Followers

Monday, January 12, 2009

Borak politik dengan pasangan warga emas

Petang semalam saya kebetulan bersembang dengan sepasang suami isteri warga emas yang berasal dari Kuala Trengganu tetapi kini telah tidak lagi menetap di Kuala Trengganu. Mereka memberitahu baru-baru ini mereka pulang ke Trengganu kerana menziarahi saudara mara di sana.

Apabila mendapat tahu yang mereka berdua ini baru pulang dari Kuala Trengganu saya terus bertanya keadaan di Kuala Trengganu pada waktu ini.

"Ramai polis sekarang ini di Kuala Trengganu. Khemah polis memutih macam dekat Arafah pula", itulah kata-kata permulaan yang diucapkan oleh si makcik dalam loghat pekat Trengganunya. " Pelik sungguh, nak buat apa polis berderu tu ? ".

"Mungkin untuk jaga keselamatan makcik sebab orang Trengganu ni 'brutal' sikit tak !", acah saya berterus terang.

"Heh...nak jaga keselamatan apa....takut nak gi mengundi, polis le ni bukan boleh kira !", betah pakcik tu agak keras.

Saya tidak komen apa-apa kenyataan pak cik tu tetapi cukup menarik untuk difikirkan kemunasabahannya itu.

Saya bertanya lagi, " Agak-agaknya boleh menang ke bulan pakcik ?"

"Payoh !", kemas dan tegas sekali jawapan pakcik tu sambil menjuehkan bibirnya.

"UMNO mana nak kalah, acu khabor sikit ? UMNO mana nak kaloh ?" pakcik itu bertanya kepada saya.

"Kalau bertanding betul-betul, bulan memang akan menang. Tapi bertanding betul guane, kalau duit macam ditabur-tabur merata-rata, projek merata ceruk! Orang tak minta pung bagi". jawab makcik yang boleh tahan kuat politiknya.

"Tak dok jalang (jalan tar) buak jalang, tak dok parik buak parik, jalang molek-molek ubuh bonggol, macang-macang !", hendak tergelak saya mendengar leteran makcik itu.

"Borang duit edar merata-rata, setiap orang diminta isi borang untuk dapat duit belanja sekolah dan sebagainya. Masa kami ada di sana tu sedara-mara sibuk isi borang, Itu yang kena isi borang, yang bagi begitu saja ada juga", kata pak cik.

"Siapa yang bagi pakcik ?" tanya saya.

"Sapa lagi, UMNO lah !". jawab pakcik.

"Di kalangan orang Melayu rasanya, payoh bulang nak menang, sebab orang Kuala Trengganu tu orang Trengganu, tapi kalau orang Kuala Trengganu tu macam orang Kelantan, haa...alah dacing, berilah apa-apa pung!", wah..standard juga analisis politik mak cik kampung ni.

"Sokongan orang Cina macam mana pakcik ? tanya saya. Tiba-tiba makcik yang tergelak lalu dia menjawab.

"Makcik sempatlah tanya seorang orang Cina di bandar Kuala Trengganu, dia khabor mende...? Orang Cina kalau sokong BN bukan orang Cina!," ya ke tidak itulah yang makcik tu cakap.

Kesimpulan yang dapat saya buat dari perbualan ringkas dengan pakcik dan makcik itu, walaupun keadaan suasana di Kuala Trengganu pada waktu ini seperti mempunyai kesan positif terhadap PAS untuk mencapai kemenangan, namun ianya boleh menjadi berita yang mengecewakan PAS sewaktu keputusan diumumkan nanti ! Maknanya, apa-apa sahaja boleh berlaku, jika PAS dan Pakatan Rakyat leka!

No comments: