Followers

Thursday, December 24, 2009

Isu Ariffahmi sudah menjadi pertembungan antara keluarga dan jemaah ?

Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi saya sebagai orang kerdil dalam parti tetap ada rasa sayang kepada PAS yang disebut oleh Dr Yusof Qardawi, perjuangannya ada meneruskan perjuangan Rasulullah SAW. Saya sedar orang lain yang besar-besar jawatannya pasti rasanya lebih daripada saya terhadap PAS.

Dalam kes Ariffahmi, saya berpendapat keadaannya semakin mudah menjadi bahan spekulasi pelbagai pihak. Bagi pihak UMNO bukan lagi bahan spekulasi tetapi telah dijadikan senjata untuk dihunuskan kepada PAS. UMNO kian mencari peluang untuk itu.

Kenapa kes perletakan jawatan Ariffahmi ini menjadi bahan pertengkaran lagi di mana-mana, di sidang media, di blog, sesama orang PAS sendiri. Nampaknya kini isu ini menjadi isu pertembungan antara kumpulan ahli keluarga Tok Guru Nik Aziz dengan beberapa orang kepimpinan PAS Pusat. Saling mengeluarkan kenyataan yang bukan menyelesaikan segala-galanya tetapi semakin rencam dan tajam. Dua kumpulan ini sering mengeluarkan kenyataan.

Soalnya, apakah itu tindakan wajar ?

Dalam soal ini saya lebih bersetuju dengan pandangan YB Datuk Mahfuz. Saya berpendapat jika Tok Guru menerima pandangan itu, isu ini mungkin tidak berpanjangan. Tidak salah menerima pandangan Datuk Mahfuz walaupun siapalah Datuk Mahfuz berbanding Tok Guru Nik Aziz.

Kita tidak mengatakan Ariffahmi bersalah dan saya rasa PAS akan mempertahankan Arifahmi jika beliau difitnah. Tetapi dalam keadaan setiap apa yang kita buat, dipandang orang, ditafsir orang, terutama oleh pihak musuh kita, maka ruang-ruang untuk musuh mencipta isu kronisme harus ditutup segera, walaupun kita memang tidak begitu.

Saya berharap isu ini harus diselesaikan segera tanpa ada mana-mana pihak berasa kecil hati. Dalam perjuangan menegakkan integriti Islam mana boleh kita layan perasaan kecil hati ! Itu kecil hati, ini kecil hati, maka akan serupalah kita dengan orang yang kita kata itu.

Pihak keluarga Tok Guru juga harus memahami banyak pihak serba salah dalam hal ini kerana Tok Guru cukup dikasihi dan disayangi oleh kita semua. Setiap pandangan yang menasihati Arifahmi letak jawatan segera bukan bermakna kita tidak kasih dan sayangkan Tok Guru. Kerana insan semulia dan sehebat Tok Gurulah maka kita semua mendapat nikmat berjuang dalam PAS seperti hari ini.

Semoga Saudara Ariffahmi dapat meletakkan jawatan segera.

No comments: