Followers

Saturday, December 20, 2008

Kurang bukti pulak daahhh....

Kalau nak main rasuah masuk UMNO ? Susah ditangkap untuk didakwa kerana sentiasa kurang bukti. Tetapi awas kalau jadi ahli politik pembangkang kepada UMNO/BN buktinya cukup mudah dan tidak pernah berlaku kurang bukti !!
c
Kalau itulah caranya sampai bila-bilapun parti itu akan terus membarah dengan maksiat rasuah. Itulah Mahathir cakap berdegar-degar....itu semuanya politik Mahathir !
Seperti dilaporkan mStar online:
Politik wang: Kurang bukti Dr. Mahathir tidak dapat dedah nama

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak dapat mendedahkan senarai calon-calon Umno yang terbabit dalam politik wang berikutan kekurangan bukti.
"Saya perlu meneliti dakwaan itu. Banyak sangat dengar cakap.
"Mereka (perwakilan) boleh beri saya nama-nama itu tetapi tiada maklumat konkrit seperti di mana, berapa banyak dan lain-lain.


"Kita perlukan mereka yang berani untuk tampil dan mendedahkan. Setengahnya mengadu tetapi mereka tidak begitu berani untuk mendedahkan pesalah itu," katanya

Bulan lepas, Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden Umno telah berkata bahawa beliau akan mendedahkan nama-nama calon yang terbabit dalam politik wang menjelang pemilihan parti yang dijadual diadakan Mac tahun depan.

Katanya Umno, sebagai tulang belakang Barisan Nasional, boleh mewujudkan beberapa lembaga atau jawatankuasa untuk mengekang politik wang tetapi ia tidak akan berguna jika tiada "saksi yang berani untuk mendedahkan maklumat mengenai kesalahan itu".

"Kita perlu tangkap pesalah itu dan ia perlu dibuat tanpa keraguan yang munasabah.
____________
Piiiirah !!!

Friday, December 19, 2008

Pemikiran pemimpin yang tidak berintegriti

Langkah kerajaan Perak bercadang membeli Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan kerajaan negeri telah mengkelam-kabutkan para pemimpin UMNO.

Calon Naib Presiden yang tidak jadi mencalonkan dirinya jawatan Timbalan Presiden sebaik pulang dari Mekah berkata, tindakan kerajaan Perak itu “sengaja tidak mahu menyokong projek kerajaan pusat, tak lebih dari itu”. Manakala ADUN kawasan Manong, Dato Ramly Zahari berkata tindakan itu sebagai ‘tidak patriotic’. Dan Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) Mohd Firdaus Abdullah mengatakan ‘tindakan tersebut sebagai mengkhianati negara’.

Dato Zahid Hamidi mengatakan sebagai tindakan yang sengaja tidak mahu menyokong projek kerajaan pusat. Dengan berkata demikian, juga bermakna Dato Zahid Hamidi menuduh Dato Ahmad Said Menteri Besar Trengganu juga tidak menyokong projek kerajaan pusat. Dato Ahmad Said lagi aggresif bukan membeli Toyota Camry tetapi membeli Mercedez Benz dan mempertikaikan Proton Perdana V6 tersebut secara terang-terangan dalam Buletin TV3 apabila di wawancara oleh wartawan.

Apakah benar dengan membeli Mercedez Benz, Menteri Besar Trengganu yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Trengganu, boleh dikatakan seorang pemimpin negeri yang tidak menyokong projek Kerajaan Pusat ? Jika Dato Ahmad Said menjawab tidak, apakah Dato Seri Nizar Menteri Besar Pakatan Rakyat ya, benar tidak menyokong projek kerajaan pusat kerana hanya dia Menteri Besar dari pakatan pembangkang di peringkat kebangsaan ? Bagaimana pula dengan Menteri Besar Pahang yang juga bersetuju dan mengakui bahawa kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 tersebut memang tinggi. Adakah MB Pahang itu juga boleh dianggap tidak menyokong projek Kerajaan Pusat?

Dan apakah rakyat yang memiliki kereta Proton sahaja dianggap menyokong projek Kerajaan Pusat dan rakyat yang memiliki kereta jenis lain selain proton dianggap tidak menyokong projek Kerajaan Pusat? Apa yang hendak dikatakan kepada penyokong UMNO yang berlambak yang mempunyai kereta bukan dari jenis proton?

Sedih juga kita apabila melihat begitu naifnya pemikiran seorang menteri persekutuan terhadap sebuah kerajaan negeri yang secara ikhlas mahu melaksanakan dasar berjimat dan menghapuskan pembaziran, yang sepatutnya disokong oleh menteri tersebut kerana dia seorang menteri agama!

Tuduhan yang mengatakan langkah menggantikan Proton Perdana V6 Executive kerana kos penyelenggaraan yang tinggi dianggap sebagai tidak patriotic, lagi mengambarkan betapa mengarutnya pemikiran seorang ADUN Melayu. Inilah cara berfikir ahli politik Melayu zaman kini yang mengakibatkan banyak jati diri Melayu rosak dan punah. Berfikir secara bersepah tanpa asas pegangan jati diri yang kukuh.

Patriotisme bermaksud mencintai negara dengan sepenuh hati dengan semangat yang kuat. Nampak pada minda ADUN Manong, membiarkan negara atau negeri ditadbir dalam suasana yang penuh dengan rasuah dan pembaziran lebih patriotic daripada usaha mengelakkan pembaziran dan kerugian berterusan wang rakyat yang diamanahkan.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna, Mohd Firdaus agaknya kerana terlalu ghairah mahu mengampu, gagal berfikir secara rasional dan berintegriti apa yang dihebuhkan oleh Menteri Besar Trengganu, Menteri Besar Pahang, Menteri Besar Perak dan baru-baru ini Menteri Besar Kedah. Begitu malang kerana Mohd Firdaus begitu gagal melihat bahawa kos penyelenggaraan kereta jenis Proton Perdana tersebut terlalu tinggi dan begitu membazirkan wang. Sepatutnya kenyataan beliau sebagai Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna adalah; mana-mana kerajaan negeri yang menggunakan kereta jenis Proton Perdana V6 Executive yang terbukti kos penyelenggaraan yang mahal dan membazir itu adalah sebenar-benarnya mengkhianati negara !

Inilah antara gaya berfikir pemimpin kita, banyak beretorik dari berfikir secara berintegriti dan bermoral.

Kenapa ya...tiba-tiba ditangguhkan ?

Tiba-tiba sahaja Dato Najib tangguhkan pemilikan IJN oleh Sime Darby dengan alasan kerana menerima begitu banyak komen dan pandangan yang bebagai-bagai dari pelbagai pihak. Maka itu pengambil-alihan itu perlu dibuat kajian mendalam.
Inilah stail kepimpinan UMNO/BN perlu buat kajian mendalam selepas menerima komen, kritik dan pandangan pelbagai pihak ! Rupa-rupanyanya cadangan pengambilan IJN oleh Sime Darby itu tidak pernah ada sebarang kajian mendalam pun ? Setelah semua orang bising baru nak buat kajian ! Bagaimana kalau ahli masyarakat tidak bising ? Jangan harap kajian mendalam itu akan dilakukan ! Prihatinkah ini namanya ?
Kita masih ingat lagi sebelum Pilihanraya ke 12 dulu jaminan yang diberi begitu kuat bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan. Tetapi sebaik selepas pilihanraya, melambung harga minyak dinaikkan oleh Pak Lah. Maka terkedu rakyat yang mengundi UMNO/BN.
Apakah penangguhan ini juga mempunyai cerita yang serupa ? Bagaimanakah nasib IJN selepas pilihanraya kecil Parlimen Kuala Trengganu nanti agaknya ?

UMNO telah meminggirkan Bahasa Melayu -Hassan Ahmad

(Di sini saya petik kembali keseluruhan wawancara Suara Keadilan (SK) 17-24 Dis 2008 dengan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu yang juga bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad (HA)untuk menjadi renungan bersama)

SK: Apakah kesan dasar kerajaan terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sejauh mana penghakisan statusnya sebagai bahasa rasmi ?

HA: Setiap rakyat Malaysia mesti tahu bahawa Bahasa Melayu adalah salah satu daripada bahasa yang termaju di dunia sejak 1,000 tahun dahulu. Ia adalah antara lima sahaja bahasa ibunda di dunia sekarang yang dijadikan bahasa rasmi negara isitu bahasa-bahasa Inggeris, Cina, Hindi dan Sepanyol, dan Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 280 juta penduduk di seluruh dunia.
Saya kesal kerana dasar kerajaan sejak tahun 1990an terutamanya pemimpin UMNO telah meminggirkan bahasa Melayu. Ini kerana pemimpin Melayu yang membuat dasar sedemikian tidak cerdik dan sebab itu mereka tidak menentang apabila pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik ditukar daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.
Ini telah memberi kesan yang amat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pemimpin Melayu yang ada sekarang tidak ada ‘sense of proportion’ kerana mereka hanya akan terpekik terhadap isu-isu kecil tetapi membisu berhadapan isu besar dan kritikal.
Mereka tidak berpandangan jauh ke hadapan dan tidak mampu berhujah mempertahankan sesuatu isu yang mempunyai kepentingan Melayu secara bijak berdasarkan fakta dan sejarah.
Pendek kata kita tidak ada pemimpin Melayu yang kredibel, professional, intelektual dan bijaksana.

SK: Mengapa situasi ini berlaku ?

HA: Mereka buta sejarah. Bangsa Melayu sudah bernegara sejak abad ke 14, kalau berdasarkan sejarah era Islam dan lebih 1,000 tahun kalau dikira daripada Empayar Srivijaya. Pemimpin UMNO kata kita sebagai sebuah bangsa telah merdeka sejak 50 tahun dahulu, pendapat ini amat salah kerana Melayu sudah ada kerajaan dan negara sejak lebih 10 kurun dahulu.
Kita dijajah oleh tiga bangsa Eropah iaitu Portugis, Belanda, Inggeris secara terus menerus tetapi system raja Melayu kekal, bahasa, budaya dan sastera Melayu masih unggul. Kita tidak menjadi seperti kaum Red Indian di Amerika. Fakta ini sahaja membuktikan ada sesuatu kekuatan luar biasa dalam budaya Melayu.
Keadaan haru biru sekarang berlaku kerana pemimpin Melayu bukan lagi pemimpin yang berjiwa Melayu yang membawa bangsa kearah kemajuan. Ide mereka bercampur aduk dengan konsep pasca colonial seperti sistem pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Dasar pendidikan kita mengamal dasar berpecah di mana kita ada sekolah kebangsaan, Inggeris, Cina dan Tamil. Inilah yang menybebakan jurang perkauman bertambah lebar.

SK: Jadi apa yang patut kita lakukan ?

HA: Kita mesti kembalikan kemuliaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Sebab itu kita namakan ia sebagai bahasa kebangsaan selepas merdeka kerana kita mahu ia menjadi bahasa untuk kepentingan negara bukan perkauman hatta bangsa Melayu sekalipun. Kita mesti tolak mana-mana kelompok yang memperjuangkan kepentingan kaum semata-mata samada ada Melayu, Cina atau Tamil. Yang penting hanya agenda nasional, lain daripada itu kita mesti tolak. Di sebabkan pelaksanaan yang lemah kerana pemimpin lebih mementingkan poltik perkauman masing-masing kita ubah satu system yang baik. Hasilnya wujudlah dasar seperti Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang menurut satu kajian akan memberi kesan amat buruk kepada lebih 500,000 pelajar Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan di kawasan pedalaman dan kampung.

SK: Apa pendapat Datuk mengenai dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan dan juga pendekatan Pakatan Rakyat dalam isu Bahasa Melayu ?

HA: Walaupun saya bukan orang Pakatan Rakyat tetapi saya bersetuju dengan dasar beliau yang mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai asas pembentukan negara bangsa Malaysia dan juga asas kepada institusi kebangsaan lain seperti system beraja, pendidikan, perundangan dan sebagainya. Dalam pada itu Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua hendaklah diajarkan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa itu harus diperbaiki supaya anak-anak kita mahir bagus dalam bahasa itu. Yang kita tolak bukan Bahasa Inggeris tetapi kita tolak gaya bahasa yang kembali ke arah bahasa penjajahan. Umpamanya jika pemohon jawatan di sector swasta tidak layak mendapat kerja sebab tidak fasih bertutur Bahasa Inggeris maknanya bahasa itu sudah menjajah atau menjadi bahasa penjajah di negara ini. Kita menggunakan Bahasa Inggeris sebagai alat membantu mencari ilmu dan selepas mendapat ilmu itu kita terjemahkanlah ia ke dalam bahasa kita.

SK: Bagaimana pula dengan masa depan Bahasa Melayu ?

HA: Dari segi geografi, budaya dan politik, Bahasa Melayu sukar hendak musnah tetapi di Malaysia, Bahasa Melayu nampaknya bakal menjadi bahasa kedua dalam proses pembangunan negara, setakat menjadi bahasa perpaduan sahaja. Kita menentang trend ini. Dalam arus pembangunan negara Bahasa Melayu hanya akan jadi bahasa biasa, bahasa rojak dan bahasa pasar.
Akhirnya orang Melayu tidak pandai dalam bahasanya sendiri, kita jadi seperti Jamaica, Papua New Guinea dan Haiti. Jika kita tengok bagaimana menteri Melayu menjawab kalau disoal dalam Bahasa Melayu oleh wartawan.
Dia akan menjawab dalam Bahasa Inggeris atau bercampur-campur, bermakna dia tidak dapat berfikir dalam bahasanya sendiri. Jadi orang Melayu menjadi bangsa yang tidak mampu berfikir secara kreatif.
Kita lihat sahaja kepada ribuan peribahasa Melayu yang ada. Setiapnya mempunyai ilmu dan mesej yang dalam yang diwariskan oleh orang Melayu dahulu, Melayu yang tidak belajar bahasa Inggeris, tetapi mampu menghasilkan pemikiran yang amat tinggi.
Bahasa Melayunya tidak salah dan tatabahasanya tepat. Misalnya “alah membeli menang memakai”, konsep Melayu mengenai konsumerisme yang hebat disampaikan secara halus dan berseni.
Malangnya system pendidikan kita tidak mengajar budaya bahasa, Cuma mengajar tatabahasa Bahasa Melayu. Orang Melayu sudah tidak mahir lagi memahami secara kiasan peumpamaan simbolik.
Sebab itu ada di antara mereka dalam Parlimen hanya pandai maki hamun. Tidak ada yang keluar daripada mulut mereka kata-kata berhikmah kerana mereka tidak lagi guna Bahasa Melayu sebagai bahasa pemikiran.

SK: Mengapa UMNO mengambil sikap dan mengamalkan dasar yang merugikan Bahasa Melayu ?

HA: UMNO ubah dasar bahasa pengantar atas tiga alasan yang saya anggap melucukan dan bodoh. Pertama, kalau hendak maju dalam Sains dan Matematik, mesti belajar dalam Bahasa Inggeris bukan Bahasa Melayu. Ini menghina bahasa dan bangsa Melayu. Negara Cina maju dalam bahasanya, menghantar angkasawan mereka dengan roket dalam Bahasa Cina, Rusia pun sama. Jepun maju dalam bahasa mereka sendiri. Ini adalah bukti yang menolak teori UMNO.
Kedua, kalau hendak mahir Bahasa Inggeris belajarlah melalui Sains dan Matematik. Sepatutnya belajar matametik tidak perlu sebarang bahasa khususpun. Saya bertemu ramai pemegang ijazah PhD yang balik dari Amerika, belajar Matematik dan Sains tetapi cakap Bahasa Inggeris pun berterabur.
Ketiga, ada menteri UMNO cakap apa hendak dibisingkan sangat hanya pasal dua mata pelajaran sahaja. Yang mereka tidak sedar dan jahil sebenarnya sejumlah 89 subjek yang berasaskan Sains dan Matematik terlibat dalam perubahan dasar ini.
Kalau ini dibiarkan terus berlaku Bahasa Malayu tidak lagi akan menjadi bahasa ilmu.

IJN yang akan diambil alih oleh Sime Darby tidak akan membantu golongan berpendapatan rendah.

Apakah jaminan IJN yang akan dimiliki oleh Sime Darby akan membantu golongan berpendapatan rendah ? Syarikat swasta manakah yang akan mengenepikan keuntungan atau tidak akan mengambil kira keuntungan dalam memberi perkhidmatannya kepada apa yang dianggap pelanggan olehnya? Syarikat swasta manakah yang tidak akan mengambil kira kos pengurusan dalam memberi perkhidmatan kepada pelangannya dalam keadaan bilangan pesakit yang semakin bertambah yang memerlukan rawatan yang berkualiti ? Semua persoalan-persoalan tersebut menerjah bertalu-talu dalam fikiran kita.
Apakah jaminan Bakal Perdana Menteri Malaysia boleh dipegang ? Bakal Perdana Menteri Malaysia itu pernah menjanjikan perkhidmatan yang cekap dan terbaik tetapi bakal Perdana Menteri Malaysia itulah yang pernah melanggar prosedur pembentangan belanjawan tambahan di Parlimen sehingga ianya kemudiannya ditolak oleh Speaker untuk tidak dibahaskan.
Apakah jaminan Menteri Kesihatan boleh dijadikan sandaran ? Jika jaminan bakal Perdana Menteri sukar dipegang, apakah mudah untuk kita mempercayai jaminan Menteri Kesihatan ? Payah !!
Dalam hal ini MCA kelihatan tidak bersetuju IJN diswastakan. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat. Tetapi yang jelas belum berbunyi ialah parti yang konon katanya pembela Melayu.
Apa yang pasti jika IJN dimiliki oleh syarikat swasta, IJN tidak akan lagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah. Confirm !!