Followers

Wednesday, February 25, 2009

45 kes rasuah UMNO yang ditutup ada udang disebalik batu ? - Malaysiakini

Memang itu rumah tangga UMNO. Tiada siapa yang boleh campur tangan. Tetapi kisah UMNO sebenar memang suka benar dihebuhkan oleh media massa arus perdana seolah-olah UMNO itu hak semua orang. Kadang-kadang berita UMNO lebih besar dan lebih banyak daripada berita kerajaan. Itulah UMNO dengan kegedebelannya. Menjadikan dirinya begitu penting untuk dibicarakan oleh semua orang.


Oleh kerana UMNO suka sangat ianya dibicarakan maka tidak salah kita sentiasa berbicara pasal UMNO.


Antara berita yang agak terkini ialah Perdana Menteri berkata UMNO terima keputusan SPRM tutup 45 kes daripada 90 kes rasuah politik yang didakwa melibatkan pemimpin Umno kerana ketiadaan bukti kukuh. Perdana Menteri berkata SPRM lebih berkemampuan dan siasatannya lebih teliti berbanding siasatan Lembaga Disiplin Umno. SPRM tidak dapat menghasilkan fail kes yang lengkap dan kukuh kerana pengadu hanya mengemukakan aduan secara umum tanpa disertakan bukti bagi menyokong aduan itu.


Persoalan yang bermain difikiran rakyat ialah siapakah yang didakwa dalam 45 kes itu ? Maka itu untuk meyakinkan rakyat bahawa kes-kes ini benar-benar tidak lengkap atau berbentuk umum ianya perlu didedahkan kepada khalayak umum. Jika tidak rakyat akan membuat andaian bahawa 45 kes itu pasti membabitkan 'ikan-ikan jerung' bukan 'ikan-ikan bilis'. Andaian akan berlanjutan bahawa ianya ditutup bukan kerana tidak cukup bukti tetapi mungkin kerana memberi perlindungan !


Apakah salah bagi rakyat membuat andaian begitu ?


Sudah tentu tidak salah kerana SPRM adalah sebuah suruhanjaya yang kini sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat teruk di kalangan rakyat jelata. SPRM begitu cekap dalam kes lembu korban dan kereta MB Selangor sehingga dengan laju menjatuhkan 'hukuman' kepada MB Selangor itu. Sedangkan dalam kes rasuah politik UMNO, yang diulang-ulang ialah gambar seorang guru UMNO yang ditahan. Keputusan muktamat kes tersebut belum jelas. Yang ditahan bukan 'taukeh besar' yang mahu bertanding tetapi hanya balachi yang bagi dan edar wang di hotel-hotel!


Sebab itu adalah tidak diyakini langsung bahawa 45 kes yang ditutup oleh SPRM itu adalah kerana tidak ada bukti kukuh tetapi yang pasti ada udang disebalik batu ! Itulah UMNO dan begitulah SPRM !

No comments: