Followers

Friday, July 24, 2009

Dalam UMNO siapakah sebenarnya yang perlu 'cermin muka' ?

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin, katanya meminta ahli-ahli UMNO ‘cermin muka’ kerana sering kalah dalam pilihanraya. Dan katanya lagi “cara dan gaya politik kita kena berubah”.

"Kita kena nilai atau cermin muka (kenapa kalah dalam pilihanraya)...cara dan budaya politik kita kena berubah " katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pokok Sena di Kedah hari ini, lapor Bernama.

Begitulah nasib ahli-ahli UMNO, diminta oleh pemimpin mereka ‘cermin muka’ kerana kalah dalam pilihanraya. Nampaknya, seolah-olah punca utama kekalahan UMNO kerana ahli-ahli UMNO, bukan kerana pemimpin-pemimpin UMNO dengan dasar kerajaan UMNO/BN yang banyak merugikan orang-orang Melayu dan ketuanan Melayu Islam..


Kata Muhyiddin ‘gaya politik kita kena berubah’.


Gaya politik macam manakah yang Muhyiddin mahu UMNO berubah?


Mampukah Muhyiddin membentuk UMNO Baru dengan gaya politik yang tidak lagi mengamal rasuah politik dalam setiap pemilihan UMNO dan pilihanraya ? Sanggupkah UMNO tidak mengamal projek 'mee segera' semasa kempen pilhanraya? Beranikah UMNO membuka songkok mengutip derma wang dari ahli-ahli yang datang ke mesyuarat dan ceramah UMNO sebagai infaq daripada ahli-ahli mereka?


Dan lagi beranikah UMNO membuang politik lapuk yang menggunakan dan mempergunakan media-media arus perdana, agensi dan jentera kerajaan dalam kempen-kempen pilihanraya mereka?


Bolehkah rakyat yang semakin cerdik dan celik politik, menerima sikap dan gaya politik Muhyiddin sebagai pemimpin UMNO, dalam membela orang Melayu di Manik Urai, apabila beliau berkata jambatan Manik Urai akan dibina hanya jika UMNO menang?


Bolehkah orang Melayu menerima gaya politik Muhyiddin yang satu masa dahulu mengubah cuti negeri Johor dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad?


Entahlah.... melihat kepada kepimpinan UMNO yang ada kini daripada Perdana Menteri hingga ke menteri-menterinya dan termasuk Muhyiddin sendiri, rasanya cakap Muhyiddin 'gaya politik kita kena berubah' hanya retorik yang lumrah pemimpin-pemimpin UMNO lafazkan.


Sebenarnya cara dan gaya politik Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri UMNO-lah yang perlu berubah yang selama ini dan sekarang ini semakin ramai orang-orang Melayu menyampah dengan UMNO. Mereka terlebih dahulu perlu ’cermin muka’ !


Dan yang paling penting, beranikah agaknya Muhyiddin hulur 'cermin' kepada PM untuk 'cermin muka' kerana PM juga ahli UMNO ?

1 comment:

Anonymous said...

Begitulah hipokritnya orang UMNO dalam perjuangan. Anak Yassin tu memang pejuang Islam No. Wahid sebab itulah dia tukar cuti hari jumaat di Johor kepada hari Ahad pada tahun 1994. Kalau orang manik urai tau tak ingin org manik urai nak dengar kelentong anak Yassin tu.