Followers

Sunday, January 11, 2009

Menjaga kepentingan rakyat bukan hanya bercakap!

"Kerajaan BN sentiasa utamakan kepentingan rakyat!" Itulah kenyataan yang dikeluarkan 0leh Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib. Betulkah begitu ?

Memang tidak dinafikan menjadi tanggungjawab mana-mana pihak dan sesiapa juga yang menjadi kerajaan untuk menyediakan infrastruktur asas, kemudahan pendidikan, peluang-peluang pekerjaan dan suasana aman.

Isunya ialah adakah benar Kerajaan BN sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat?

Bagaimanakah nasib rakyat jika sekiranya harga minyak di pasaran dunia tidak berada dalam keadaan menurun ? Apakah harga minyak tempatan yang dinaikan 78 sen itu tidak akan kekal ? Kita tidak nampak harga minyak yang diturunkan peringkat demi peringkat itu dilakukan jika sekiranya nilai harga minyak dunia tidak berada di dalam keadaan menurun.

Menaikkan harga minyak yang begitu banyak yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara ini sebelum ini, merupakan sikap mengutamakan kepentingan rakyat ? Bagaimanalah agaknya jika sekiranya Pakatan Rakyat tidak menang di Permatang Pauh tempoh hari ? Belum tentu harga minyak akan turun seperti hari ini.

Lihat pula apa yang berlaku hari ini, walaupun harga minyak telah turun dengan banyaknya harga barangan dapur dan keperluan pengguna terus melambung naik.

Demi menjaga kepentingan rakyat, kenapa kerajaan BN tidak memastikan harga telor contohnya, terutama di kawasan luar bandar yang ramai penduduk bertaraf sosio-ekonomi rendah, tidak mencecah 10.50 30 biji. Harga kicap botol besar contohnya telah mencecah rm5.60.

Demi menjaga kepentingan rakyat, pemimpin hanya berkata, "......ala janganlah makan kicap, kicap bukan penting sangat. Kurangkan makan telor untuk kesihatan....."

Demi menjaga kepentingan rakyat, beri perhatian kepada harga barang-barang ini. Harga beras masih di paras tinggi ! Bagaimana halnya dengan para pelajar yang makan di kafeteria. Hari ini sekali mereka makan telah mencecah rm5 hingga ke rm6. Harga ikan sudah tidak ada lagi yang berharga 7 - 8 ringgit. Kebanyakannya telah mencecah harga belas-belas ringgit !

Pada tahun 2008 yang lalu, negara yang subur ini telah mengalami kekurangan beras. Kelam kabut kita mencari beras. Apakah dikatakan menjaga kepentingan rakyat apabila negara yang subur ini tidak mampu menampung keperluan beras 22 juta rakyatnya. Beras terpaksa diimport oleh sebuah negara yang subur dan sesuai untuk tanaman padi. Seriuskah ini namanya dalam menjaga kepentingan rakyat? Apakah dengan sekadar mengimport beras, dikatakan kita telah menjaga kepentingan rakyat ? Bolehkah kita mengharapkan kejujuran negara yang mengeksport beras kepada kita itu untuk menjamin survival kita ? Karut !

Demi kepentingan rakyat, kerajaan BN sepatutnya perlu mencontohi negara Vietnam dan Thailand. Walau apapun keadaan negara mereka dalam keadaan susah atau senang, rakyat mereka tidak akan putus bekalan beras kerana misi utama mereka ialah menghasilkan beras mencukupi untuk rakyat mereka dari ladang padi mereka sendiri. Ini baru dikatakan mengutamakan kepentingan rakyat.

Demi kepentingan rakyat, masalah najis babi yang mencemar semua aliran air di Melaka itu perlu diselesai segera. Jangan sampai PEWARIS mengamuk tidak ketahuan cara.

Demi kepentingan rakyat, ramalan kemelesetan ekonomi akan lebih kritikal dalam tempoh empat bulan akan datang perlu langkah-langkah pemulihan segera. Sudah semakin ramai pekerja-pekerja kilang yang diberhentikan. Bagaimana pula nasib mereka yang telah diarah berkerja 15 hari, cuti 15 hari itu pula !

Dengan sebab itu Dato' Najib jangan berkl'uk-kl'ik hanya semata-mata kerana berkempen di Kuala Trengganu sahaja. Langkah menghadapi krisis kemelesetan ekonomi nampaknya belum menampakkan cahaya di hujung terowong ! Negara lain telah bersedia, Dato Najib terus menabur pembaziran projek di Kuala Trengganu !

No comments: