Followers

Thursday, April 30, 2009

PAS, apa dah jadi ni ?

Saya terlalu kerdil untuk turut serta memperkatakan isu ini. Saya nun di bawah...jauh di bawah. Namun sebagai ahli jemaah saya berhak untuk risau memikirkan apa yang sedang di olimikkan sekarang ini. Mengapakah di saat-saat terlalu hampir dengan muktamar yang di sana ada pertandingan masing-masing bersuara tegar menyatakan pandangan masing-masing dengan seolah-olah diri itulah yang benar. Kenapa begitu kelam-kabut kepimpinan atasan jemaah Islam PAS sehari dua ini?

Mungkin ada pemimpin bijak pandai PAS di atas akan berkata, ini bukan kelam-kabut tapi ini adalah demokrasi yang sedia wujud dalam PAS. Itu kata pemimpin-pemimpin PAS yang bijak pandai dan cerdik-cerdik, tetapi apa pula perasaan dan andaian ahli-ahli PAS yang berada di bawah ini yang terdiri dari pelbagai lapisan latar belakang, gaya dan cara berfikir ?

Saya tak pandai berpolitik, namun apa yang saya lihat sama ada kumpulan Nik Abduh mahupun kumpulan yang dituduh, kedua-duanya sedang berpolitik untuk mencari sesuatu. Apakah kita sudah mahu berpolitik dan berkempen seperti mana UMNO berpolitik dan berkempen? Di manakah kaedah dan mekanisma kritikan kita ? Di manakah adab sopan kita ? Besar benarkah masalah ini atau kita sebenarnya telah berada di atas landasan polimik yang musuh kita mahukan ? Kata Islam ada cara menyelesaikan masalah. Apakah cara 'menyelak kain' ini satu cara menyelesaikan masalah kita ? Di manakah kesabaran, di manakah tempat yang sesuai dan berkesan ? Apakah dengan apa yang terjadi ini sesuai dan berkesan ?

Saya pelik semakin cerdik kelihatan kita , semakin bodoh kita berpolitik! Maaf terlalu kasar bunyinya tapi itulah realitinya !

Ini, persoalan biarkan Presiden dan Timbalan Presiden PAS ulama, satu lagi cara berpolitik yang membuang masa. Saya tidak pernah menentang parti saya diterajui oleh ulama bagi kedua-dua jawatan tersebut malah itulah yang saya mahu tetapi apakah peruntukan itu termaktub dalam perlembagaan parti.

Dan apakah begitu yang dikatakan Kepimpinan Ulama? Apakah kita terlupa bahawa Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa veto terhadap Presiden parti, jika tindakan Presiden bercanggah dengan syarak dan dasar parti? Siapakah ahli Dewan ulamak itu ? Tentulah ulamak.

Pada saya, tidak perlu timbul soal Timbalan Presiden dan Presiden parti, ulama, kerana ahli-ahli PAS faham dasar partinya. Ahli-ahli PAS tahu PAS ialah Parti Islam Semalaysia. Apakah sudah ada kepimpinan di atas tidak mempercayai kebijaksanaan ahli-ahli parti sendiri ? Sudah jadi macam UMNO nampak ?

Melainkan dibuat pindaan perlembagaan dengan mengatakan Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah ulama, maka itu okaylah. Selagi tidak begitu tidak perlu bising soal itu hingga bertengkar tanpa faedah di mana-mana media dan blog. Tak perlu hambur polimik sia-sia secara terbuka soal ulama atau pun tidak, Presiden dan Timbalan Presiden itu. Biarkan sesiapa yang dicalonkan oleh kawasan bertanding jika mereka merasakan dirinya layak dan mampu. Ahli-ahli parti buat pilihan yang secucuk dengan dasar parti. Itulah PAS dan "PAS for all".Wallahuaklam.

No comments: