Followers

Tuesday, January 13, 2009

Pidato umum bantah PPSMI di KT-Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jan 13, 09 1:02pm


Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan menganjurkan pidato umum di Kuala Terengganu, membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), malam Khamis ini.

Menurut setiausaha pelaksana GMP, Saifullah Zulkifli, program itu merupakan sebahagian daripada siri bantahan gabungan itu terhadap PPSMI sebelum mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih Mac ini.

Katanya, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad yang kini mengetuai GMP serta beberapa pemimpin NGO Melayu akan berucap di majlis tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Saifullah berkata, beberapa tokoh politik dijadual turut sama menyampaikan pidato pada malam itu, termasuklah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presidennya, Mustaffa Kamil Ayub dan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa.

Kuala Terengganu kini menjadi tumpuan kempen pilihanraya kecil yang diadakan pada 17 Januari ini.

Saifullah yang juga mantan naib presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, selain wakil pembangkang, GMP juga bercadang mengundang pemimpin Umno bagi tujuan yang sama.

'Mahu Puad Zarkashi'

ditanya siapakah pemimpin Umno yang paling layak bercakap mengenai dasar itu, Saifullah berkata:

"Kami lihat Umno Johor dan (Ahli Parlimen Batu Pahat) Datuk Puad Zarkashi paling layak bercakap soal ini."

Katanya ini kerana Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga ketua pemuda Umno dilihat mengambil 'jalan selamat' dalam soal itu.

Setelah GMP dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengancam mengadakan perhimpunan besar dan mengeheret kerajaan ke mahkamah berhubung isu PPSMI, Hishamuddin dilaporkan meminta semua pihak "jangan gopoh" kerana apa keputusan pun mengenainya akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri itu dilaporkan berkata keputusan kajian mengenai PPSMI akan dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat untuk membolehkan keputusan dapat dibuat.

GMP dianggotai 14 NGO Melayu dan sayap Pemuda pembangkang hasil pertemuan beberapa NGO Melayu yang menentang PPSMI di Kuala Lumpur penghujung bulan lalu.

http://malaysiakini.com/news/96336

No comments: