika SPR membenarkan pilhanraya kecil diadakan untuk rakyat membuat keputusannya. SPR sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengelak sebarang konflik politik seperti ini. Persoalannya kenapa SPR tidak memilih jalan yang lebih praktikal dengan mengadakan pilihanraya kecil ? Oleh kerana surat perletakan jawatan telah dikemukakan secara rasmi, bukankah sudah memadai untuk SPR mengisytiharkan ada kekosongan jawatan yang memerlukan diadakan pilhanraya kecil. Dalam pilihanraya peluang BN dan PR adalah seimbang.

Namun segala-galanya telah diputuskan oleh SPR. Nampaknya selepas ini SPRlah pencetus drama politik yang lebih drastik berlaku di Perak.

Monday, February 02, 2009

ADUN Lebai Malang ? - Malaysiakini

ADUN yang didakwa 'hilang' selama lima hari kini telah mula bersuara. Kedua-dua ADUN ini sebelum ini gagal dihubungi dan di kesan di mana mereka. Namun sebaik Speaker DUN Perak mengumumkan bahawa kedua-dua ADUN tersebut telah meletak jawatan melalui feks kepada beliau dan akan memaklum surat perletakan jawatan mereka selaku ADUN kepada SPR secepat mungkin, kedua-dua ADUN ini telah menjadi kelam-kabut dan mula memecah kesunyiaan.

Perkara yang dikatakan telah mereka lakukan, tetap telah berlaku mengiku peraturan. Esok SPR akan membuat keputusan sama ada akan diadakan pilihanraya kecil bagi DUN Berang dan DUN Changkat Jering Perak. Dan esok juga kita akan tahu sama ada kedua-dua ADUN ini menjadi lebai malang atau tidak dalam politik tanah air.

Jika pilihanraya kecil diadakan di kedua-dua DUN ini kerana perletakan jawatan maka sudah terang lagi bersuluh kedua-dua mereka adalah lebai malang politik ! Mereka sudah pasti tidak akan dipilih semula sama ada untuk mewakili UMNO atau Bebas apatah lagi mewakili Pakatan Rakyat yang mana sudah tentu PR 'menyampah' dengan sikap mereka berdua. Lagi pun mengikut peraturan ADUN yang meletak jawatan tidak boleh bertanding selama lima tahun dan ini bermakna kedua-dua mereka akan hanya boleh bertanding dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Nampaknya mereka ini hendakkan yang besar, yang kecilpun tak dapat. Daripada boleh memberi laba kepada boleh menjadikan papa dan beban kepada yang menerima mereka ! Lagilah bahana apabila kes 'rasuah' (?) mereka akan mula didengar pada 10 Februari ini ?

Yang pasti mendapat keuntungan ialah BN atau PR jika diadakan pilihanraya kecil. Jika calon BN menang, BN akan rasa untung. Jika pula calon PR menang maka PRlah yang untung ! Kedua-dua mereka kerana terlalu hendak tunjuk 'cerdik' dan tamak mungkin akan mendapat gelaran ADUN Lebai Malang ! Puaslah mereka !!

Sunday, February 01, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Behrang dan Changkat Jering ? - Malaysiakini

Dua ADUN Perak dari PKR yang didakwa 'hilang' dan tidak dapat dihubungi oleh keluarga masing dan kerajaan negeri Perak telah meletak jawatan sebagai wakil rakyat berkuatkuasa hari ini.

Kedua-dua ADUN berkenaan ialah Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Perkara perletakan jawatan ADUN ini dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh pada pukul 5.45 petang tadi. Menurut Speaker Perak itu, kedua-dua ADUN berkenaan menghantar surat menggariskan keputusan itu menerusi faks yang dihantar ke rumahnya. Katanya beliau selaku Speaker DUN Perak akan memaklumkan kepada SPR esok.

Menteri Besar Perak dikatakan telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

UMNO pasti akan berkubur ?- Malaysiakini

Semenjak riuh-rendah 'kehilangan' 2 ADUN Pakatan Rakyat Perak, pelbagai spekulasi melanda Kerajaan Perak tersebar pada waktu ini. Ada yang mengatakan kerajaan Pakatan akan bertukar tangan kepada Barisan Nasional dalam masa terdekat. Ada yang mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat akan terus memerintah dengan majoriti tipis dan ada yang mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat akan memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN jika dibenarkan oleh undang-undang.

Apa yang menarik, apa pun yang berlaku dalam politik Perak hari ini ialah PAS dan DAP. Dua parti politik yang sering bermusuhan kerana ideologi politik yang jauh berbeza akan hidup mati bersama, sehati sependapat mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat yang ada ini, yang kian rapuh itu. Tindakan politik bersama dua parti bertentangan ideologi ini bakal menentukan nasib dan usia kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Dalam erti kata lain pada waktu ini DAP perlu bersama dan setia kepada PAS dan PAS juga perlu bersama dan setia kepada DAP dengan sokongan dari 'prinsip rapuh' ADUN-ADUN dari PKR.

Signifikannya, konflik yang berlaku di Perak ini sebenarnya mentakdirkan mahu tidak mahu, PAS dan DAP akan meneruskan kerjasama-erat dalam politik sebagaimana yang ditunjukkan di Kuala Trengganu tempoh hari. Dua parti politik ini sebenarnya memang tidak mampu untuk bercakaran jika terus mahu mengekalkan momentum sokongan rakyat terhadap PR.

Sebenarnya, jika benar strategi Dato Najib (?) mahukan dua ADUN PKR itu melompat kepada UMNO pada waktu sekarang, maka startegi itu adalah senjata makan tuan. Jika terpaksa dan memaksa kerajaan Pakatan membubar DUN Perak untuk menyerah kembali mandat kepada rakyat, UMNO akan menghadapi keadaan yang sangat sukar dan sakit. Spekulasi yang mendakwa UMNO akan runtuh akan menjadi semakin mudah dan lebih segera lagi.

Isunya kepada UMNO/BN jika pilihanraya DUN diadakan, mampukah UMNO/BN mengembalikan keyakinan ratyat kepadanya dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang mencengkam rakyat hari ini ? Ketidakbersediaan kerajaan UMNO/BN dalam menyediakan langkah-langkah tegas menghadapi kemelesetan ekonomi dapat dilihat dengan jelas oleh rakyat yang kian jengkel terhadap cara kerajaan UMNO/BN menghadapi kemelesetan ekonomi.

Isu kedua mampukah UMNO/BN berbelanja besar untuk memenangi pilihanraya dalam keadaan ekonomi yang gawat ini. Berbelanja kecil bukan UMNO/BN untuk menghadapi sesebuah pilihanraya. Politik UMNO/BN adalah politik 'janji dan suap pembangunan'. Risikonya, walaupun dijanji pembangunan bulan bintang, rakyat di Kuala Trengganu contohnya tetap menolak UMNO/BN!

Isu yang ketiga, jika pilihanraya diadakan sebelum perhimpunan Agung UMNO maka UMNO akan pasti bergaduh sesama sendiri untuk mendapat tempat sebagai calon dan sebagainya. Begitu juga jika pilihanraya diadakan selepas perhimpunan Agung UMNO. Apakah berbagai team dalam UMNO akan menyokong calon-calon UMNO yang bukan dari team mereka ?

UMNO pasti akan hancur dan berkubur!!?
PAS dan DAP akan terus berpadu !!?

Dua ADUN Perak masuk BN ? - Malaysiakini

Dalam laporan berita TV 3 sebentar tadi anak salah seorang ADUN yang hilang mengesahkan ayahnya keluar PKR tetapi katanya ayahnya menjadi wakil Bebas. Manakala apabila di tanya oleh wartawan mengenai kemungkinan dua ADUN itu menyertai BN, Pak Lah kata "mungkin kot !".
Dua kenyataan ini mempu mengesahkan bahawa kedua-dua ADUN tersebut akan keluar Pakatan Rakyat.

Nampaknya UMNO di Perak memilih jalan merbahaya untuk menguasai Perak. Apakah tidak mungkin selepas ini UMNO di Perak akan karam terus dari persada politik Negeri Perak. Apa akan terjadi kepada UMNO jika Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan ? Apakah UMNO mempunyai laluan mudah dan murah untuk menguasainya.

UMNO kian kecut perut kerana satu masuk PKR, dua masuk UMNO (?) dan mungkin lapan puluh di pusat masuk PAS ?