Followers

Monday, February 09, 2009

Karpal akan belayar dengan kapal sendiri ?-Malaysiakini

Nampaknya Karpal Singh memang sudah tak ada kerja lain, asyik hendak menyalahkan orang sahaja. Atau sejak akhir-akhir ini Karpal agak mudah terasa hati !


PAS menyatakan perjuangannya mahu menegakkan hudud di Malaysia untuk orang-orang Islam, PAS disalahkannya. Riuh rendah satu Malaysia sewaktu pilihanraya Kuala Trengganu tempoh hari. Kecaman Karpal dimain-mainkan oleh UMNO/BN merata-rata di Kuala Trengganu dan siarkan media BN ke seluruh negara. Hasilnya PAS parti komponen Pakatan Rakyat mencapai kemenangan bergaya.


Kali ini apabila Kerajaan Pakatan Rakyat Perak diguling secara lompat parti yang tidak bermoral oleh BN, Karpal bingkas mengecam Anwar Ibrahim sebagai tidak layak menjadi Ketua Pakatan Rakyat. Pada hal sewaktu usaha 16 September tempoh hari Karpal turut tahu apa yang Anwar dan Pakatan mahu lakukan. Tidak pula pada waktu itu Karpal menegur atau membuat bising apatah lagi protes Anwar sebagai tidak layak menjadi Ketua Pakatan.


Mungkin kali ini Karpal marah sungguh kerana ada seorang DAP yang menjadi ‘katak’ .Bertambah marah lagi Karpal kerana Pakatan Rakyat tidak bersetuju apabila dia mahu saman Sultan Perak ? Itulah Karpal. Beliau seorang yang tidak kira tempat dan masa, dia akan melenting dan ‘meletup’ jika dia mahu ‘meletup’. Kali ini letupannya juga ditalanya juga ke arah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.


Kerana kecewa dengan semua pihak PAS, Anwar dan PKR serta kepimpinan tertinggi DAP, Karpal membuat ancaman untuk menarik DAP keluar dari Pakatan Rakyat.Apakah cadangan Karpal nanti akan turut dipersetui oleh pemimpin kanan DAP yang lain. Jika mereka itu tidak bersetuju dengan Karpal apakah Karpal akan 'belayar' dengan kapal sendiri ? Kapal yang mana dan bagaimanakah rupa kapal itu ?


Kini, awal-awal lagi pihak media massa tunggangan UMNO/BN telah menyiar ke serata ceruk ancaman dan gertakan Karpal. Kini ulasan yang dihamburkan merata-rata sehari dua ini ialah Pakatan Rakyat telah berpecah. Nampaknya ’berlauklah’ UMNO/BN sehari dua ini!


Menariknya ialah apabila Karpal mencadangkan Anwar berundur sebagai ketua kepada Pakatan Rakyat, siapakah agaknya orang yang layak yang hendak dicadang oleh Karpal ? Lim Kit Siang ? Lim pun sudah kena marah. Tok Guru Nik Aziz? Tuan Guru Haji Hadi? Atau Pengerusi Kebangsaan DAP sendiri? Namun demikian bagaimanakah reaksi Karpal apabila hari ini Lim Guan Eng mengatakan Anwar Ibrahim tetap mengetuai Pakatan Rakyat? Apakah Karpal akan kecil hati lagi dan akan benar-benar belayar dengan kapal sendiri kerana Karpal telah memberi amaran , "Jangan main-main dengan saya !".

No comments: