Followers

Saturday, July 04, 2009

Realiti sebenar 'PAS for all'.

Melihat kepada kemelut politik yang berlaku sekarang terutama di Kedah, segala pakatan politik kelihatannya lemah dan seperti akan runtuh dan roboh lambat launnya, kerana masing-masing akan sampai masanya tidak akan setia lagi kepada pakatan mahupun barisan. Setiap parti politik di Malaysia, akhirnya akan membuat keputusan sendiri walaupun berada dalam pakatan atau barisan demi menjadi juara emosi dan politik kaum masing-masing. Mereka beberubut-rebut kepentingan untuk kaum masing-masing. Maka itu menjadi terlalu fanatic dan amat cemas, bimbang hak kaum mereka dirampas.


UMNO, MCA, dan MIC adalah parti politik berasaskan kaum. MCA dan MIC berjuang untuk kaum masing-masing manakala UMNO yang konon berjuang untuk kaum Melayu, kini hanya sebenarnya untuk ahli-ahli UMNO yang berpolitik demi perut dan demi kepentingan para pemimpin mereka. Gerakan, PPP dan DAP pula walaupun dikatakan parti pelbagai kaum tetapi jelas terbukti mereka berjuang untuk kepentingan kaum yang mendominasi parti-parti itu.


Sejak akhir-akhir ini jelas politik perkauman meresap dengan penuh emosi dalam amalan berpolitik itu sendiri. Cuma lagak luaran parti-parti tersebut seolah-olah mahu menyembunyikannya. Semua ini memberi gambaran yang jelas bahawa kaum yang lemah berpolitik dan tidak cekap politik perkauman akan terperosok akhirnya.


Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai antara pemain utama dalam politik pelbagai kaum negara ini harus melihat politik perkauman dan lemah berpolitik sebagai ancaman kepada perjuangan parti jika PAS tidak mampu untuk lahir sebagai parti politik pelbagai kaum. PAS adalah sebuah parti politik yang berpegang kepada tuntutan Islam yang adil lagi universal. Maka itu PAS perlu berani dan cepat membuka ruang kepada bukan Islam yang sanggup menerima dasar dan perjuangan parti PAS.


Untuk menjadi lebih dominant dalam politik Malaysia, PAS harus lebih laju untuk tampil ke khalayak bukan Islam sebagai parti yang memperjuangkan keadilan untuk semua kaum. Di samping mantap menjaga kepentingan Islam, PAS harus lebih baik daripada DAP, MCA, MIC, PPP, UMNO dan parti-parti lain kepada semua kaum di negara ini. Jika PAS mampu menjadi begitu, PAS tidak akan mudah diserang ‘virus DAP Kedah’ dan 'virus Kerajaan Perpaduan PAS-UMNO' dalam menjayakan misi “PAS for All”. Buat masa ini PAS masih dilihat sebagai parti orang Melayu walau apapun yang PAS ucapkan.


Jika memerintah Malaysia sebagai antara matlamat utama ,yang mana PAS memang mempunyai peluang, PAS harus memikir untuk memerintah Malaysia sendirian dengan panduan Islam. Soalnya mampukah PAS memerintah bersendirian jika masih dilihat sebagai parti Melayu untuk orang Islam sahaja ? Atau PAS tidak kisah bersaing dalam politik pelbagai kaum di Malaysia sebagai parti Melayu untuk orang Islam ?

No comments: