Followers

Thursday, November 12, 2009

Siapalah yang peduli ahli parti seperti itu ?

Sebagai orang yang terlalu kecil dalam PAS, rasa hati ini risau dan serabut apabila memikirkan cara berpolitik dan politiking yang berlaku dalam parti. Mungkin risau saya, tidak memberi impak apa-apa pun dalam parti ini berbanding risau seorang Tok Guru dan AJK Pusat.

Memang siapa akan peduli risau saya, hanya seorang ahli parti yang berusrah mingguan lima enam orang di dalam sebuah markaz kecil, yang bertaraf penampal poster dan pemaku papan banner sewaktu pilihanraya. Pedulikan kerisauan seorang ahli parti yang bertaraf seperti saya.

Parti ini kelihatan semakin ramai cerdik pandai dan alim ulama. Mereka semua bijak dan mahir segala, berbanding seorang penampal poster parti dan pengedar risalah pilihanraya. Banyak buah fikiran dan idea serta cakap-cakap yang canggih-cangih mampu dikeluarkan. Semuanya merasa betul belaka. Semua mengaku pendapat masing-masing bertaraf dunia, maka mesti didengari dan dipatuhi.

Kalau tidak didengari dan dipatuhi maka berbalah sesama sendiri pun sanggup. Konon itu tanda kebebasan bersuara yang tidak boleh dihalang oleh ketaataan kepada jemaah. Hari ini wala kepada jemaah hampir menjadi satu kehinaan, konservertif dan kolot.

Perangkap musuh yang mula menjerat mangsa yang sombong dan bongkak!

Nampaknya hari ini konsep kebebasan bersuara dengan isu-isu hangat parti, walaupun jemaah telah memutuskan keputusan, menjadi tanda kecerdikan pemikiran yang perlu ditonjolkan walaupun hakikat itu menggambarkan sikap 'bodoh sombong' terhadap jemaah sendiri.

Peraturan bersuara dalam jemaah menjadi kolot sekiranya tidak mampu didedahkan isu-isu yang mengharu-birukan parti. Musuh kita duduk sibuk siang malam menyerang kita, kita pula sibuk menyerang jemaah sendiri atau paling kurang menyediakan peluru untuk musuh. Musuh juga membunyikan irama, kita tanpa disuruh dengan 'gediknya', sibuk menari mengikut irama musuh. Akhirnya kita berserabut dan berbalah dengan isu UG lah, Tok Guru Haji Hadi pro UMNOlah, Tok Guru Nik Aziz kena sergahlah, EGM-lah, Selcat-lah, pecat pemimpin itu pemimpin inilah, dan kini isu bai'ah pulak dah !

Betapa bodoh kelihatannya kita. Kita sediakan peluru untuk musuh menembak kita lepas itu kita sibuk menepis peluru yang kita sediakan. Dari ceruk hulu ini saya merasakan ini politik bodoh! Saya pelik, orang-orang parti yang menyediakan peluru untuk musuh di hadapan khalayak adalah bukan sebarangan orang tetapi orang yang cerdik-cerdik belaka taraf pemimpin parti tetapi hampas politikingnya.

Kalau dulu hanya berpolitiking sewaktu bermuktamar tetapi kini setiap hari, sepanjang minggu dan masa, berpolitik secara bodoh di hadapan pelbagai jenis media musuh dan khalayak. Hari ini 'memijak' kepala rakan sejemaah kelihatan lebih 'aula' dari menghadapi musuh Islam secara bersama.

Nampaknya adab berjemaah telah semakin dihumban. Oleh siapa ? Oleh segelintir pemimpin kita sendiri yang bukan sebarangan orang! Macam ketam mengajar anak berjalan betul !

Saya sedih dan merasakan parti ini akan menghadapi masalah yang lebih besar dari apa yang ada hari ini jika peraturan dan adab berjemaah dihumban ke dalam 'bakul sampah" dan jika para pemimpin PAS mengamalkan 'politiking ghairah' dan 'politiking bodoh sombong' yang tidak beradab. Hanya peraturan dan adab berjemaah akan mampu menyelamatkan perjuangan PAS dari perangkap musuh yang berada di mana-mana.

Sedar dan insaf, rintihan seorang yang bertaraf penampal poster, siapa yang peduli kerana siapalah ahli parti seperti itu. Tidak pandai dan tiada harga rintihannya! Insaf !

2 comments:

Anonymous said...

Saya ahli biasa dalam PAS dan bosan dengan keadaan PAS hari ni!!!!

accudo said...

Untuk menjadi ahli jemaah Islam yang menyumbang kepada Islam, kita tidak bleh berputus asa dan cepat bosan ndalam perjuangan.Jangan terperangkap dengan jerat musuh kerana memang musuh mahu kita bosan dengan jemaah Islam!