Followers

Monday, August 10, 2009

Itulah cara kita dulu kini dan selamanya.

Perjuangan untuk memansuhkan PPSMI bukan mudah. Ramai rakyat meluahkan bangkangan melalui pelbagai cara. Surat terbuka, email, blogs, memorandum, diskusi, kajian ilmiah dan akhirnya demonstrasi 1 juta rakyat.

Semua pihak berjuang agar kembalikan Bahasa Melayu yang juga Bahasa Malaysia sebagai bahasa Sains dan Matematik di Malaysia. Bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Hassan Ahmad turun padang. Sasterawan Nagara, A Samad Said pedih biji mata disembur air gatal FRU sehingga beliau berkata lebih kurang bunyinya," Begini rupanya payah perjuangan mempertahankan dan memartabatkan bahasa ibunda."

Memang sukar. Perjuangan mahu memansuhkan PPSMI demi untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains dan Matematik yang dulunya telah terbukti mampu dan berjaya, dicemuh oleh sebahagian ahli-ahli parlimen BN, para pemimpin negara termasuk menteri sendiri sebagai golongan yang tidak sabar, degil, tidak maju, anti kemajuan dan macam-macam lagi. Tiada apa yang tidak dikatakan oleh mereka kepada rakyat bawahan yang menentang PPSMI dan pejuang-pejuang bahasa Melayu.

Kini, hanya segelintir kecil ibubapa yang berhimpun dan mahukan anak-anak mereka terus diajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilayan dengan lemah lembut dan baik sekali. Pihak jabatan pelajaran yang sentiasa melaksana dasar dan arahan kerajaan yang menghalang ibubapa itu bermesyuarat luar biasa untuk menentang dasar kerajaan dikecam oleh menteri pelajaran sendiri sebagai tidak patut dan tidak adil walaupun tiada apa salahnya Jabatan Pelajaran membuat tindakan menghalang EGM itu.! Kepada ibubapa-ibubapa itu Menteri Pelajaran dengan lemah lembut minta berbanyak-banyak maaf di atas tindakan Jabatan Pelajaran yang tidak salah itu.

Bagaimanakah agaknya layanan Menteri Pelajaran jika ada ibubapa di sekolah-sekolah ceruk kampung dan pendalaman berkumpul dan membuat undian di luar pagar sekolah, mahukan anak-anak mereka yang masih menjadi mangsa PPSMI sementara menunggu 2012, mahukan PPSMI dimansuhkan serta merta? Apakah Menteri berkenaan akan memohon maaf atau menteri berkenaan akan cap mereka itu sebagai anti kerajaan ?

Bertuah anak-anak di SMK Hartamas, kerana ibubapa mereka adalah ibubapa yang menghantar anak-anak mereka di SMK Hartamas, bukan anak-anak yang ibubapa mereka adalah ibubapa yang menghantar anak-anak di SMK di Hulu Trengganu !!

Nampaknya konsep rakyat didahulukan bermaksud rakyat seperti ibubapa pelajar-pelajar SMK Hartamas akan dilayani dan didahulukan! Itulah cara kita dulu kini dan selamanya!

Dari Malaysia kini:

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Hartamas ekoran tindakan jabatan pelajaran menarik balik kebenaran untuk mereka mengadakan mesyuarat agung luarbiasa (EGM) membantah perubahan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) semalam.

Beliau yang juga menteri pelajaran berkata, pegawai jabatan tersebut tidak sepatutnya berbuat demikian.

"Kami bersikap terbuka. Mereka (jabatan) tidak harus bersikap demikian, maafkan saya,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth yang berakhir hari ini, lapor Bernama.

“Saya minta maaf. Saya fikir tidak adil (untuk menarik balik kebenaran itu)," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, ibubapa pelajar SMK Seri Hartamas naik berang terhadap arahan yang melarang mereka mengadakan EGM tersebut untuk menyuarakan bantahan terhadap keputusan untuk memansuhkan PPSMI..

PIBG sekoleh tersebut dijadual diadakan di sekolah itu pagi semalam, tetapi Jabatan Pendidikan, melalui pihak sekolah, memutuskan ianya tidak sah untuk diadakan.

Oleh kerana keputusan tersebut disampaikan secara lisan kepada pihak PIBG lewat petang semalam, maka ramai ibubapa yang tidak mengetahuinya dan berhimpun di pintu pagar sekolah.

Walaupun tidak dapat mengadakan mesyuarat tersebut, mereka mengadakan undian di kalangan ibubapa sama ada mereka mahu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan di sekolah tersebut.

Sebanyak 553 undi dikira dan 97 peratus menyokongnya. Sebanyak 1,310 kertas undi diedarkan kepada pelajar untuk diserahkan kepada ibu bapa mereka.


http://malaysiakini.com/news/110202


No comments: