Followers

Sunday, August 09, 2009

Walaupun H1N1 menjadi ancaman kepada negara marilah kita terus membilang jumlah kematian kerana kita sudah tidak tahu hendak buat apa-apa!!

Setakat ini telah disahkan 26 orang meninggal dunia kerana pandemik virus H1N1. Nampaknya kita akan terus membilang jumlah kematian hari demi hari dalam keadaan pihak Kerajaan Pusat kelihatan semacam tidak risau dan bimbang.

Apakah akan menjadi keseronokan untuk terus membilang jumlah kematian. Memang hidup mati seseorang adalah urusan Tuhan tetapi usaha ikhtiar adalah di tangan manusia. Kelihatannya manusia yang memerintah Malaysia semacam tidak tahu apa hendak dilakukan dan belum kelihatan benar-benar runsing kerana hanya menganggap pandemik ini satu ancaman kepada negara semata-mata, bukan kepada rakyat yang menghuni dalam negara.

Rakyat masih lagi tidak mendapat rawatan yang sempurna. Rakyat di kampung hanya mendapat antibiotik dan panadol. Ada juga rakyat di kawasan luar bandar takut hendak pergi mendapat rawatan terutama jika demam pada waktu malam kerana takut dimarahi dan dileter oleh yang 'bijak pandai' di klinik dan hospital. Penutup mulut dan hidung tidak mencukupi di dalam negara. Perhimpunan awam masih dianjurkan.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan mewajibkan dan membekalkan secara percuma kepada institusi pendidikan, setiap keluarga dan semua rakyat yang berada di luar rumah untuk memakai mask. Pasukan perubatan dan penerangan kesihatan bergerak perlu digerak ke seluruh ceruk negara.

Tetapi nampaknya keadaan masih bersahaja walaupun jumlah kematian terus bertambah setiap masa. Apakah jika begini keadaannya ramalan yang menganggarkan 5000 hingga 25000 rakyat Malaysia akan maut kerana virus ini menjadi kenyataan? Sehingga hari ini 26. Esok? Kita tunggu!

Kerajaan kita seperti sudah tidak tahu hendak buat apa-apa, cuma hanya sekadar membilang jumlah maut H1N1! Tahniah !!!!


No comments: