Followers

Saturday, February 14, 2009

Pemuda UMNO tidak sensitif penderhakaan kepada hukum-hukum Allah.

Pemuda PAS dan Persatuan Ulama mengajak semua NGO Islam membantah program Musawah anjuran NGO sesat Sisters In Islam (SIS) pada 13 hingga 18 Februari .Program Musawah itu membincangkan nilai-nilai Islam liberal yang merupakan antara bentuk penyamaran baru musuh untuk mengelirukan fikiran umat Islam. Fikrah sesat ini cukup berbahaya kepada aqidah Islam kerana topik yang sering dibincangkan ialah tentang moral tidak boleh diperundangkan dan dosa-dosa peribadi bukanlah satu jenayah. Dalam ertikata yang lebih jelas mahu menyamakan Islam dengan agama lain.

Program Musawah itu juga dilihat sebagai hasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar.

Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al Quran dan Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Ianya juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala Syariat yang dibawa oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Antara penceramah yang terlibat Amina Wadud (yang bercita-cita menjadi imam solat Jumaat), Ziba Mir Hosseini, Muhd Khalid Masud, Hussein Muhd.

Sesungguhnya program Musawah SIS ini amat membahayakan aqidah umat Islam khususnya umat Islam di negara ini.

Persoalannya, selain dari pemuda PAS, Persatuan Ulama dan NGO yang mencintai Islam ke mana pergi Pemuda UMNO dalam isu ini. Kelihatannya Pemuda UMNO hanya sibuk menyaman Karpal Singh yang kononnya menderhaka kepada Sultan Perak, menjadi buta mata dan pekak telinga atau memang tidak faham agama apabila ada pihak yang mengaku Islam sedang bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, sedang menderhaka kepada Allah Tuhan seru sekalian alam.

Ertinya, kepada Pemuda UMNO ‘menderhaka’ kepada sultan pantang mak bapak mereka tetapi menderhaka kepada Allah, itu awak punya hal ! Sedangkan isu menderhaka kepada sultan itupun diputarbelitkan dan tidak pernah berlaku di kalangan rakyat yang bukan UMNO kecuali UMNO sendiri yang pernah dan kerap melakukannya. Sejarah tidak akan dan tidak pernah berbohong. Kajilah sejarah…UMNO bukan sahaja pernah menderhaka kepada Raja-raja Melayu malah tidak pernah cuba menghalang pihak-pihak yang cuba menderhaka kepada Allah!

No comments: