Followers

Friday, January 09, 2009

PPSMI: Gapena mahu Najib campur tangan- mStar

Jumaat Januari 9, 2009

Bahasa Inggeris: Gapena mahu Najib campur tangan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mahu campur tangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bagi menangani isu pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Satu Gapena, Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Najib bagi meminta supaya diadakan satu perbincangan khusus antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

"Hari ini kita baru sahaja hantar surat kepada Datuk Seri Najib untuk mohon pertimbangan supaya memberikan kita ruang untuk berbincang.

"Gapena sanggup jadi orang tengah untuk aturkan perbincangan antara kerajaan dan NGO-NGO Melayu untuk bincangkan mengenai isu PPSMI ini," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, perbincangan meja bulat sebelum ini yang turut disertai Gapena tidak memberikan ruang yang cukup untuk mereka menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan.

"Kita ada sertai perbincangan meja bulat yang diadakan, tapi ia dihadiri oleh ramai pihak-pihak lain dan perbincangan mereka lebih kepada pentingnya penggunaan bahasa Inggeris.

"Kita kurang peluang untuk nyatakan mengapa kita mahu PPSMI dihentikan," katanya.

Sehingga kini sebanyak lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI telah diadakan.

Persidangan Meja Bulat PPSMI terkini yang berlangsung pertengahan bulan lalu merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Jelas Ismail lagi, Gapena mahu pihak kerajaan bersemuka dengan mereka dan mendengar serta mempertimbangkan idea yang akan dikemukakan.

Dalam pada itu mengulas mengenai kenyataan terkini Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kementeriannya tidak akan tergesa-gesa atau tunduk terhadap sebarang ugutan berhubung pelaksanaan dasar PPSMI, Ismail berkata perkara berkenaan terpulang kepada kementerian berkenaan.

Jelasnya Kementerian Pelajaran tidak harus menganggap gesaan Gapena itu adalah sebagai satu ugutan.

"Ini bukan soal ugutan, kami sekadar mahu mendapat pertimbangan daripada kerajaan mengenai isu ini," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata Gapena tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kerajaan masih meneruskan pelaksanaan dasar PPSMI

No comments: