Followers

Saturday, January 17, 2009

PRK Kuala Trengganu: Banyak kesan signifikan kepada PAS dan UMNO.

Sah, Calon PAS (Pakatan Rakyat) Hj Mohd Abdul Wahid Endut menang PilihanRaya Kecil Parlimen P36 Kuala Trengganu dengan mencapai majoriti yang lebih besar. Mohd Abdul Wahid,52 tahun, memperolehi 32,883 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan 30,252 undi. Beliau menang dengan majoriti 2,631 undi.

Kemenangan calon PAS ini sebenar memberi kesan yang signifikan sama ada kepada PAS/Pakatan Rakyat dan juga UMNO/BN.

Bagi PAS kemenangan ini bermakna parti PAS berjaya menghadapi perang saraf dari pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan kepimpinan PAS dan mengucar-kacir pengikut dengan menimbulkan isu kononnya wujud kumpulan Erdogan, kumpulan ulamak, kumpulan pro-penyatuan dengan UMNO dan sebagainya. Hakikatnya pewujudan gelaran dan kumpulan-kumpulan tersebut adalah mainan atau perang saraf semata-mata. Bagi orang PAS yang tulin sebenarnya tiada apa-apa kumpulan pun dalam parti ini melainkan semuanya adalah mengikut para ulamak pewaris nabi.

Persoalan perbezaan pendapat dalam PAS adalah realiti sebenar keihklasan perjuangan dan integriti sebuah jemaah Islam. Tradisi memberi kritikan yang membina dalam pelbagai lapisan ahli dan peringkat kepimpinan menjadikan parti PAS lebih berwibawa, berintegriti dan terus relevan dalam kancah politik tanah air. Hakikat ini terbukti dari hasil kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil yang sengit dan getir ini.

Kesan yang lebih ketara dari pilihanraya ini ialah kematangan berpolitik Pakatan Rakyat. Kelihatan semua parti dalam Pakatan Rakyat berkerja keras untuk memenangkan calon PAS termasuk DAP. Kepimpinan DAP dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat bawahan turun berkempen. Sikap tenang dan bersatu kepimpinan Pakatan Rakyat telah mematikan usaha UMNO/BN untuk melaga-lagakan mereka khusus antara PAS dengan DAP dalam soal hudud. Terbukti isu hudud bukan lagi isu yang perlu pergunakan dalam pilihanraya. Rakyat berbilang kaum telah mulai faham mengenai hukum hudud dan hasrat pelaksanaan hudud oleh PAS terhadap masyarakat Islam.

Pilihanraya ini juga membuktikan kematangan para pengikut PAS yang begitu tahan uji dan tidak termakan hasutan musuh. Sebelum nama calon diumumkan terdapat beberapa orang calon favourite yang dikatakan bakal mewakili PAS dalam PRK ini. Isu calon yang sepatutnya, begitu riuh diperkatakan antara Hj Mohd Sabu, Dr Syed Azman dan Dato Mustafa Ali. Namun sebaik Abdul Wahid Endut diumumkan sebagai calon semua pihak seperti terkejut. Walau bagaimanapun suasana terkejut itu gagal menyebabkan pengikut PAS berpecah-belah malah semakin mantap dalam memberi sokongan kepada kerja-kerja parti. Perbincangan isu calon PAS serta-merta terhenti di situ.

Nampaknya slogan PAS for all semakin menarik minat rakyat di samping kualiti calon-calon PAS yang boleh diletakkan di mana-mana dan boleh dibawa ke tepi ke tengah.

Bagi UMNO pula kesan signifikan yang perlu difikirkan oleh parti ini ialah sikap kian elitis mereka. Mereka nampak kian terpinggir dari masyarakat dan budaya Islam yang luhur. Nampaknya pragmatisme yang mereka amalkan memakan diri mereka sendiri apabila mereka kian dilihat tidak berprinsip. Apakah prinsip UMNO dalam mempertahankan Islam ? Apakah prinsip UMNO dalam mempertahankan Bahasa Melayu ? Apakah prinsip UMNO dalam menyemarakkan kemajuan ekonomi masyarakat Melayu ? Apakah prinsip UMNO dalam mengkualitikan nilai moral masayarakat khususnya generasi muda Melayu ? Dan banyak lagi perkara survival Melayu dan Islam yang boleh dipersoalkan dalam urus tadbir UMNO yang begitu lemah dan teruk sekali.

Yang keduanya, UMNO perlu memikirkan apakah kaedah dan isu kempen mereka, yang ada yang halal dan banyak yang haram itu masih relevan untuk di hidangkan kepada rakyat yang kian cerdik dan terpelajar hari ini. Isu janji pembangunan yang akhirnya tidak ditunaikan sudah memuakkan rakyat. Tidakkah pemimpin UMNO faham dari ajaran Islam bahawa berjanji itu berat dan tidak menunaikan janji adalah berdosa ? Banyak mana lagikah UMNO hendak menaburkan janji-janji yang mereka gagal tunaikan? Inilah yang berjaya difikirkab oleh rakyat yang akhirnya rakyat telah beransur-ansur menigggalkan parti tua ini.

PRK Kuala Trengganu ini juga telah membongkarkan perpecahan dalam UMNO yang rupa-rupanya begitu terik sekali. Masing-masing pemimpin UMNO yang akan bertanding Mac 2009 nanti membawa team masing-masing bukan untuk berkempen menentang parti PAS tetapi untuk berentap antara satu sama lain. Itulah dengan UMNO walaupun dimana-mana .

Semoga PRK Kuala Trengganu ini memberi pukulan yang berat buat UMNO yang masih perasaan mereka kononnya merupakan sebuah parti yang dominan dan berintergiti di negara ini. Nampaknya legasi UMNO kian gagal dipertahankan kerana kesombongan mereka sendiri dalam berpolitik.

No comments: