Followers

Friday, February 06, 2009

Antara politik berintegriti dan politik curang - Malaysiakini

Kini sudah terakam dalam arkib sejarah Negeri Perak Darul Ridzuan antara politik berintegriti dan politik curang, akhirnya politik curang dipayungi pada tanggal 5 Februari 2009 bersamaan 9 Safar 1430 Hijri.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi negeri Perak dan seluruh negara dalam keadaan corong telinga rakyat masih terngiang-ngiang terdengar ucapan beberapa hari sebelum peristiwa melompat parti bahawa pihak yang memayungi negeri atau negara seharusnya bersikap tidak partisan dan mesti sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat. Pada waktu itu alangkah leganya seluruh jiwa raga rakyat mendengar ucapan yang begitu berkualiti tinggi dari lontaran minda intelektual.

Namun hari ini rakyat terus buntu dan gagal untuk memahami di manakah kesecocokan ucapan itu dengan keputusan yang dianugerahkan kepada rakyat Perak. Rakyat tidak faham di manakah ciri-ciri keadilan yang diwar-warkan ucapan tersebut. Mungkin juga ucapan itu terlalu tinggi tahap intelektualnya sehinggakan rakyat Perak yang agaknya 'bodoh-bodoh' belaka sukar memahaminya !!

Atau ucapan itu sebenarnya hanyalah mainan retorika pemikiran intelektual kebangsawanan yang bagaikan 'minyak dengan air' dengan denyut nadi perjuangan dan kehidupan rakyat ?

Dunia terus memerhati, apakah yang akan berlaku selepas ini ? Apakah krisis perundangan dan perlembagaan ini akan dibiarkan oleh yang memayungi untuk terus merugikan rakyat yang memerlukan pembelaan dan kebajikan. Apakah ini tidak memberi sebarang kesan negatif kepada institusi yang memayungi akhinya nanti?

Sementara nasi belum menjadi bubur basi, masa masih ada untuk diberi keadilan kepada semua dengan menerima pembubaran DUN Perak. Semoga rakyat tidak terus 'meratib' sepanjang zaman; antara politik berintegriti dengan politik curang, politik curang akhirnya dengan senyum galak dipayungi !!! Dunia dah nak kiamat !


No comments: