Followers

Monday, March 02, 2009

Kembalilah kepada asas demokrasi - Malaysiakini

Pihak-pihak yang bijaksana dan berkuasa di Perak tidak sewajarnya mendengar lagi cakap dan hasutan UMNO, bubarkan segera DUN Perak. Mengapa harus membiarkan keadaan yang semakin rumit di Perak ditonton oleh dunia ? Dengan terlalu mendengar cakap UMNO ini, siapakah nanti yang akan malu dan siapakah nanti yang akan hilang maruah ?

Kembalilah kepada asas. Negara ini negara demokrasi dan negeri Perak adalah salah sebuah negeri yang bernaung dalam negara ini. Pihak yang bijaksana seharusnya dengan bijaksana membuka pintu untuk rakyat memutuskan mandat mereka. Mengapakah harus pintu demokrasi dikunci ?

Bijaksanakah namanya jika terus-terusan membiarkan keadaan di Perak begitu. Lihatlah isu terbaru pertelingkahan antara Setiausaha DUN Perak dengan Speaker DUN. Keluhuran perlembagaan semakin musnah. Pihak yang tidak sepatutnya mentafsir undang-undang telah mentafsir undang-undang. Siapakah antara mereka yang paling wajar mentafsir undang-undang berhubung dengan persidangan DUN ? Keadaan menjadi semakin haru-biru kerana pihak yang bijaksana hanya tahu mendiamkan diri atau masih sayang kepada sokong yang mungkin boleh membawa rebah.

Jika dibiarkan... keadaan di Perak akan terus memalukan. Dengan semangat kemanusiaan dan ketamadunan madani, pihak yang bijaksana keluarlah dari belakang tembok untuk membuka pintu demokrasi di Perak. Kembalilah kepada asas -bubar DUN segera untuk mendapat mandat rakyat kerana hanya rakyat yang mampu mengembalikan Perak ke asalnya. Terimalah realiti itu.

No comments: