Followers

Friday, June 12, 2009

Lemah bahasa Inggeris...lemah bahasa Inggeris !

Macam-macam dicadangkan untuk membolehkan orang-orang Malaysia terutama orang Melayu menguasai dengan fasih Bahasa Inggeris. Maka terlaksanalah KBSR dan KBSM dengan Bahasa Inggeris komunikasinya. Terlaksana juga PPSMI yang menjadi kecoh dan semakin mengharu biru segala.

Dan sekarang ini kerana pentingnya Bahasa Inggeris dan lemahnya penguasaan Bahasa Inggeris yang boleh mengakibatkan Malaysia semakin menjadi tidak canggih, cadangan baru dikemukakan iaitu menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai wajib lulus SPM. Ada yang setuju ada yang tidak bersetuju.

Yang bersetuju sudah tentu dianggap sebagai golongan yang bersikap positif dan pro-aktif. Yang tidak bersetuju pula sudah pasti dianggap pemalas, kolot dan sentiasa bersikap negatif malah mungkin jumud! Begitulah adanya.

Tiada manusia yang mahu menafikan bahawa semua bahasa penting, bahasa kuman pun penting. Masalah bagi kita di Malaysia ialah kita mahu semua rakyat Malaysia menjadi pakar dan fasih berbahasa Inggeris. Inilah masalah kita. Sedangkan untuk melahirkan pakar Bahasa Inggeris tidak perlu semua rakyat. Tetapi di negara kita telah menjadi begitu kerana pemimpin kita mahu begitu sebagai piawai majunya negara kita. Betulkah begitu ?

Kita menjadikan bahasa Inggeris itu penting untuk semua rakyat maka kita bersusah payah untuk memastikan semua rakyat fasih berbahasa Inggeris. Sehingga kini kita kelihatannya tidak berapa berjaya untuk mencapai matlamat itu.

Persoalannya, apakah tiada yang tidak kena dengan sukatan pelajaran atau sistem pengajaran pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah? Dari tadika 5 tahun masuk ke Tahun 1 sampai ke Tahun 6, pergi pula ke sekolah menengah sampai ke Tingkatan 5. Selama 13 tahun, tamat SPM kekal tidak boleh bercakap Bahasa Inggeris. Itu tak campur lagi Tingkatan 6 Bawah dan 6 Atas. Alangkah "bodohnya" anak-anak Malaysia selama 13 tahun belajar bahasa Inggeris masih tidak boleh berbahasa Inggeris ? Rasanya paling bodoh dalam dunia! Orang lain belajar bahasa rasanya setahun dah cukup. Kalau tidak percaya tanya orang Mynmar dan Bangladesh !

Oleh yang demikian saya tetap yakin sistem pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia adalah salah, bukan untuk pelajar pandai berkomunikasi fasih dalam bahasa Inggeris tetapi hanya untuk pelajar mendapat markah yang baik dalam peperiksaan awam secara bertulis dan kadang kala boleh meniru. Itu sahaja ! Kadang-kadang ternampak juga kaedah pengajaran pembelajaran Bahasa Inggeris di negara kita lebih kepada nilai komersil dari nilai keberkesanan penguasaan bahasa.

Dan lagi sistem pembelajaran pengajaran Bahasa Inggeris di Malaysia terhadap orang Melayu juga, gagal memahami dan mengkaji latar belakang sosial, sikap dan psikologi orang Melayu itu sendiri.

Pada pandangan saya sebagai bapa yang bukan pakar, sepatutnya dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan 3, selama 9 tahun penekanan pengajaran dan pembelajaran serta penilaian Bahasa Inggeris mestilah kepada komunikasi lisan bukan bertulis. Sepatutnya 80% komunikasi lisan, 20% sahaja bertulis. Ujian mestilah dalam bentuk pertuturan melalui aktiviti teater, bacaan puisi, koir, public speaking, debates dan lain-lain mengikut keupayaan dan latar belakang sosial budaya setempat pelajar.

Apabila para pelajar sudah menduduki Tingkatan 4 barulah mulai dengan pengajaran pembejaran seperti sekarang.

Selagi pakar-pakar di atas sana terus dengan idea pengajaran yang canggih-canggih hasil meniru daripada negara orang lain, 20 tahun akan datang pun kita akan tetap pening memikirkan kelemahan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita, maka akan terdengar lagilah cadangan yang bukan-bukan. Tak percaya, panjang umur tengoklah nanti....lemah Bahasa Inggeris....lemah bahasa Inggeris !

No comments: