Followers

Friday, January 02, 2009

Pesta Seks di mana-mana ?

Setiap kali datangnya tahun baru, setiap kali itu jugalah kita mendengar tentang pesta-pesta atau acara-acara yang bercanggah dengan hukum dan nilai-nilai Islam bagi menyambut detik 12 malam. Sama ada acara-acara tersebut berlaku secara kecil-kecilan di daerah-daerah atau hingga ke peringkat kebangsaan.

Menjadi satu hal yang sangat malang, tahun baru di sambut dengan penganjuran pesta-pesta yang akhirnya menjadi pesta seks. Utusan melaporkan pesta seks dianjurkan di sebuah hotel di Jalan P ramlee dengan seorang pembaca berita dan pelakon wanita terlibat telah ditahan. Dalam internet dikatakan pesta seks sempena menyambut tahun baru 2009 juga diadakan. Na'uzubillah! Ini pesta seks yang formal bagaimana pula dengan pesta -pesta seks 'persendirian' selepas meraikan detik 12 malam itu. Malangnya, di detik 12 malam, apa faedahnya Perdana Menteri dan para pemimpin turut hadir untuk seolah-olah merasmikan bermulanya kegiatan tidak bermoral selepas detik 12 tersebut. Tidakkah Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet tertentu merasa berdosa bersubahat dalam kegiatan yang tidak bermoral tersebut! Kalau pun hendak menarik pelancong, apakah ini caranya ? Seolah-olah menggalakkan pelancongan seks ? Malang sungguh negara Islam hadhari kalau begitulah caranya. Kenapakah acara-acara dan aktiviti-aktiviti tidak bermoral ini terus berlaku di seluruh negara?

Betapa kita harus menyedari, sangat kritikalnya krisis moral dalam masyarakat kita dipelbagai peringkat khususnya di kalangan para pemimpin BN dan segelintir golongan muda. Semacam sudah tiada pegangan nilai dan moral yang kukuh dalam diri. Apakah golongan ini tidak pernah mengikut pendidikan pembangunan insan selama hayat pembesaran mereka? Atau mereka ini hanya terbiar menjadi sampah masyarakat atau telah mendapat pendidikan yang salah dari sistem pendidikan yang kelihatan tidak berminat kepada pembangunan insan yang berteraskan agama.

Kenapa pemerintah UMNO/BN tidak pernah mahu berfikir apakah faedahnya acara-acara yang merusakkan moral ini kepada pembangunan insan atau modal insan yang Pak Lah bangga-banggakan itu? Seriuskah Islam Hadhari dalam membasmi keruntuhan moral masyarakat ? Atau sebenarnya Islam Hadhari tak ada hal dengan itu semua !!?

6000 polis akan berada di Kuala Trengganu

Mengikut yang dilaporkan oleh Utusan, seramai 6,000 anggota polis akan dihantar bertugas di Kuala Trengganu sewaktu tempoh Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Trengganu. Ramainya !

Adalah tidak dinafikan peranan dan tugas polis adalah untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam. Tetapi biarlah tugas yang akan dilakukan nanti dilaksanakan dengan penuh hati-hati dan adil kepada semua pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil tersebut. Hendaknya pihak Polis bukan menjadi pengganggu kepada kelancaran sebuah sistem demokrasi dan bukan juga menjadi pelindung kepada mana-mana pihak yang cuba berlaku tidak adil dan cuba merusakkan demokrasi yang sepatutnya benar-benar demokrasi.

Selama ini walau apapun alasan pihak polis, persepsi rakyat terhadap pihak polis adalah berbagai-bagai yang akhirnya memberi natijah negatif kepada imej polis itu sendiri.

Selalunya yang kerap menjadi mangsa tekanan pihak polis dan dilihat negatif oleh pihak polis ialah pihak lawan kepada UMNO/BN. Dan mereka inilah yang sering menjadi mangsa 'buli' kepada penguatkuasaan peraturan yang bukan-bukan. Semoga kehadiran begitu ramai polis di Kuala Trengganu tidak akan terus-terusan merusakkan imej polis di negara ini selepas ini.

Minta dijauhkan Allah peristiwa seperti yang berlaku di Batuk Buruk berulang kembali !

Selamat bertugas dengan penuh keadilan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui niat hati dan sikap adil seseorang termasuk pihak polis !



Thursday, January 01, 2009

Calon PAS bagi PRK Kuala Trengganu

Sah, calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Trengganu ialah YB Tuan Haji Abdul Wahid Endut ADUN Wakaf Mempelam.

Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang telah mengumumkan calon PAS tersebut sebentar tadi.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Trengganu akan diadakan pada 17 Januari 2009.



Wednesday, December 31, 2008

Perjuangan Pewaris pelik !

Kadang-kadang ada orang suka buat kerja pelik. Entah apa tujuan di hatinya , tidak ramai yang tahu. Menurut laporan akhbar Utusan, Timbalan Pengerusi Pewaris menyifatkan PAS 'pilih bulu' dalam membela nasib rakyat apabila menurut akhbar itu PAS menolak kehadiran Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris) untuk menyerahkan memorandum supaya memansuhkan ternakan babi di Masjid Tanah, Melaka.

Apabila membaca dan meneliti akhbar online seperti mStar, Malaysiakini dan lain-lain, siap tunjuk gambar Mat Sabu dan Sallehuddin Ayub dan beberapa orang lagi pemimpin PAS sedang menerima memorandum dari Pewaris. Sementara itu Tuan Guru Presiden PAS siap memberi jaminan akan membawa isu dan permasalahan yang di bawa Pewaris kepada pihak yang bertanggungjawab.

Jadi macam mana pula boleh keluar kenyataan PAS menolak kehadiran ahli Majlis Pewaris ? Kalau tolak tentulah Mat Sabu tidak diarah untuk terima. Mat Sabu bukan sebarang orang dalam PAS, Naib Presiden apa! Ini pelik yang pertama.

Pelik yang kedua, kenapa hantar memorandum mansuhkan ternakan babi di Melaka kepada PAS ? PAS bukan perintah Melaka. Agaknya dalam firasat Pewaris, pilihanraya akan datang PAS akan perintah Melaka jadi Pewaris hantar awal-aawal. Proaktiflah katakan !

Pelik yang ketiga kenapa tak hantar memorandum mansuhkan ternakan babi di Melaka kepada Ali Rutam? Bukankah Ali Rustam calon Timbalan Presiden UMNO yang perintah Melaka. Dan Ali Rustam bukan calang-calang manusia dalam UMNO. Kalau dia menang, dia bakal Timbalan Perdana Menteri. Adakah Pewaris sedang berusaha gigih menjaga nama baik dan kredibiliti seorang calon Timbalan Presiden. Kalau diberi waktu ini, markah Ali akan merudum kerana babi. Kalau itulah tujuannya, maka berjuang apa namanya begitu?

Pelik yang keempat, kenapa hantar memorandum mansuhkan ternakan babi di Melaka sahaja. Kenapa tidak hantar memorandum juga ke Selangor dan Kedah ? Agaknya dalam kajian Pewaris kaedah ternakan babi di Melaka yang di perintah UMNO/BN di bawah Ali Rustam paling teruk, paling selekeh, paling kotor dan paling tidak diambil kisah oleh Ali Rustam. Pewaris tidak hantar ke Selangor kerana Pakaan Rakyat melakukannya secara tegas dan bersistem begitu juga yang hendak dilaksanakan di Kedah. Di Negeri Sembilan ? Faham-faham sahajalah Dr Maamorkan ada dalam Pewaris !

Adalah diharapkan cukuplah Pewaris membuat kerja pelik ini. Kita tidak pernah bersetuju dengan penternakan babi yang mampu menyinggung perasaan dan emosi masyarakat yang beragama Islam tetapi kita perlu realistik dalam membuat tindakan.

Kesilapan berpanjangan dan berterusan telah dilakukan terlalu banyak oleh kerajaan UMNO/BN sejak dari dahulu lagi dalam soal ternakan babi ini. Tidak perlu menyalahkan orang lain kerana kesilapan ini adalah kesilapan kerajaan UMNO itu sendiri. Kerajaan UMNO yang tamak haloba dan mdah dirasuahkan tidak pernah mahu mengawal dan memberi tahu dengan tegas sejak dari awal, peraturan ternakan babi di negara ini. Jika Singapura yang diperintah oleh bangsa Cina yang memang makan babi boleh memberi syarat yang terlalu ketat dan membuat tindakan yang tegas dalam soal ternakan babi, kenapa negara yang diperintah oleh orang Melayu Islam yang tidak makan babi, tidak bertindak awal-awal sejak 51 tahun memerintah. Apa yang pemerintah buat. Mereka hanya tidur sahaja dengan duit babi ? Dan hari ini mereka hanya tahu menyalah orang itu dan orang ini. Begitulah kerajaan selagi UMNO/BN memerintah dan Pewaris seharusnya sedar akan hal ini untuk membuat 'tembakan' yang tepat. Bukan menembak tidak tentu arah macam orang tidak betul kepala !

Akan menyaman orang yang memfitnah dirinya ?

Jaga-jaga Tan Sri Rashid bekas Pengerusi SPR mengaum kembali. Beliau dilaporkan akan menyaman para pempimpin pembangkang yang katanya pernah memfitnah dirinya sewaktu bertugas sebagai Pengerusi SPR. Dan katanya lagi siaplah selepas ini akan ada yang akan kehilangan kerusi.

Nampaknya suara Tan Sri Rashid rasa-rasanya cukup "mengecut-perutkan" para pemimpin pembangkang! Agaknyalah !!Tian Chua akan kecut perut, Mat Sabu akan kecut perut dan semua yang lain akan kecut perut ! Mungkin akan tak tidur malam agaknya bimbangkan tindakan saman bekas pengerusi SPR itu !

Lepas ini sudah pasti Tan Sri Rashid akan menjadi pahlawan. Pahlawan kepada siapa ?? Apakah medan pertama beliau ialah Kuala Trengganu ?

Tuesday, December 30, 2008

Kajian PPSMI oleh UPSI

Kajian dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim yang diketuai oleh Profesor Emeritus Isahak Haron anjuran Yayasan Kajian dan Strategi Melayu.

Kajian tersebut membabitkan hampir 4000 murid tahun 5 di 68 buah sekolah rendah di Semenanjung Malaysia antara tempoh Februari 2007 dan Januari 2008.

Kajian UPSI tersebut adalah berkaitan dengan PPSMI dalam menjawab beberapa isu Pengajaran dan Pembelajaran berikut:

1. Sejauh manakah guru menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik ?

Kajian dari sample yang berlainan pelajar sekolah rendah sepanjang 2003-2007 mendapati:

i. Lebih 85% pelajar melaporkan guru mengajar Sains dan Matematik dengan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu . Ini adalah kerana guru-guru ingin membantu murid-murid yang lemah Bahasa Inggeris memahami apa yang diajar.
ii. Hanya 02% guru menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.
iii. Dan 05% menggunakan Bahasa Malaysia sahaja.

2. Sejauh manakah pelajar sukar mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ?

Berdasarkan sampel Januari 2008:

i.
83% murid pelbagai kaum menyatakan sukar belajar Sains dalam Bahasa Inggeris.
ii.
87.2% di kajian di kalangan pelajar Melayu mengatakan sukar belajar Sains dalam Bahasa Inggeris.
iii.
65%kajian di kalangan pelajar Melayu mengatakan sukar belajar Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan sampel Februari 2007:

i.
70-80 peratus pelajar Melayu sekolah kebangsaan masih menghadapi masalah mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris walaupun telah menggunakan Bahasa Inggeris sejak tahun 2003.

3. Adakah mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris meningkatkan pembelajaran dan prestasi Matematik pelajar ?

Kajian Sampel murid Tahun 5 Januari 2008 mendapati:

i. Skor prestasi Matematik pelajar-pelajar berkenaan adalah rendah iaitu 7.89 daripada skor maksimum 20.0.
ii.
Skor murid Melayu (7.66) adalah lebih rendah dari skor murid Cina (13.0) dan India (8.21)
iii.
Peratus murid Melayu yang memberi jawapan tepat adalah lebih rendah dari murid Cina dan India terutama dalam soalan yang memerlukan murid memahami ayat atau arahan dalam Bahasa Ingerís.
iv.
Murid Melayu lemah dalam operasi asas dengan hanya 58.2 peratus yang mampu menjawabnya.
v.
Dalam asas darab hanya 53.9 peratus murid Melayu mampu menjawab berbanding murid Cina 80 peratus boleh menjawab dengan betul.
vi.
Dalam asas bahagi yang memerlukan membaca ayat dalam Bahasa Ingerís , hanya 14 peratus dan 35 peratus sahaja murid Melayu yang mampu memberi jawapan yang betul.

4. Adakah mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris meningkatkan pembelajaran dan prestasi Sains pelajar ?

i.
Prestasi am Sains murid semua keturunan adalah rendah dengan skor hanya 4.28 daripada maksima 14.00.
ii.
Skor murid Melayu lebih rendah (4.11) dari skor murid Cina (7.22) dan India (4.64).
iii.
Kira-kira 83 peratus murid Tahun 5 dari semua keturunan mendapati sukar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dengan peratusan tertinggi di kalangan murid Melayu (84 peratus).
iv.
Hampir 83 peratus murid Melayu tidak faham pengajaran guru Sains dalam Bahasa Inggeris.

5. Adakah pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris membantu meningkatkan pembelajaran dan prestasi pelajar dalam Bahasa Inggeris ?

i. Prestasi am Bahasa Inggeris murid Tahun 5 dari semua keturunan adalah amat rendah dengan skor 11.97 daripada skor maksimum 31.0. Skor murid Melayu hanya 11.87. Skor murid Cina (21.77) dan India (16.14).

ii. Kira-kira 73.7 peratus murid Tahun 5 dari semua kaum menyatakan sukar mempelajari Bahasa Inggerics dengan peratus tertinggi ialah murid Melayu (81.4 Peratus).

iii. Lebih 75 peratus murid Melayu tidak faham pengajaran guru Bahasa Inggerís.

Sumber: Suara Keadilan 24-31 Dis 2008

Sunday, December 28, 2008

Bahasa apakah yang hendak digunakan kepada Yahudi Israel ?

Bahasa apakah yang kita hendak gunakan kepada Israel ? Bahasa haiwan ? Bahasa binatang ? Bahasa haram jadah? Tapi apalah maki hamun kita kepada Israel. Dasar kebinatangan yang hanya memekakkan telinga kepada kepada apa sahaja kutukan dan celaan. Itulah Israel laknatullah !!

Sedih, diambang tahun baru, Israel terus menjadi bangsa yang tidak mengenal erti kemanusiaan. Membunuh dengan kejam dan dahsyat rakyat Palestin yang lemah dan tidak berdosa. Membunuh umat Islam yang sedang tersepit dengan pelbagai kesukaran mainan politik dunia dan kuasa besar yang zalim.

Siapalah yang boleh diharap untuk mengajar Israel erti kemanusiaan. Di manakah negara-negara Pertubuhan Islam? Sekadar mengutuk, mencela sedangkan sudah lebih 200 rakyat Palestin terkurban dalam tempoh dua hari ini. Adakah keputusan negara Pertubuhan Islam selepas ini akan kutuk sahaja dan selepas itu perhatikan dari negara masing-masing, satu demi satu rakyat Palestin dirobek daging-daging mereka, dihancurkan seluruh badan mereka oleh bangsa yang lebih hina dari binantang ini ?

Sedih, inilah padahnya apabila negara-negara Islam menjauhi diri dari agama Islam itu sendiri. Mereka hanya terbungkam dalam kesesakan melayani hawa nafsu sendiri dan umat Palestin terus diratah dengan dahsyatnya. Masya Allah !

Umno....Umno !!

Entah apalah mentaliti perwakilan UMNO ni . Mereka memilih seseorang untuk dipilih menjadi pemimpin atas dasar apa agaknya. Atas dasar bangsakah ? Moralkah ? Akhlaqkah ? Agamakah ? Handsomekah ? Atau atas dasar berwang (bukan beruang ) ? Baca laporan BERNAMA di bawah:

Rahim Thamby layak tanding Naib Presiden Umno

SEREMBAN: Anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik hari ini mendapat pencalonan yang ke-20, dari Umno Bahagian Seremban bagi mencukupkan kuota melayakkan beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Rahim Thamby Chik ni rasanya tiada orang yang tidak kenal siapa dia dalam Umno dulu. Dulu-dulu pernah heboh kisah dia ni. Banyak orang tahu cerita dia. Dan dia nilah yang dicalonkan oleh perwakilan Umno untuk bertanding menjadi salah seorang Naib Presiden Umno pada bulan Mac nanti.

Kalaulah Rahim menang, inilah rupanya pemimpin Umno yang akan bercakap agaknya soal; Umno mesti berintegriti untuk terus-terusan benteras rasuah, ahli-ahli Umno khususnya putera dan puteri hendak tahu menjaga akhlaq dan moral nanti runtuh tamadun bangsa Melayu kita !

Kalau itulah nanti yang diperkatakan...aduuh...nak ter........... rasanya mendengarnya !

Entahlah, orang yang mudah ghairah macam Rahim masih suka dicalonkan oleh perwakilan Umno. Ya lah, nak buat macam mana, mungkin inilah antara tokoh terbaik mengikut perwakilan bahagian Umno yang mencalonkannya. Baca apa yang Rahim cakap :

"Walaupun saya menjadi pemimpin terakhir melayakkan diri dan memperoleh jumlah pencalonan sedikit, saya cuma melihatnya sebagai satu keghairahan (ha..kan ghairah!) untuk mendapatkan lesen dan bukan mencerminkan sokongan sebenar pada pemilihan nanti," katanya yang menjadi wakil pemantau MT pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu. BERNAMA

Hidup Rahim !! Umno....Umno !!!

Hudud hanya untuk orang Islam - Presiden PAS

(Kenyataan Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang , Presiden PAS cukup jelas. Semua pihak khususnya parti-parti bukan Melayu hendaklah memahaminya dan tidak perlu merasa panik, kecut perut, gerun, fobia dan trauma dengan hudud. Ia hanya untuk orang Islam sahaja. Bagi UMNO jika dah tak ada kerja lain, teruslah dengan sikap kamu menolak hudud seperti yang PAS cadangkan. Biar...biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan ...!!)

Petikan dari harakahdaily:

Hudud hanya untuk orang Islam - Presiden PAS

Harakahdaily
Sun | Dec 28, 08 | 1:31:58 am MYT

SHAH ALAM, 28 Dis (Hrkh) - Memahami keresahan masyarakat bukan Islam, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa pelaksanaan Hudud hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum Hudud dilaksanakan di negara ini sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, katanya.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal Hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam semalam.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau berkata belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

Abdul Hadi dalam pada itu menyatakan hukum Hudud di negara ini hanya akan dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya yang dipetik daripada agensi berita. - azm _

Hudud bukan tanggungjawab PAS sahaja, Umno halang hukum Allah

( Kali ini saya petik tulisan Mohamed Hanipa Maidin dalam Harakahdaily untuk merancakkan lagi proses penghadhaman dan pemahaman isu hudud yang diriuhkan sekarang.)


Mohamed Hanipa Maidin
Sun | Dec 28, 08 | 1:18:19 am MYT


"Umno jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam."

Agensi berita melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" semata-mata kerana jikna PAS benar benar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan.

Saya percaya para pembaca boleh melihat kontradiksi ucapan kedua-dua pemimpim Umno tersebut. Mahadzir Khalid kata hudud boleh dilaksanakan di Kelantan, Zahid Hamidi pula mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin Umno di atas adalah refleksi wajah sebenar Umno ketika berpolitik. Bagi pemimpin Umno peribadi seorang ahli politik dan peribadi seorang Islam adalah berbeza. Sebagai seorang Islam, ia boleh menerima hudud sebagai hukum Allah tetapi sebagai ahli politik ia sukar atau tidak boleh menerima bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Bagi Umno perbezaan sikap antara orang Islam dan orang politik tidak menjadi satu masalah.

Atas dasar itulah setiap kali isu hudud timbul, Umno meletakkan beban perlaksanaan hukum Allah tersebut hanya kepada PAS seolah-olah PAS sahaja yang diamanahkan melaksanakan perintah Allah tersebut. Hudud adalah perintah Allah dan yang demikian sesiapa sahaja yang mengaku dirinya sebagai orang Islam ia bukan sahaja wajib beriman dengan perintah Allah tersebut tetapi juga mesti berusaha melaksanakan hukum tersebut . Mana-mana orang Islam sama ada di dalam Umno, PAS , Keadilan, NGO atau apa-apa pertubuhan sekalipun wajib berusaha melaksanakan hukum hudud tersebut . Perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif orang-orang PAS sahaja.

Umno benak tuduh PAS politikkan isu Hudud

Jika Umno tidak benak dan dapat memahami bahawa hudud adalah perintah Allah maka Umno tidak boleh, dalam apa keadaan sekalipun, menuduh PAS cuba mempolitikkan isu hudud ini sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid tersebut.

Bagi PAS, tiada satu dikotomi ( pemisahan ) antara orang Islam dan orang politik. Apabila pemimpin PAS bercakap tentang politik ia bercakap sebagai seorang pemimpin Islam dan apabila ia bercakap tentang Islam ia juga bercakap sebagai pemimpin politik. Kenapa begitu ? Kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu Rasul bagi seluruh umat manusia termasuklah orang orang PAS dan orang orang Umno.

Oleh itu sama ada PAS berjuang bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat , PAS tidak akan sama sekali meninggalkan matlamat perjuangannya untuk menegakkkan Islam yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hukum hudud.

Tetapi dalam masa yang sama PAS juga amat maklum di atas kejahilan majoriti rakyat negara ini tentang hukum hudud tersebut dan batasan serta halangan perundangan, perlaksanaan hukum hudud mungkin tidak dapat disegerakan perlaksanaannya meskipun diandaikan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini. Atas dasar itu hasrat melaksanakan hudud tidak pernah menjadi penghalang kepada Pas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.

PAS maklum DAP masih belum menerima hasrat perlaksanaaan hudud di negara ini. Penentangan DAP bagi PAS bukan perkara yang pelik. Jika Umno yang bermajoritikan orang Islam juga menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud apalah yang nak dihairankan DAP yang bermajoritikan orang bukan Islam juga menentang hudud. Apabila Kelantan dan Trengganu ( ketika diperintah oleh PAS ) ingin melaksanakan hudud , siapa yang mencabarnya di Mahkamah ? DAP atau Umno ?

Saya optimistik DAP yang mempunyai ramai para intelektual boleh menerima hudud satu hari nanti kerana isu hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama malahan juga menurut perspektif intelektual. Melihat sokongan yang makin meningkat ke atas kelab penyokong PAS dari kalangan orang bukan Islam, DAP kini tidak boleh menyatakan hudud ditentang oleh semua orang bukan Islam.

Sepertimana yang saya katakan perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif PAS. Ia adalah tanggungjawab bersama baik Umno atau orang-orang Islam yang lain . Meskipun Umno menuduh PAS hanya berpolitik di dalam isu hudud , siapa yang boleh menidakkan kesungguhan PAS untuk cuba melaksanakan hukum Allah tersebut. Bukankah PAS yang telah bersungguh-sungguh menggubal enakmen hudud di Kelantan dan Trengganu ( semasa Pas memerintah ) .

Apa yang lebih menarik sebelum Kerajaan PAS Trengganu mengemukakan enakmen hudud di DUN Trengganu , PAS telah mengadakan seminar dan memanggil semua pihak termasukah Umno untuk memberikan pandangan dan kritikan mereka terhadap Enakmen yang ingin dibentangkan tersebut. Setahu saya ini tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Hal ini juga saya nyatakan kepada salah seorang Ahli Parlimen di London yang bertanyakan saya tentang enakmen tersebut ketika saya melawat Parlimen England bersama Y.B Salahudin Ayub suatu masa dahulu.

Umno halang hukum Allah

Jika PAS berusaha bersungguh-sungguh cuba melaksanakan hukum hudud semasa memerintah Kelantan dan Trengganu, Umno juga tidak ketinggalan bersungguh-sungguh cuba menghalang perlaksanaan hukum Allah tersebut. Tidak cukup pemimpin Nombor 1 UMNO ( pada masa itu ) menulis surat amaran kepada Kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hukum hudud ada juga pemimpin UMNO yang sanggup mencabar undang-undang hudud tersebut di Mahkamah. Malahan yang lebih teruk sekali pemimpin UMNO sanggup melabelkan hukum Alllah tersebut sebagai hukum hudud PAS.

Jika PAS boleh menyokong Bank Islam, Takaful , Universiti Islam mengapakah Umno amat sukar menerima hudud hanya kerana ianya digubal oleh Kerajaan PAS. Mengapa Umno tidak boleh sama sekali memberi ruang kepada PAS dalam isu hudud ini. Jika Perlembagaan menjadi penghalang sepertimana yang dikatakan oleh Zahid Hamidi mengapa selama ini Umno tidak bersedia memindanya bagi membolehkan PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Paling minima yang Umno lakukan adalah jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam. Dalam perkara yang bukan agama jika kamu salah bercakap, kamu hanya membuat kesilapan dan kesilapan tersebut tidak akan menjejaskan aqidah kamu.

Sebaliknya isu agama lain. Jika salah bercakap sila-silap akan tergelincir aqidah. Atas dasar itu dalam isu hudud diamnya para pemimpin Umno lebih baik daripada mereka bercakap. Ini kerana jika mereka diam kita mungkin rasa mereka jahil dalam isu hudud ini sebaliknya jika mereka bercakap barulah kita sedar memang confirmlah mereka ini memang jahil.- azm

(Penulis adalah Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dan seorang peguam)-azm_