Followers

Thursday, June 04, 2009

Selamat bermuktamar

Selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan dan kepimpinan PAS. Sudah pasti Stadium Malawati Shah Alam akan dihangatkan dengan proses pemilihan parti, dengan segala pandangan, teguran dan kritikan demi memperkasakan Parti Islam SeMalaysia ( PAS) dalam persada politik negara. Pedulikan konsep "1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" yang hanya slogan kosong semata-mata. PAS perlu terus memacu, memandu dan memimpin perubahan ke arah memperkasakan dakwah dan menegakkan cara hidup Islam dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum seluruhnya.

Sesungguhnya perjalanan PAS dalam mencapai visi dan misi perjuangan masih jauh dan berliku. Seluruh peringkat organisasi parti perlu digembeling dan ditarbiyyah untuk mengharungi perjuangan yang lebih mencabar, penuh tribulasi dan semakin sukar diduga ini.

Dalam muktamar kali ini saya begitu gembira kerana Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang terus memimpin perjuangan parti. Tahniah kepada Ustaz Nasharuddin Hassan yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda. Cabaran getir menunggu Ustaz Nahsaruddin Hassan sama ada berjaya atau gagal dalam memimpin Pemuda PAS dalam arus politik yang menuntut pelbagai pendekatan dan pembaharuan yang menyentuh hati, kreatif dan kontemporari.

Dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden saya tidak mempunyai sedikit kegusaran pun. Ketiga-tiga calon yang bertanding adalah mereka yang sudah teruji dalam menjulang perjuangan parti. Bagi saya siapa yang menang mereka adalah Timbalan Presiden PAS yang memang boleh diharap. Soal seorang pasti menang, dan dua akan kalah, itu memang sudah adat pertandingan. Pejuang-pejuang Islam akan sanggup berada di mana-mana posisi selepas mereka tewas. Khalid al-Walid pernah berada di posisi memimpin dan pernah berada di posisi dipimpin. Senario ini perkara biasa bagi pejuang-pejuang Islam kerana bagi pejuang-pejuang Islam, matlamat bukan jawatan untuk kepentingan diri, tetapi jawatan untuk perjuangan parti bagi menegakkan Islam. Apa-apa jawatanpun penting untuk perjuangan parti demi menegakkan Islam.

Sebagai ahli parti yang berada diperingkat akar umbi saya tidak pernah terganggu dengan apa yang dikatakan kumpulan Erdogan dan pro-Perundingan dengan UMNO. Bagi saya tidak pernah timbul soal tersebut. Mana-mana individu pemimpin mempunyai gaya dan cara pendekatan bertindak masing-masing. Dalam PAS seharusnya hal ini diterima sebagai perkara biasa yang tidak perlu dikelam-kabutkan hanya kerana usikan orang luar yang memang sudah diketahui niat hati mereka terhadap Jemaah Islam PAS ini.

Persoalan yang paling penting, walau mengharungi apa isu dan kontraversi sekali pun, Institusi Kepimpinan Ulama perlu terus diperkasakan. Kerana bagi saya, hanya Institusi Kepimpinan Ulama akan terus mengikat jemaah kepada prinsip perjuangan berpaksikan al-Quran dan al-Hadith.

Selamat bermuktamar !

No comments: