Followers

Thursday, February 26, 2009

Dr Haron Din ulas isu mufti dan derhaka

Azamin Amin
Wed | Feb 25, 09 | 9:40:03 am MYT

"...tidak pernah dengar ada sebarang komen daripada mana-mana mufti."

Beliau adalah antara ulama terkemuka yang masih berhubung rapat dengan Istana dan Raja-Raja Melayu, tetapi tetap dekat di hati rakyat. Justeru, Dato' Dr Haron Din dirasakan tokoh paling sesuai yang boleh mengupas situasi gawat di Perak terutama berkaitan hal yang digembar-gemburkan media, iaitu isu taat setia kepada kepimpinan dan masalah derhaka kepada Raja-Raja Melayu, dari perspektif agama.

Ketua Pengarang KumpulanHarakah AHMAD LUTFI OTHMAN dan Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN beserta jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH sempat mewawancara Timbalan Mursyidul Am PAS itu, di kediamannya di Bandar Baru Bangi, pagi 16 Februari lalu.

Bahagian Dua)

Pada pendapat Dato', adakah Sultan Perak sendiri merasakan Nizar sudah menderhaka kepadanya?

Kebetulan ketika rancak isu yang dimainkan media kononnya Nizar derhaka kepada Sultan Perak, tiba-tiba saya terbaca dalam berita bahawa Nizar dijemput dan menghadiri Majlis Jubli Perak Sultan di istana. Kalau ini boleh difahami, maka jika benar Nizar derhaka pada Sultan, pada hemat saya sudah pastilah Sultan tidak akan jemput orang yang menderhaka kepada baginda.

Begitu juga Nizar, jika tiada jemputan pihak Sultan, tentu Nizar tidak akan pergi dan jika Nizar derhaka, sudah pasti dia tidak memenuhi jemputan itu atau tidak hadir di majlis Sultan.Amalan kita ialah kita tidak akan datang jika tidak dijemput dan dalam kes ini, jemputan mestilah atas perkenan Sultan. Kemudian Nizar datang dengan hati terbuka. Maka tidak benar sama sekali dakwaan Nizar derhaka kepada Tuanku.

Mufti Perak, Dato' Seri Harussani menyarankan agar taat kepada pemerintah dalam apa jua keadaan. Mungkin Dato' ada pandangan lain?

Saya mengikuti saranan beliau agar taat kepada pemerintah. Saya nak menyebut, saya amat menghormati dan menghargai seluruh mufti kerana mereka memegang amanah Allah SWT untuk mengajak manusia kepada yang benar, al-Haq. Sepanjang yang saya ikuti dalam konteks politik Malaysia, berlaku pertembungan antara parti-parti politik yang membabitkan banyak isu, misalnya krisis perlembagaan yang melibatkan Raja-Raja Melayu.

Maknanya, pertembungan Umno dengan seluruh Raja-Raja Melayu, termasuk krisis membuang imuniti dan kekebalan Raja-Raja. Ketika itu tidak pernah kita dengar ada sebarang komen daripada mana-mana mufti.

Seingat saya, mereka berpegang kepada neutraliti. Ini kerana Mufti kita ketahui selalu berpegang kepada prinsip 'non-partisan' dan tidak mahu terlibat dalam kancah politik. Bila berlaku krisis di Perak, Mufti membuat komentar yang baik namun orang ramai menafsirkan sebagai telah 'memihak' kepada Umno-BN.

Antara lain saranannya agar menyokong idea untuk tidak perlu bubar Dun dan akur sahaja dengan apa yang berlaku dan berserah kepada takdir, terimalah seadanya ...Komen seperti itu wajar disuarakan kerana itu pandangan peribadi bukan fatwa, tetapi apabila ia dilihat antara 'between the line', antara tersurat dan tersirat, ia amat jelas memihak dan menafikan hak satu pihak yang lain.

Dengan itu, ia mengundang tafsiran yang negatif terhadap mufti.

Ada pihak beranggapan tindakan Sultan Perak itu sebenarnya adalah untuk mengembalikan kuasa kepada orang Melayu di negeri berkenaan yang kononnya selama diperintah Pakatan Rakyat, Nizar hanya menjadi boneka kepada DAP. Jadi, menurut golongan ini, walaupun ada percanggahan dengan undang-undang tetapi Sultan lebih melihat kepentingan orang Melayu?

Keutamaan saya adalah jangan hanya kerana nak kembalikan kuasa Melayu, sampai kita boleh ditafsirkan sebagai 'perompak'. Jangan kita buat sesuatu yang tidak wajar. Ada cara yang betul. Ambillah kuasa itu balik dengn cara yang 'gentleman', dengan keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Yakni, kembalikan kepada rakyat dan masing-masing kempen semula untuk mempengaruhi rakyat.

Buka ruang untuk orang Melayu Perak kembalikan kuasa melalui proses pilihan raya. Itu yang sepatutnya. Tetapi, sekarang, selepas banyak hiruk-pikuk berlaku, barulah nak timbulkan bahawa keputusan istana nak kembalikan kuasa kepada orang Melayu. Itu berlaku ketika krisis, kenapa tidak timbulkan dari awal lagi. Dah huru hara, baru kata itu ini. Sebenarnya kuasa rakyatlah yang menentukan kuasa orang Melayu yang sebenarnya.

Bagaimana pula pandangan Dato' tentang tindakan lompat parti dan isu surat letak jawatan Adun yang dipertikai SPR sedangkan itu di bawah kuasa Speaker?

Dulu saya kata kenapa tidak saman SPR, sebab mereka yang menolak surat itu. Siapa yang berkuasa dalam sebuah negeri, SPR atau Speaker? SPR hanya mengendalikan pilihan raya selepas Speaker mengisytihar sesuatu kawasan itu kosong. Kalau silap keputusan orang akan saman Speaker dan bukan SPR?Tapi SPR menyalahi Sspeaker dan buat keputusan sebaliknya.

Sama juga dengan cek misalnya, tiada tulis tarikh tetapi sudah tulis jumlah RM1,000, dan diberi pada saya. Tiba-tiba dua tahun kemudian, saya teringat cek itu, saya terus tulis tarikh dan pergi bank. Dan semuanya nampak lengkap apabila ada tarikh, tanda tangan dan jumlah. Bank terus bagi duit. Ia tak pertikai dah. Ikut faktanya begitu.

Dalam Islam hendaklah seseorang itu mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui bersama selama ia tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan perkara yang halal oleh Allah SWT.

Masa letak calon, kemudian mereka menang, maka mereka bersetuju dengan menandatangani surat tanpa tarikh itu. Yakni jika belot dan atau berpaling tadah, pihak yang berkenaan berhak letak tarikh dan terus berhenti jadi wail rakyat. Itu dipersetujui bersama dan dalam Islam ia sah.

Kalau ia bertanding atas nama PAS, secara dasar ia tidak boleh lompat parti dan lari daripada perjuangan terutama kepada keadaan yang lebih buruk.

Ada pihak berhujah bahawa lompat parti itu sah dari segi hak asasi manusia, yakni kita bebas memilih parti mana yang kita sertai sebab kita wakil rakyat, bukannya wakil parti.

Sama sahaja, hak asasi yang boleh dilaksanakan adalah yang tidak melanggar hukum Allah, jika berlawanan maka ianya bukan hak asasi. Seseorang itu memegang jawatan yang merupakan amanah parti dan orang ramai. Macam tiga orang ini, mereka melanggar janji dengan rakyat, dam ia menyebabkan heboh dan gawat seluruh negara sehingga kuasa yang sah ada pada pemerintah dapat diganggu-gugat.

Disebabkan tiga orang inilah, mereka lebih bahaya kerana telah mengheret pertelingkahan derhaka antara rakyat dengan raja, dan rakyat dengan rakyat, seterusnya menimbulkan krisis Perlembagaan. Dan tindakan mereka ini sebenarnya mempunyai amat besar kesan buruknya jika dibanding dengan orang yang ditahan ISA sedangkan mereka tidak pernah melakukan kesalahan jenayah.

Luahan hati rakyat melalui perhimpunan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar memang mengejutkan dan tidak disangka-sangka, sampai ada rakyat mempertaruhkan nyawa sanggup berbaring di tengah jalan menghalang kenderaan istana termasuk Raja Muda untuk hadir majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru. Malah ada rakyat yang menjerit minta Dun dibubarkan di depan kerabat diraja.

Apa yang kita saksikan dengan mata kepala seperti demonstrasi, tunjuk perasaan dan fenomena yang berlaku, yang belum pernah terjadi sebelum ini, iaitu orang ramai tanpa disuruh, telah bertindak sendiri-sendiri sehingga membahayakan diri di jalan raya. Maknanya mereka sanggup mengorbankan diri dan ada yang dikatakan melontar objek tertentu.

Ini berkembangan yang lebih serius yang memberi isyarat kepada semua pihak khasnya istana dan pemerintah Malaysia umumnya bahawa perkara ini perlu diambil perhatian dan perlu dibendung. Jika tidak, ia akan menjadi lebih teruk.

Ia memberi isyarat, jangan lagi buat keputusan yang separuh matang, yang boleh mengundang kemarahan sehingga mencetus insiden rakyat tidak sabar lagi. Ini mesej penyataan atas rasa tidak senang rakyat terhadap istana.

Rakyat melakukan perkara yang begitu menggerunkan, yang boleh membahayakan diri, bagi menyatakan hasrat secara terang-terang kepada pihak atasan supaya suara mereka didengar dan diambil perhatian yang serius.

Ada pihak yang menohmah dalam isu ini, bahawa PAS sekiranya memerintah akan menjadikan Malaysia sebuah negara republik tanpa raja, seperti republik Islam di Iran yang menghapuskan sistem beraja?

Tohmahan seolah-olah pihak Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaaan berstatuskan republik, ini fitnah yang amat besar yang dilakukan oleh lawan politik untuk menakutkan rakyat, mencemuh dan mendatangkan kemarahan kepada pihak istana tanpa ada bukti-bukti yang PAS akan lakukan.

PAS sejak dahulu sentiasa mempertahankan kuasa raja-raja. PAS sepanjang sejarahnya sejak tahun 1951, sampai hari ini, umumnya tidak pernah ada perjuangan PAS yang ada titik hitam hubungan dengan istana atau raja-raja. Perkara di Perak ini sebenarnya pun bukan titik hitam, ia digembar-gemburkan media milik Umno dan BN.

Bagaimanapun, jika dirujuk sejarah, maka ternyata banyak sungguh pihak Umno-BN yang melakukan penderhakaan dan bercita-cita ke arah itu dengan bukti bahawasanya kekebalan Raja-Raja telah dihapuskan oleh Umno-BN. Itu berlaku dalam krisis Perlembagaan 1993. Kuasa Raja-Raja negeri-negeri telah dilucutkan. Itu adalah satu usaha untuk buang kuasa Raja-Raja. Ini sebenarnya banyak berlaku. Seolah-olah merekalah yang berusaha untuk menyingkirkan kuasa Raja-Raja atau menghapuskan terus Raja-Raja. Ini yang Umno-BN telah lakukan.

Ini tidak berlaku dalam PAS. Hanya kes Nizar dengan Sultan Perak yang bukannya sebagai penderhakaan cuba diterjemahkan sampai dikatakan hasrat PAS jadikan Malaysia republik.Saya menafikannya dan ini adalah suatu taktik jahat kotor nak melaga-lagakan PAS dengan istana dan Raja-Raja Melayu.Kita balik semula kepada asas perbincangan.

Dari segi tradisi pemerintahan dalam Islam, apakah amalan institusi raja sebenarnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam?

Dalam pemerintahan Islam, ketua pemerintahan ada beberapa istilah, kalau zaman Nabi, ketua negara kita kita panggil Rasullullah, selepas wafat Nabi dipanggil khalifah, selepas naik Umar, dipanggil Amir Mukminin, selepas Uthman dan Ali dikenali balik sebagai khalifah. Selepas itu timbul pula pemerintahan beraja dipanggil al-Malik.Sebelum Nabi Muhammad, Nabi Sulaiman itu adalah Raja. Puteri Balqis, Raja negeri Saba' mengakui Sulaiman sebagai Raja.

Jadi itu tak jadi masalah, dalam Islam sama ada dia Khalifah, Amir, Malik atau apa sahaja. Semuanya tetap patuh kepada perintah Allah dan Rasul dan amat menghormati institusi ulama dalam serba keadaan. Kita ambil dari satu dekri ucapan Khalifah Abu Bakar, sebagai pemerintah Islam dalam ucapan sulungnya menjadi Khalifah pertama:

"Andanya kamu melihat saya memerintah dengan betul dan benar, wajib kamu membantu dan menyokong saya. Sekiranya saya menyeleweng dengan hukum Allah, maka gugurlah ketaatan kamu kepada saya, perbetulkanlah saya. tegurlah saya."

Naik Umar pula jadi pemerintah, ucapan sulungnya hampir menyamai Abu Bakar tetapi lebih keras lagi. Sebaik habis ucapan Umar, bangun seorang sahabat dengan menghunus pedangnya seraya berkata, "wahai Umar, jika kamu menyeleweng, kami perbetulkan kamu dengan pedang kami ini."Umar tidak murka.

Orang itu tidak dikatakan derhaka malah Umar menyebut, "Saya memuji Allah yang mengutuskan ada di kalangan rakyat Umar orang yang sanggup memperbetulkan Umar jika dia salah dengan pedangnya. Itulah karektor yang patut wujud pada seorang pemerintah, sama ada raja, sultan, perdana menteri dan ketua negara, yang semuanya tidak terlepas dari hukum Allah.

Harapan Dato; kepada situasi di Perak?

Saya melihat, ia menjadi seperti mana perkara kecil yang sengaja diperbesarkan. Media bertindak 'over-killing', melakukan tindakan yang melampau lebih daripada yang patut sehingga berlaku demonstrasi di luar Perak. Akhirnya jika berlaku yang tidak baik, yang ruginya adalah rakyat.

Nizar dihalau daripada pejabat dan dapat simpati ramai. Kasihan dia jadi target. Kenapa halau dia dan kenapa kata kita gila kuasa dan jawatan sedangkan kuasa dan jawatan sudah ada pada kita? Yang gila kuasa itu Umno-BN bukannya kita, tapi dia gunakan terbalik.

Harapan saya, perkara sebegini jika cepat diselesaikan maka redalah masalah dan selesailah krisis. Jika dibiarkan, sengaja dilambatkan atau ditambahkan, keadaan akan jadi lebih meruncing. Cara mempercepatkan cara penyelesaiannya, perlu ada keberanian daripada pihak yang berkenaan untuk membuat keputusan segera yang menguntungkan semua pihak, 'win-win situation.'

Atau meminta mahkamah buat ketetapan kes ini atau rundingan yang lebih berwibawa agar tidak mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.Yang penting, jangan biarkan lebih lama. Dalam politik kita pakai istilah, tiada kawan yang selama-lamanya kawan dan tiada musuh yang selama-lamanya musuh.

Musuh hari ini, mungkin jadi kawan atau kawan hari ini jadi musuh esok hari. Maka musuh yang hari ini kita berunding dengan cara baik, esok boleh jadi kawan. Jika ikhlas, bincang cara yang betul, akan dapat hasil terbaik. - azm _

http://www.harakahdaily.net

1 comment:

saji said...

Saya rasa lebih berkesan jika isu lompat parti oleh 3 Adun Perak yang menimbulkan keadaan huruhara di Negeri Perak sekarang dihujah dari sudut perundangan Islam 'masalih mursalah' iaitu dengan menganggap tindakan 3 Adun melompat parti itu sebagai perkara dan masalah baru yang tidak diterangkan dengan jelas dalam al-Quran, Hadis, ijama' dan qias