Followers

Saturday, January 17, 2009

PRK Kuala Trengganu: Banyak kesan signifikan kepada PAS dan UMNO.

Sah, Calon PAS (Pakatan Rakyat) Hj Mohd Abdul Wahid Endut menang PilihanRaya Kecil Parlimen P36 Kuala Trengganu dengan mencapai majoriti yang lebih besar. Mohd Abdul Wahid,52 tahun, memperolehi 32,883 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan 30,252 undi. Beliau menang dengan majoriti 2,631 undi.

Kemenangan calon PAS ini sebenar memberi kesan yang signifikan sama ada kepada PAS/Pakatan Rakyat dan juga UMNO/BN.

Bagi PAS kemenangan ini bermakna parti PAS berjaya menghadapi perang saraf dari pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan kepimpinan PAS dan mengucar-kacir pengikut dengan menimbulkan isu kononnya wujud kumpulan Erdogan, kumpulan ulamak, kumpulan pro-penyatuan dengan UMNO dan sebagainya. Hakikatnya pewujudan gelaran dan kumpulan-kumpulan tersebut adalah mainan atau perang saraf semata-mata. Bagi orang PAS yang tulin sebenarnya tiada apa-apa kumpulan pun dalam parti ini melainkan semuanya adalah mengikut para ulamak pewaris nabi.

Persoalan perbezaan pendapat dalam PAS adalah realiti sebenar keihklasan perjuangan dan integriti sebuah jemaah Islam. Tradisi memberi kritikan yang membina dalam pelbagai lapisan ahli dan peringkat kepimpinan menjadikan parti PAS lebih berwibawa, berintegriti dan terus relevan dalam kancah politik tanah air. Hakikat ini terbukti dari hasil kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil yang sengit dan getir ini.

Kesan yang lebih ketara dari pilihanraya ini ialah kematangan berpolitik Pakatan Rakyat. Kelihatan semua parti dalam Pakatan Rakyat berkerja keras untuk memenangkan calon PAS termasuk DAP. Kepimpinan DAP dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat bawahan turun berkempen. Sikap tenang dan bersatu kepimpinan Pakatan Rakyat telah mematikan usaha UMNO/BN untuk melaga-lagakan mereka khusus antara PAS dengan DAP dalam soal hudud. Terbukti isu hudud bukan lagi isu yang perlu pergunakan dalam pilihanraya. Rakyat berbilang kaum telah mulai faham mengenai hukum hudud dan hasrat pelaksanaan hudud oleh PAS terhadap masyarakat Islam.

Pilihanraya ini juga membuktikan kematangan para pengikut PAS yang begitu tahan uji dan tidak termakan hasutan musuh. Sebelum nama calon diumumkan terdapat beberapa orang calon favourite yang dikatakan bakal mewakili PAS dalam PRK ini. Isu calon yang sepatutnya, begitu riuh diperkatakan antara Hj Mohd Sabu, Dr Syed Azman dan Dato Mustafa Ali. Namun sebaik Abdul Wahid Endut diumumkan sebagai calon semua pihak seperti terkejut. Walau bagaimanapun suasana terkejut itu gagal menyebabkan pengikut PAS berpecah-belah malah semakin mantap dalam memberi sokongan kepada kerja-kerja parti. Perbincangan isu calon PAS serta-merta terhenti di situ.

Nampaknya slogan PAS for all semakin menarik minat rakyat di samping kualiti calon-calon PAS yang boleh diletakkan di mana-mana dan boleh dibawa ke tepi ke tengah.

Bagi UMNO pula kesan signifikan yang perlu difikirkan oleh parti ini ialah sikap kian elitis mereka. Mereka nampak kian terpinggir dari masyarakat dan budaya Islam yang luhur. Nampaknya pragmatisme yang mereka amalkan memakan diri mereka sendiri apabila mereka kian dilihat tidak berprinsip. Apakah prinsip UMNO dalam mempertahankan Islam ? Apakah prinsip UMNO dalam mempertahankan Bahasa Melayu ? Apakah prinsip UMNO dalam menyemarakkan kemajuan ekonomi masyarakat Melayu ? Apakah prinsip UMNO dalam mengkualitikan nilai moral masayarakat khususnya generasi muda Melayu ? Dan banyak lagi perkara survival Melayu dan Islam yang boleh dipersoalkan dalam urus tadbir UMNO yang begitu lemah dan teruk sekali.

Yang keduanya, UMNO perlu memikirkan apakah kaedah dan isu kempen mereka, yang ada yang halal dan banyak yang haram itu masih relevan untuk di hidangkan kepada rakyat yang kian cerdik dan terpelajar hari ini. Isu janji pembangunan yang akhirnya tidak ditunaikan sudah memuakkan rakyat. Tidakkah pemimpin UMNO faham dari ajaran Islam bahawa berjanji itu berat dan tidak menunaikan janji adalah berdosa ? Banyak mana lagikah UMNO hendak menaburkan janji-janji yang mereka gagal tunaikan? Inilah yang berjaya difikirkab oleh rakyat yang akhirnya rakyat telah beransur-ansur menigggalkan parti tua ini.

PRK Kuala Trengganu ini juga telah membongkarkan perpecahan dalam UMNO yang rupa-rupanya begitu terik sekali. Masing-masing pemimpin UMNO yang akan bertanding Mac 2009 nanti membawa team masing-masing bukan untuk berkempen menentang parti PAS tetapi untuk berentap antara satu sama lain. Itulah dengan UMNO walaupun dimana-mana .

Semoga PRK Kuala Trengganu ini memberi pukulan yang berat buat UMNO yang masih perasaan mereka kononnya merupakan sebuah parti yang dominan dan berintergiti di negara ini. Nampaknya legasi UMNO kian gagal dipertahankan kerana kesombongan mereka sendiri dalam berpolitik.

Calon PAS menang di Kuala Trengganu - mStar

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut hari ini telah memenangi kerusi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dengan majoriti yang lebih besar.

Mohd Abdul Wahid,52, memperolehi 32,883 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan 30,252 undi.

Beliau menang dengan majoriti 2,631 undi.

Sementara itu, calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam memperoleh 193 undi sekaligus kehilangan wang deposit.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan di Stadium Negeri di sini, pada pukul 9.30 malam tadi.

Hanya Mohd Abdul Wahid yang berada di dewan ketika keputusan tersebut diumumkan tanpa kehadiran dua lagi calon yang bertanding.

Selepas keputusan diumumkan, beliau disambut oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa.

Abdul Hadi ketika ditemui wartawan berkata, pihaknya telah menjangka majoriti yang lebih besar kali ini.

Ketika ditanya mengenai undi daripada pengundi Cina yang tidak memuaskan pada hari ini, Abdul Hadi berkata, perkara itu tidak benar.

Mohd Abdul Wahid yang kemudiannya mencelah berkata, bilangan undi yang diterima daripada kaum Cina pada kali ini adalah lebih tinggi daripada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Kami akan membuat post-mortem untuk melihat arah aliran penyokong Cina," katanya.

Mengenai isu yang hendak dibawa ke Parlimen, Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam selama lima penggal berkata, beliau akan menumpukan kepada isu royalti minyak kepada Terengganu dan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Ini (isu) yang saya akan tumpukan dan akan dijelaskan kemudian," katanya.

Sementara itu, di luar tempat penjumlahan undi di Stadium Negeri di sini, kira-kira 2,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul untuk meraikan kejayaan pemimpin mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam amalan demokrasi, BN menghormati keputusan rakyat.

"Sudah tentu ia merupakan satu kekecewaan kepada BN, kami akan terus berkhidmat dan tidak akan melemahkan semangat kami," kata beliau kepada media di kediama Menteri Besar di sini, sebentar tadi.

Ketika ditanya sama ada kekalahan itu akan memberi impak kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang, Najib berkata: "Tidak ada impak."

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 Oktober lalu ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum lalu, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Razali memperoleh 32,562 undi, manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).

Wednesday, January 14, 2009

Bawalah DAP keluar wahai Karpal Singh, kalau itu yang anda mahu sangat...

Kali ini saya tertarik untuk memberi komen tentang apa yang dilaporkan oleh beberapa akhbar online mengenai apa yang dikatakan ancaman DAP untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat.

Isu ini sudah pasti akan menjadi isu jajaan UMNO/BN yang cukup menggemarinya. Hasrat BN untuk melihat Pakatan Rakyat kucar-kacir dan musnah mungkin menjadi kenyataan. Dan hasrat rakyat untuk melihat sebuah kerajaan yang memerintah secara korup selama ini di ganti oleh sebuah kerajaan yang berintegriti akan musnah. Kerajaan korup yang tidak berintegriti itu akan terus bermaharaja lela.

Dalam pertelingkahan isu hudud ini siapakah sebenarnya yang patut disalahkan ? DAP atau PAS ?

Pada pandangan saya isu ini akan terus menjadi isu yang menghalang kesinambungan Pakatan Rakyat jika para pemimpinnya tidak berusaha memahami secara rasional prinsip masing-masing.

Walau apapun saya tetap mengatakan bahawa dalam soal ini DAP atau mungkin pemimpin veterannya Karpal Singh sahaja (?) terlalu keras dan degil dengan pendiriannya. Persoalan saya kenapa DAP yang tidak popular di kalangan umat Melayu dan umat Islam selama ini mahu menghalang orang-orang Islam dari menggunakan hukum hudud terhadap masyarakat Islam sendiri? Atas rasional apa DAP menentangnya?

Jika PAS mengatakan bahawa hukum hudud akan dilaksanakan kepada semua kaum di Malaysia jika Pakatan Rakyat menang, ya…mungkin wajarlah agaknya DAP menentang habis-habisan. Kita fahamlah kalau begitu.

Tetapi apa yang PAS ingin laksanakan dan telah dinyatakannya berkali-kali oleh para pemimpin PAS bahawa ianya tidak membabitkan bukan Islam langsung. Dan itu juga yang diterangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Bagaimana susah sangat untuk DAP dan Karpal memahami bahasa mudah yang dituturkan oleh pemimpin PAS. Apakah bagi Karpal, PAS selama ini adalah parti politik yang kotor dan suka menipu? Karpal nilailah sendiri bagaimana PAS sejak hari pertama penubuhannya.

Sikap DAP ini atau Karpal, seolah-olah apabila sudah masuk waktu solat, PAS pergi ambil wudhu, PAS tak ajak pun DAP solat kerana PAS tahu DAP bukan Islam, tetapi DAP tak izinkan PAS pergi solat. Kita ingin bertanya kepada para pemimpin DAP adakah menghalang umat Islam melaksanakan satu ibadah (melaksanakan hudud) sesama mereka (sesama Amat Islam), satu sifat yang bermoral atau berakhlak?

Apa masalahnya kepada DAP atau Karpal jika hudud dilaksanakan, bukan Islam melakukan jenayah tetap dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada, malah diberi pula kelebihan jika bukan Islam pada waktu didakwa itu, merasa hukum hudud boleh memberi keuntungan dan keadilan kepadanya dia boleh pilih hukum hudud pula. Bagi orang Islam yang melakukan jenayah mereka akan tetap dihukum dengan hukum hudud dan qisas yang memang dituntut oleh agama mereka? Salahkah kepada DAP dan Karpal jika umat Islam Malaysia beriltizam mahu menjadi umat Islam yang baik ?

Jika Karpal mengatakan masalahnya ialah dia menentang hukum hudud kerana dia membela umat Islam Malaysia, bagaimana jika umat Islam tidak bersetuju pembelaan dia (berkaitan hudud) itu dan umat Islam tetap mahu hudud dilaksanakan sesama mereka? Adakah Karpal akan mengatakan “ saya tidak kira, saya tetap akan membela nasib kamu!”. Lucu !

Karpal juga ada menyatakan kebimbangannya bagaimana sekiranya jika kesalahan jenayah membabitkan Islam dan bukan Islam ? Di sinilah Karpal perlu mempunyai kebijaksanaan dan kesabaran untuk berjumpa para pemimpin PAS, bertanya tentang hal itu dan cuba memahami bagaimana pula dengan peranan hukum Takzir. Kita yakin jika Karpal bersikap lebih tenang , Karpal sebagai pakar undang-undang yang mudah memahami apa sahaja undang-undang dalam dunia ini, akan boleh menerimanya dengan baik kecualilah Karpal Singh, Pengerusi DAP itu memang ada udang di sebalik batu di hatinya !

Pada saya, jika DAP tidak boleh menerima hasrat PAS yang langsung tidak mengganggu-gugat bukan Islam sedikit pun, DAP tetap mahu keluar Pakatan Rakyat , keluarlah! DAP pasti akan kerugian kerana bukan Islam sudah semakin memahami apa itu hukum Hudud. Buktinya ialah dulu PAS tiada Kelab Penyokong PAS tetapi kini kelab itu tumbuh bagai cendawan di musim hujan dan semakin menarik minat ramai bukan Islam yang cukup tahu matlamat dan pejuangan PAS. DAP harus ingat, PAS bukan parti Melayu tetapi PAS adalah sebuah parti pelbagai kaum yang memperjuangkan Islam yang universal! Sedarlah wahai Karpal!!!

Tuesday, January 13, 2009

Ezam telah dan semakin merusakkan reputasi dirinya.

Kehadiran Ezam di Kuala Trengganu nampaknya tidak memberi kesan positif kepada kempen UMNO. Ezam yang diharapkan datang ke KT sebagai seorang pahlawan perkasa yang mampu untuk menterjemahkan sokongan pengundi Kuala Trengganu kepada UMNO. Namun sehingga ke hari ini kempen Ezam hanya membuat habis beras sahaja. Ezam kelihatannya sama seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, yang sering membawa isu-isu lapuk yang bukan menjadi isu lagi.

Bunyi yang Ezam akan hadir ke KT seolah-olah habis satu KT akan terkedu. Namun apa yang berlaku, Ezam sangat mengecewakan. Terus-terusan merusakkan kredibiliti dan integriti diri hingga ke peringkat tiada lagi orang mahu menghargainya. Adakah ada lagi agaknya, orang yang dahulu cukup menyanjung dan menghurmati setiap patah yang Ezam tuturkan, hari ini masih menyokongnya ? Agaknya hanya Ghani Haron dan selebihnya yang boleh bilang dengan jari. Itulah tahap reputasi Ezam saat ini.

Datang ke KT dicabar untuk mendedahkan 6 kotak kes rasuah pemimpin UMNO, alih-alih Ezam kata kotak itu pada Anwar. Jika begitu, betapa teruknya Ezam selama ini kerana dia menipu dengan mengatakan dia menyimpan 6 kotak itu. Boleh pakaikah orang yang berboll'ok macam ini ?

Di Kuala Trengganu, Ezam kononnya mendedahkan surat mohon damai Anwar kepada Mahathir pada waktu Anwar dipecat dulu. Kalau ya pun surat itu tentang hal itu, apa masalahnya ? Anwar pada waktu itu baru dipecat dari UMNO sudah tentu jiwa UMNOnya masih kuat. Sebagai bekas orang UMNO yang masih berjiwa UMNO, salahkah Anwar minta berdamai dengan Mahathir ? Tak nampak salah dan pelik pun ! Sama juga dengan Tun Mahathir, kini bukan lagi ahli UMNO tetapi jiwa dan sayangnya masih lagi kuat pada UMNO. Kalau tidak percaya, tanya Mahathir sayang UMNO atau tidak ? Kalau Mahathir tidak sayang UMNO takkan dia beria-ia desak Pak Lah letak jawatan!

Ezam nampaknya memang benar-benar bercelaru dan bbl'ok, apabila beria-ia mendedahkan apa yang dikatakan surat damai Anwar kepada Mahathir di Kuala Trengganu. Isunya, apa relevannya surat itu dalam kempennya di KT?. Apakah Ezam tidak sedar yang bertanding di KT sekarang bukan PKR atau Anwar ? Yang bertanding Wahid Endut dari PAS. Kalau pengundi-pengundi Kuala Trengganu nak pangkah Wahid Endut (PAS), apa yang mereka kesah pendedadahan Ezam itu? Tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang mereka nak pangkah.

Mungkin kini pendedahan Ezam itu semakin menyukarkan kempen UMNO kerana sudah tentu ramai orang UMNO dan pengundi-pengundi (kecuali pengundi hantu) bosan dengan cerita lapuk yang tidak ada kena mengena di PRK Parlimen Kuala Trengganu.

Nampak sangat Ezam seorang yang suka auta. Sepatutnya jika hendak memberi kesan maksima mungkin ...mungkin pendedahan itu dilakukan di Permatang Pauh dulu bukan di Kuala Trengganu sekarang. Tak cerdik juga Ezam berpolitik.

Nampaknya Ezam Kotak@ Ezam Surat yang diharap menjadi pahlawan perkasa di KT kini hanya menjadi pahlawan cangkul UMNO. Hilang rasa hurmat pengkagumnya dulu. Hilang harga diri, kredibiliti, integriti serta reputasi. Oleh yang demikian janganlah ada siapa-siapa lagi yang bercita-cita nak menjadi pahlawan cangkul UMNO seperti Ezam, punah ranah imej diri akhirnya. Yang menjadi ahli UMNO sekian lamapun, nampaknya berjujuk keluar UMNO masuk PAS.

Sesungguhnya, jika lambat keluar UMNO atau bercita-cita nak masuk UMNO, pasti akan menjadi tidak relevan lagi seperti Ezam Mohd Nor. Jadilah pejuang yang semakin relevan seperti Kapten Zahar.

Pidato umum bantah PPSMI di KT-Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jan 13, 09 1:02pm


Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan menganjurkan pidato umum di Kuala Terengganu, membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), malam Khamis ini.

Menurut setiausaha pelaksana GMP, Saifullah Zulkifli, program itu merupakan sebahagian daripada siri bantahan gabungan itu terhadap PPSMI sebelum mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih Mac ini.

Katanya, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad yang kini mengetuai GMP serta beberapa pemimpin NGO Melayu akan berucap di majlis tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Saifullah berkata, beberapa tokoh politik dijadual turut sama menyampaikan pidato pada malam itu, termasuklah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presidennya, Mustaffa Kamil Ayub dan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa.

Kuala Terengganu kini menjadi tumpuan kempen pilihanraya kecil yang diadakan pada 17 Januari ini.

Saifullah yang juga mantan naib presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, selain wakil pembangkang, GMP juga bercadang mengundang pemimpin Umno bagi tujuan yang sama.

'Mahu Puad Zarkashi'

ditanya siapakah pemimpin Umno yang paling layak bercakap mengenai dasar itu, Saifullah berkata:

"Kami lihat Umno Johor dan (Ahli Parlimen Batu Pahat) Datuk Puad Zarkashi paling layak bercakap soal ini."

Katanya ini kerana Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga ketua pemuda Umno dilihat mengambil 'jalan selamat' dalam soal itu.

Setelah GMP dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengancam mengadakan perhimpunan besar dan mengeheret kerajaan ke mahkamah berhubung isu PPSMI, Hishamuddin dilaporkan meminta semua pihak "jangan gopoh" kerana apa keputusan pun mengenainya akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri itu dilaporkan berkata keputusan kajian mengenai PPSMI akan dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat untuk membolehkan keputusan dapat dibuat.

GMP dianggotai 14 NGO Melayu dan sayap Pemuda pembangkang hasil pertemuan beberapa NGO Melayu yang menentang PPSMI di Kuala Lumpur penghujung bulan lalu.

http://malaysiakini.com/news/96336

Monday, January 12, 2009

Borak politik dengan pasangan warga emas

Petang semalam saya kebetulan bersembang dengan sepasang suami isteri warga emas yang berasal dari Kuala Trengganu tetapi kini telah tidak lagi menetap di Kuala Trengganu. Mereka memberitahu baru-baru ini mereka pulang ke Trengganu kerana menziarahi saudara mara di sana.

Apabila mendapat tahu yang mereka berdua ini baru pulang dari Kuala Trengganu saya terus bertanya keadaan di Kuala Trengganu pada waktu ini.

"Ramai polis sekarang ini di Kuala Trengganu. Khemah polis memutih macam dekat Arafah pula", itulah kata-kata permulaan yang diucapkan oleh si makcik dalam loghat pekat Trengganunya. " Pelik sungguh, nak buat apa polis berderu tu ? ".

"Mungkin untuk jaga keselamatan makcik sebab orang Trengganu ni 'brutal' sikit tak !", acah saya berterus terang.

"Heh...nak jaga keselamatan apa....takut nak gi mengundi, polis le ni bukan boleh kira !", betah pakcik tu agak keras.

Saya tidak komen apa-apa kenyataan pak cik tu tetapi cukup menarik untuk difikirkan kemunasabahannya itu.

Saya bertanya lagi, " Agak-agaknya boleh menang ke bulan pakcik ?"

"Payoh !", kemas dan tegas sekali jawapan pakcik tu sambil menjuehkan bibirnya.

"UMNO mana nak kalah, acu khabor sikit ? UMNO mana nak kaloh ?" pakcik itu bertanya kepada saya.

"Kalau bertanding betul-betul, bulan memang akan menang. Tapi bertanding betul guane, kalau duit macam ditabur-tabur merata-rata, projek merata ceruk! Orang tak minta pung bagi". jawab makcik yang boleh tahan kuat politiknya.

"Tak dok jalang (jalan tar) buak jalang, tak dok parik buak parik, jalang molek-molek ubuh bonggol, macang-macang !", hendak tergelak saya mendengar leteran makcik itu.

"Borang duit edar merata-rata, setiap orang diminta isi borang untuk dapat duit belanja sekolah dan sebagainya. Masa kami ada di sana tu sedara-mara sibuk isi borang, Itu yang kena isi borang, yang bagi begitu saja ada juga", kata pak cik.

"Siapa yang bagi pakcik ?" tanya saya.

"Sapa lagi, UMNO lah !". jawab pakcik.

"Di kalangan orang Melayu rasanya, payoh bulang nak menang, sebab orang Kuala Trengganu tu orang Trengganu, tapi kalau orang Kuala Trengganu tu macam orang Kelantan, haa...alah dacing, berilah apa-apa pung!", wah..standard juga analisis politik mak cik kampung ni.

"Sokongan orang Cina macam mana pakcik ? tanya saya. Tiba-tiba makcik yang tergelak lalu dia menjawab.

"Makcik sempatlah tanya seorang orang Cina di bandar Kuala Trengganu, dia khabor mende...? Orang Cina kalau sokong BN bukan orang Cina!," ya ke tidak itulah yang makcik tu cakap.

Kesimpulan yang dapat saya buat dari perbualan ringkas dengan pakcik dan makcik itu, walaupun keadaan suasana di Kuala Trengganu pada waktu ini seperti mempunyai kesan positif terhadap PAS untuk mencapai kemenangan, namun ianya boleh menjadi berita yang mengecewakan PAS sewaktu keputusan diumumkan nanti ! Maknanya, apa-apa sahaja boleh berlaku, jika PAS dan Pakatan Rakyat leka!

Sunday, January 11, 2009

Menjaga kepentingan rakyat bukan hanya bercakap!

"Kerajaan BN sentiasa utamakan kepentingan rakyat!" Itulah kenyataan yang dikeluarkan 0leh Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib. Betulkah begitu ?

Memang tidak dinafikan menjadi tanggungjawab mana-mana pihak dan sesiapa juga yang menjadi kerajaan untuk menyediakan infrastruktur asas, kemudahan pendidikan, peluang-peluang pekerjaan dan suasana aman.

Isunya ialah adakah benar Kerajaan BN sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat?

Bagaimanakah nasib rakyat jika sekiranya harga minyak di pasaran dunia tidak berada dalam keadaan menurun ? Apakah harga minyak tempatan yang dinaikan 78 sen itu tidak akan kekal ? Kita tidak nampak harga minyak yang diturunkan peringkat demi peringkat itu dilakukan jika sekiranya nilai harga minyak dunia tidak berada di dalam keadaan menurun.

Menaikkan harga minyak yang begitu banyak yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara ini sebelum ini, merupakan sikap mengutamakan kepentingan rakyat ? Bagaimanalah agaknya jika sekiranya Pakatan Rakyat tidak menang di Permatang Pauh tempoh hari ? Belum tentu harga minyak akan turun seperti hari ini.

Lihat pula apa yang berlaku hari ini, walaupun harga minyak telah turun dengan banyaknya harga barangan dapur dan keperluan pengguna terus melambung naik.

Demi menjaga kepentingan rakyat, kenapa kerajaan BN tidak memastikan harga telor contohnya, terutama di kawasan luar bandar yang ramai penduduk bertaraf sosio-ekonomi rendah, tidak mencecah 10.50 30 biji. Harga kicap botol besar contohnya telah mencecah rm5.60.

Demi menjaga kepentingan rakyat, pemimpin hanya berkata, "......ala janganlah makan kicap, kicap bukan penting sangat. Kurangkan makan telor untuk kesihatan....."

Demi menjaga kepentingan rakyat, beri perhatian kepada harga barang-barang ini. Harga beras masih di paras tinggi ! Bagaimana halnya dengan para pelajar yang makan di kafeteria. Hari ini sekali mereka makan telah mencecah rm5 hingga ke rm6. Harga ikan sudah tidak ada lagi yang berharga 7 - 8 ringgit. Kebanyakannya telah mencecah harga belas-belas ringgit !

Pada tahun 2008 yang lalu, negara yang subur ini telah mengalami kekurangan beras. Kelam kabut kita mencari beras. Apakah dikatakan menjaga kepentingan rakyat apabila negara yang subur ini tidak mampu menampung keperluan beras 22 juta rakyatnya. Beras terpaksa diimport oleh sebuah negara yang subur dan sesuai untuk tanaman padi. Seriuskah ini namanya dalam menjaga kepentingan rakyat? Apakah dengan sekadar mengimport beras, dikatakan kita telah menjaga kepentingan rakyat ? Bolehkah kita mengharapkan kejujuran negara yang mengeksport beras kepada kita itu untuk menjamin survival kita ? Karut !

Demi kepentingan rakyat, kerajaan BN sepatutnya perlu mencontohi negara Vietnam dan Thailand. Walau apapun keadaan negara mereka dalam keadaan susah atau senang, rakyat mereka tidak akan putus bekalan beras kerana misi utama mereka ialah menghasilkan beras mencukupi untuk rakyat mereka dari ladang padi mereka sendiri. Ini baru dikatakan mengutamakan kepentingan rakyat.

Demi kepentingan rakyat, masalah najis babi yang mencemar semua aliran air di Melaka itu perlu diselesai segera. Jangan sampai PEWARIS mengamuk tidak ketahuan cara.

Demi kepentingan rakyat, ramalan kemelesetan ekonomi akan lebih kritikal dalam tempoh empat bulan akan datang perlu langkah-langkah pemulihan segera. Sudah semakin ramai pekerja-pekerja kilang yang diberhentikan. Bagaimana pula nasib mereka yang telah diarah berkerja 15 hari, cuti 15 hari itu pula !

Dengan sebab itu Dato' Najib jangan berkl'uk-kl'ik hanya semata-mata kerana berkempen di Kuala Trengganu sahaja. Langkah menghadapi krisis kemelesetan ekonomi nampaknya belum menampakkan cahaya di hujung terowong ! Negara lain telah bersedia, Dato Najib terus menabur pembaziran projek di Kuala Trengganu !

Angkatan Muda Keadilan (AMK) berjaya mengesan dua lokasi yang mungkin digunakan oleh BN sebagai ’port’ meletakkan pengundi hantu- Buletin online

Kuala Trengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) berjaya mengesan dua lokasi yang mungkin digunakan oleh Barisan Nasional sebagai ’port’ (tempat) meletakkan pengundi hantu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama Pengarah Pilihanraya AMK Fariz Musa telah menyerbu lokasi berkenaan bagi mendapatkan maklumat sebenar tentang pengundi-pengundi yang didaftarkan di situ.

Bercakap di lokasi tersebut semalam, Fariz Musa berkata pihaknya berjaya mengesan pengundi yang meragukan, kemungkinan besar ’pengundi hantu’ berdasarkan Sistem Menang Pilihanraya (SISMEP).

”Kita berada di lokasi yang beralamat 78 Jalan Sultan Ismail, iaitu di pasaraya Hock Kee Seng, yang mana kami (AMK) berjaya mengesan lebih 20 pengundi wujud dalam senarai pengundi didaftarkan menggunakan alamat ini,

”apabila kami meminta penjelasan dari pegawai pasaraya, beliau berkata tidak ada sesiapa yang tinggal dibangunan ini,” ujar Fariz.

Menurutnya SISMEP juga mengesan tiga nama dari daftar pengundi yang berdaftar pada alamat itu dikenalpasti sebagai ahli wanita UMNO yang berdaftar.

Katanya bukti itu mengukuhkan lagi dakwaan wujudnya pengundi hantu dan lokasi tersebuti adalah antara beberapa tempat yang digunakan Barisan Nasional untuk menempatkan pengundi hantu.

Oleh yang demikian beliau menggesa pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan segera membersihkan senarai pengundi yang tidak wujud itu.

”Tindakan ini kami ambil supaya pihak SPR mengambil tindakan segera membersihkan senarai pengundi,

”kami juga mencabar Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said (yang menafikan wujudnya pengundi hantu) supaya turun bersama AMK ke lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.” katanya.

Beliau berkata antara lokasi lain dimana wujudnya pengundi hantu adalah adalah yang beralamat di No. 22 Jalan Sultan Ismail dan dirumah nenek beliau di Jalan Tekukur Kuala Terengganu.

”No. 22 Jalan Sultan Ismail adalah premis kepada Restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut, di rumah nenek saya terdapat seorang berbangsa Cina berumur 82 tahun yang didaftarkan, ”katanya.