Followers

Wednesday, January 14, 2009

Bawalah DAP keluar wahai Karpal Singh, kalau itu yang anda mahu sangat...

Kali ini saya tertarik untuk memberi komen tentang apa yang dilaporkan oleh beberapa akhbar online mengenai apa yang dikatakan ancaman DAP untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat.

Isu ini sudah pasti akan menjadi isu jajaan UMNO/BN yang cukup menggemarinya. Hasrat BN untuk melihat Pakatan Rakyat kucar-kacir dan musnah mungkin menjadi kenyataan. Dan hasrat rakyat untuk melihat sebuah kerajaan yang memerintah secara korup selama ini di ganti oleh sebuah kerajaan yang berintegriti akan musnah. Kerajaan korup yang tidak berintegriti itu akan terus bermaharaja lela.

Dalam pertelingkahan isu hudud ini siapakah sebenarnya yang patut disalahkan ? DAP atau PAS ?

Pada pandangan saya isu ini akan terus menjadi isu yang menghalang kesinambungan Pakatan Rakyat jika para pemimpinnya tidak berusaha memahami secara rasional prinsip masing-masing.

Walau apapun saya tetap mengatakan bahawa dalam soal ini DAP atau mungkin pemimpin veterannya Karpal Singh sahaja (?) terlalu keras dan degil dengan pendiriannya. Persoalan saya kenapa DAP yang tidak popular di kalangan umat Melayu dan umat Islam selama ini mahu menghalang orang-orang Islam dari menggunakan hukum hudud terhadap masyarakat Islam sendiri? Atas rasional apa DAP menentangnya?

Jika PAS mengatakan bahawa hukum hudud akan dilaksanakan kepada semua kaum di Malaysia jika Pakatan Rakyat menang, ya…mungkin wajarlah agaknya DAP menentang habis-habisan. Kita fahamlah kalau begitu.

Tetapi apa yang PAS ingin laksanakan dan telah dinyatakannya berkali-kali oleh para pemimpin PAS bahawa ianya tidak membabitkan bukan Islam langsung. Dan itu juga yang diterangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Bagaimana susah sangat untuk DAP dan Karpal memahami bahasa mudah yang dituturkan oleh pemimpin PAS. Apakah bagi Karpal, PAS selama ini adalah parti politik yang kotor dan suka menipu? Karpal nilailah sendiri bagaimana PAS sejak hari pertama penubuhannya.

Sikap DAP ini atau Karpal, seolah-olah apabila sudah masuk waktu solat, PAS pergi ambil wudhu, PAS tak ajak pun DAP solat kerana PAS tahu DAP bukan Islam, tetapi DAP tak izinkan PAS pergi solat. Kita ingin bertanya kepada para pemimpin DAP adakah menghalang umat Islam melaksanakan satu ibadah (melaksanakan hudud) sesama mereka (sesama Amat Islam), satu sifat yang bermoral atau berakhlak?

Apa masalahnya kepada DAP atau Karpal jika hudud dilaksanakan, bukan Islam melakukan jenayah tetap dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada, malah diberi pula kelebihan jika bukan Islam pada waktu didakwa itu, merasa hukum hudud boleh memberi keuntungan dan keadilan kepadanya dia boleh pilih hukum hudud pula. Bagi orang Islam yang melakukan jenayah mereka akan tetap dihukum dengan hukum hudud dan qisas yang memang dituntut oleh agama mereka? Salahkah kepada DAP dan Karpal jika umat Islam Malaysia beriltizam mahu menjadi umat Islam yang baik ?

Jika Karpal mengatakan masalahnya ialah dia menentang hukum hudud kerana dia membela umat Islam Malaysia, bagaimana jika umat Islam tidak bersetuju pembelaan dia (berkaitan hudud) itu dan umat Islam tetap mahu hudud dilaksanakan sesama mereka? Adakah Karpal akan mengatakan “ saya tidak kira, saya tetap akan membela nasib kamu!”. Lucu !

Karpal juga ada menyatakan kebimbangannya bagaimana sekiranya jika kesalahan jenayah membabitkan Islam dan bukan Islam ? Di sinilah Karpal perlu mempunyai kebijaksanaan dan kesabaran untuk berjumpa para pemimpin PAS, bertanya tentang hal itu dan cuba memahami bagaimana pula dengan peranan hukum Takzir. Kita yakin jika Karpal bersikap lebih tenang , Karpal sebagai pakar undang-undang yang mudah memahami apa sahaja undang-undang dalam dunia ini, akan boleh menerimanya dengan baik kecualilah Karpal Singh, Pengerusi DAP itu memang ada udang di sebalik batu di hatinya !

Pada saya, jika DAP tidak boleh menerima hasrat PAS yang langsung tidak mengganggu-gugat bukan Islam sedikit pun, DAP tetap mahu keluar Pakatan Rakyat , keluarlah! DAP pasti akan kerugian kerana bukan Islam sudah semakin memahami apa itu hukum Hudud. Buktinya ialah dulu PAS tiada Kelab Penyokong PAS tetapi kini kelab itu tumbuh bagai cendawan di musim hujan dan semakin menarik minat ramai bukan Islam yang cukup tahu matlamat dan pejuangan PAS. DAP harus ingat, PAS bukan parti Melayu tetapi PAS adalah sebuah parti pelbagai kaum yang memperjuangkan Islam yang universal! Sedarlah wahai Karpal!!!

No comments: