Followers

Sunday, May 10, 2009

Datuk Seri Najib kata apa yang PR lakukan di Perak mencemar imej demokrasi negara di mata dunia !

Datuk Seri Najib Tun Razak bersyarah dengan menyifatkan kekecohan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dimulakan oleh Pakatan Rakyat dan sesuatu yang amat memalukan dan perkembangan tragik kepada demokrasi negara. Leternya pembangkang (Pakatan Rakyat) gagal menghormati tatasusila dan prinsip pematuhan kepada undang-undang apabila menekan pendirian mereka sehingga menafikan hakikat bahawa kerajaan juga mempunyai hak tersendiri untuk dipertahankan. Katanya, sikap pembangkang itu, secara langsung mencemarkan imej institusi demokrasi negara di mata dunia.

Mendengar rungutan tersebut dapat dibayangkan betapa alim politiknya orang yang berkata itu. Seolah-olah apa yang berlaku di Perak itu bukan hasil kerja kotor tangannya sendiri. Kepada siapa lagi hendak dihala segala kata-kata penipuan dan pembohongan ini? Apakah rakyat semakin bodoh untuk menilai sesuatu tindakan dan sesuatu apa yang telah berlaku ?

Inilah mentaliti pemimpin UMNO yang pasti jika beginilah cara berfikir mereka, tidak akan mampu lagi meletak kembali UMNO di persada politik negara. Hari ini rakyat semakin bijak dan pandai untuk menilai politik tindakan meceavelli dan politik tindakan berintegriti dan beretika. Mereka tidak membuat apa-apapun perubahan dan tiada apa-apa perubahanpun yang berlaku. Apakah mereka belum sedar-sedar atau mungkin tidak akan sedar-sedar ?

Jika kita membaca ulasan pakar perlembagaan di bawah ini maka jelaslah perbuatan-perbuatan haram terus berjujukan berlaku. Siapakah sebenarnya yang telah mencemar imej demokrasi negara di mata dunia ?

"Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: "Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu".

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

"Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai".

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

"Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi," katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

"Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa", tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

"Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya". Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa."

Apakah yang akan berlaku selepas ini akan terus mengusutkan lagi proses perundangan kecuali DUN Perak di bubarkan. Mengapakah susah sangat DUN Perak hendak dibubarkan? Belum tentu Pakatan Rakyat akan menangpun!

1 comment:

Anonymous said...

Ya Allah, berilah keamanan kepada negeri perak & malaysia....amin

http://infotech2all.blogspot.com/