Followers

Saturday, November 22, 2008

Perang Wanita UMNO sudah bermula

Shahrizat mendakwa dia dipaksa menerima Pelan peralihan kuasa. Dia ditanya secara spontan oleh Rafidah dihadapan lebih kurang 800 orang tetamu dalam satu majlis. Katanya bayangkan kalau dia menolak pelan tersebut dihadapan orang ramai dan Perdana Menteri. Dia sudah buat keputusan untuk mencabar Rafidah dan dia akan teruskan. Kenyataan Shahrizat ini dilaporkan oleh mStar Online.

Dalam Buletin TV3 sebentar tadi Rafidah dengan kehadiran para hulubalangnya telah melepaskan peluru pertama menghadapi tentangan Shahrizat. Katanya kalau dia menang dia akan menjadi Ketua Wanita selama sepenggal. Rafidah dalam sidang akhbar tersebut kelihatan begitu sinis terhadap Shahrizat dan bersiap sedia untuk 'berperang".

Konklusinya, Perang Wanita UMNO sudah bermula. Kita lihat siapa yang kenaaa !!!

Kepada seluruh Wanita UMNO, insaflah Pergerakan Wanita anda akan musnah walaupun siapa yang menang. Kalau Rafidah menang dia tetap tidak boleh menerima Kemilia. Kemilia akan dipinggirkan !

Kalau Shahrizat menang, akan wujud dua kumpulan yang seimbang dalam Wanita. Pasukan Shahrizat dan Pasukan Kemilia. Dua pasukan ini akan bertembung sepanjang tempoh penggal hadapan. Shahrizat sudah pasti tidak senang dengan Kemelia kerana dia terpaksa menentang Rafidah kerana sikap degil Kemilia.
Yang pasti, yang menang mendapat jawatan dan ganjaran. Penyokong akan mendapatlah seringgit dua atau mungkin terus melopong. Masalah wanita semakin bertimbun - wanita semakin ramai menjadi janda. Wanita semakin ramai menjadi bohsia, Wanita semakin ramai mendedah aurat. Wanita terus dilanda kemiskinan dan macam-macam lagi.
Wahai wanita UMNO tanyalah diri sendiri, masihkah lagi mahu menjadi alat kepada pemimpin yang sedang berperang sesama sendiri. Tanyakan untuk apa, untuk siapa mereka itu 'berperang' ?

Nazri oh Nazri !!

Itulah Nazri...... Siakap sonohong, gelama ikan duri..............................

Nazri Aziz akan akur dengan keputusan Timbalan Speaker Selasa ini

22/11/2008 5:54pm

KUALA KANGSAR 22 Nov. — Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau akur dengan apa sahaja keputusan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sama ada beliau perlu dirujuk atau tidak kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada Selasa ini kerana didakwa membuat kenyataan tidak benar dalam Dewan Rakyat.

Sebagai Anggota Parlimen, Mohamed Nazri berkata, beliau wajar menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka dan tidak berhak membantah keputusan berkenaan.

“Saya akur apa jua keputusan Timbalan Speaker. Saya seorang anggota Parlimen dan perlu hormati Timbalan Speaker, jangan pandai nak merujuk orang lain tetapi apabila kena pada diri sendiri tidak mahu akur dengan keputusan.

“Itu hak Timbalan Speaker (untuk membuat sebarang keputusan) dan keputusan itu nanti tidak akan menjejaskan tanggungjawab saya kerana banyak lagi kerja yang perlu saya jalankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Mesra Rakyat di Kati di sini hari ini.

Berhubung kenyataan yang dibuat ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, katanya, pada ketika itu beliau percaya kenyataannya adalah benar dan tidak berniat mahu memesongkan kenyataan di Parlimen apabila memperbetulkannya selepas menyedari kenyataan yang dibuatnya sebelum itu tidak benar. - Bernama
Kuatkah Timbalan Speaker tu !

Friday, November 21, 2008

Akar umbi - akar umbi !

Kan betul ! Hari ini dalam akhbar semua memuji tindakan Shahrizat bertanding sebagai bijak dan tepat kerana itu adalah keputusan dari akar umbi. Esok Rafidah pula akan keluar kenyataan dia akan mempertahankan jawatan dan dia buat keputusan begitu kerana desakan dari akar umbi. Datuk Kemilia hari itu buat keputusan bertanding Naib Ketua Wanita pun kerana kehendak akar umbi.
Teruklah akar umbi UMNO ni, tiada kerja lain, asyik hendak melaga pemimpin sahaja. Kesian pemimpin mereka kerana bersusah payah terpaksa bertanding ! Kalau pemimpin yang bertanding menang nanti, lagi pening kepala kerana terpaksa memegang jawatan menterilah, senatolah dan macam-macam. Akar umbi relek saja senang-lenang duduk di rumah !
Memang betullah kalau parti tu rusak sebenarnya bukan salah pemimpin-pemimpin yang sedang berebut tu, tapi sebenarnya akar umbi yang salah !!

Thursday, November 20, 2008

Sekadar bidas sahaja tidak memadai

Minyak turun harga, harga perkhidmatan dan barangan pengguna tidak turun harga.

Semua rakyat 'bertempik' kerana tekanan inflasi sudah mula terasa. Pemimpin bidas harga barangan tidak turun. Menteri bidas. Perdana Menteri pun bidas dari Tashkhent, Uzbekistan lagi. Agak-agaknya bidasan Perdana Menteri dari jauh tu peniaga-peniaga dengar atau tidak. Entahlah ! Rasanya tidak menjadi kudis gatal langsung kepada para peniaga.

Bidas tu kira okaylah. Tapi memadaikah dengan bidasan untuk membantu rakyat ? Sepatutnya mekanisma praktikal harus dicari untuk menurunkan harga barangan terutama di luar bandar bukan sekadar bidasan.

Kita tahu bukan semua barangan boleh diturunkan harga semudah itu kerana kaitan yang berantai yang menokok tambah kos pengeluaran tetapi harga-harga barangan keperluan yang alternatif mesti di kurangkan. Contoh kalau ikan mahal, harga ayam mestilah murah begitu juga sebaliknya. Kalau gandum mahal, harga beras mestilah murah atau sebaliknya. Satu perkara lagi bila lagi bil-bil rakyat sepatutnya dikurangkan harga.
Tidak bolehkah di pekan-pekan kecil misalnya pihak kerajaan buat pasaraya harga murah seperti di hypermarket. Janganlah asyik nak untung besar sahaja. Untung kecil tapi pelanggan ramai, akan untung banyak juga.
Tambang pengangkutan awam semakin naik harga. Kata minyak dah turun harga. Tapi dikait pula dengan kos penyeliaan dan alat ganti. Ada-ada sahaja alasan. Kalau macam tu tak akan turunlah harga tambang terutama tambang bas. Hendak naik teksipun rasa takut terutama kalau kita tidak biasa dengan tempat tu. Orang biasa lain harga orang yangbtidak biasa harga lain. Paling pantang bila keluar dari teksi jangan tanya berapa tambang, akan keluar harga yang bukan-bukan.
Pihak kerajaan sepatutnya menggubal Akta Kawalan Harga yang lebih tegas dan menambah lagi senarai barang-barang kawalan. Pihak kerajaan tetapkan harga. Jika ada peniaga yang menjual lebih dari harga yang ditetapkan kenakan sahaja hukuman penjara. Perluaskan penguatkuasaan kawalan harga kepada PDRM bahagian perdagangan dan Penguatkuasa Bandaran. Janganlah asyik berpegang kepada ekonomi bebas sahaja. Bebas-bebaspun kenalah kawal juga. Ini bebas kena ke peniaga je buat apa, pelanggan terus tertipu.

PM bidas peniaga enggan turunkan harga barang
Daripada Zaini Hassan
TASHKHENT (Uzbekistan) 17 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas sikap peniaga yang tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan sebanyak empat kali.
“Saya tidak suka dengar bila harga barang tidak mahu turun walaupun minyak sudah empat kali turun (tidak termasuk penurunan yang berkuat kuasa esok), seolah-olah mereka nak cari untung besar,” tegas Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Uzbekistan mengulas langkah kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak lima kali sejak Ogos lalu termasuk penurunan 15 sen, berkuat kuasa esok.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, langkah beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mahu memboikot peniaga yang menjual barang dengan harga mahal walaupun harga minyak telah turun adalah wajar.
“Persatuan pengguna memainkan peranan besar. Jangan asyik marah kerajaan bila harga minyak naik tapi bila turun haruslah bantu kerajaan turunkan harga barang juga,” katanya.
Beliau mahu NGO berkaitan pengguna memainkan peranan lebih aktif berbincang dengan wakil-wakil peniaga untuk menurunkan harga barang.
Sabtu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengumumkan akan menganjurkan satu perhimpunan memboikot para peniaga yang masih berdegil untuk menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan beberapa kali.
Perhimpunan itu akan diadakan di ibu negara pada Disember ini dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Mengulas lanjut pengumuman penurunan harga minyak hari ini, Abdullah berkata, langkah itu membuktikan kerajaan patuh kepada janjinya untuk berbuat demikian apabila harga minyak di pasaran turun.
“Kerajaan sudah berjanji kepada rakyat apabila harga minyak di pasaran turun kita akan turunkan harga dan kita akan terus pantau harga minyak ini,” jelasnya.
– Utusan

Konon kerana akar umbi, ekonomi negara terus merudum ?

Kita wajar bersikap ikhlas terhadap negara kita. Inilah negara kita dan di sinilah kehidupan kita. Jika begitu, memang wajar kita merasa risau melihat pemimpin-pemimpin Melayu di dalam UMNO terutamanya, tidak kisahkan negara dan rakyat sebaliknya begitu sibuk berebut kuasa malah kadang-kadang kelihatan seperti sedang mengagih-agihkan kuasa sesama mereka sedangkan rakyat jelata terus-terusan dihimpit tekanan ekonomi dari segenap ceruk kehidupan.
Masih belum kelihatan satu usaha yang berkesan dan praktikal untuk menghadapi cabaran ekonomi dunia menjelang tibanya 2009. Mereka masih sibuk ke hulu ke hilir memperkatakan urusan kuasa yang mereka rebut dan sedang berebut, yang tidak memberi apa-apa keuntungan kepada kita, rakyat. Masing-masing bercakap dan bersyarah tentang poltik wang tetapi pada masa yang sama poltik wang tidak pernah berhenti dari berlaku dalam UMNO.
Demi kuasa yang mereka rebut, mereka sentiasa memberi alasan dan rasional konon setiap keputusan dan tindakan yang mereka sebut adalah 'kehendak akar umbi'. Yang kelihatan bodohnya dan sering disandarkan untuk menghalalkan tindakan, percakapan dan hujah mereka ialah akar umbi. Pandai dan bijak sungguh pemimpin UMNO kerana jika akibat tindakan mereka itu UMNO rusak, itu sebenarnya adalah kehendak ahli-ahli akar umbi yang berada di ceruk-ceruk kampung, desa, felda, rumah-rumah setinggan serta rumah-rumah pangsa yang murah-murah. Bukan salah mereka, mereka hanya mengikut kehendak akar umbi sahaja.
Sepatutnya ahli-ahli UMNO akar umbi sedar bahawa mereka sebenarnya menjadi kambing hitam pemimpin-pemimpin pelahap mereka. Mereka sewajarnya membuat revolusi untuk mengajar para pemimpin yang bukan sibuk menguruskaa ekonomi negara yang kian tenat sebaliknya sibuk berebut kuasa itu.
Ahli-ahli akar umbi UMNO perlu sedar, UMNO tidak akan berubah jika semua pemimpin-pemimpin yang mencukupi kuota memenangi apa-apa jawatan dalam UMNO. Kulit sahaja berubah, isi tetap sama.
Ahli-ahli akar undi UMNO telah tertipu. Mereka sepatutnya memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Ku Li bagi jawatan Presiden UMNO. Timbalan Presiden sepatutnya diberikan kepada Adnan Yaakub. Walaupun dia pernah menunjukkan isyarat lucah di kyalayak ramai tetapi sekurang-kurangnya dia dah jelak dengan UMNO yang kian rusak ini. Mungkin dia boleh barukan UMNO baru.
Ketua Pemuda sepatutnya akar umbi UMNO menangkan Ibrahim Ali ! Ambil balik dia masuk UMNO, semangat Melayu dia kuat, Karpal yang lumpuh itu dia jerkahnya! Hebat tu ! UMNO rugi kalau lambat ambil balik Ibrahim Ali. Orang PAS dah menyampah dengan Berahim.
Ketua Wanita, lantik semua Tan Sri Aisyah Ghani. Dia lebih cerdik dari Rafidah dan Sharizat. Tua ? Ah...Rafidah pun tua jugak! Untuk jawatan Puteri UMNO, akar umbi kena pujuk penyanyi nombor satu negara. Dia lebih sesuai berbanding dengan calon-calon yang ada.
Memang. Memang sukar nak buat perubahan itu tapi akar umbi mesti berusaha kerana dah banyak ditipu oleh pemimpin atasan. Sikit sikit akar umbi, sikit akar umbi ! Cuba akar umbi fikir...ya kah semuanya kerana kehendak akar umbi ? Tak adalah, bohong je. Kehendak diri mereka sendiri untuk kepentingan siapa ?
Payah-payah sangat hendak buat perubahan, pergi sahaja ke halaman rumah PAS . Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi sentiasa membuka pintu untuk akar umbi UMNO.

Wednesday, November 19, 2008

Impak politik wang, Mahathir ramal Umno, BN kalah teruk ? - mStar Online

Rabu November 19, 2008

Mahathir serah Lembaga Disiplin Umno laporan
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Dalam siri kritikan mengenai perkembangan dalam Umno, parti yang diterajui selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kelakuan buruk ahli dan pemimpin Umno kali ini besar kemungkinan menyebabkan Barisan Nasional (BN) dan parti itu kalah.

"Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini.
"Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam Umno tidak akan dapat menjadi Menteri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.
"Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah," kata bekas Perdana Menteri dalam tulisan blognya hari ini yang bertajuk "Pencalonan Umno".

Sambil merujuk kepada amalan dan gejala politik wang, isu yang beliau sentuh sejak sebulan lalu, Dr. Mahathir hari ini menambah, dalam pilihan raya umum lalu pengundi-pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah menolak parti itu hanya kerana pucuk pimpinan mereka disebabkan banyak faktor.

"Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah tolak Umno hanya kerana pucuk pimpinan Umno yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bermacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi Umno dan BN yang menjadi mangsa," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, kali ini penolakan Umno dan BN oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka - Melayu, Cina dan India - memandang jijik keseluruhan Umno itu sendiri.
"Dengan mengetahui Umno terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah dicalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon Umno?

"Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN," katanya lagi.

Isu politik wang menjadi perhatian banyak pihak dengan Lembaga Disiplin mendedahkan lebih 900 aduan diterima sepanjang kempen pemilihan parti baru-baru ini. Dalam tulisannya hari ini, Dr. Mahathir, bekas Presiden Umno menyoal: "Apakah yang akan jadi pada Umno yang sudah kalah?Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin Umno? Tentu tidak," katanya lagi.
Beliau menambah, jika tidak hancur, Umno akan menjadi parti yang tidak bermaya, sekali gus tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanah air. "Mungkinkah Umno yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan Umno pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka," katanya lagi.

Alternatif disyorkan beliau: jika Umno hendak dipulih semula pemimpin yang telah mengotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan parti. "Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir," kata beliau yang menyerahkan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Oktober 2003.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab dalam majlis dialog bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir dipetik Bernama sebagai berkata, semua laporan yang diterimanya berhubung amalan politik wang dalam Umno akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan laporan tersebut juga akan diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Jika kedua-dua cara itu tidak berhasil, saya akan siarkan senarai nama mereka yang terlibat itu beserta laporan di dalam blog saya," katanya.

Beliau berkata, tindakan yang berani amat diperlukan ketika ini bagi memulihkan imej dan kedudukan Umno yang didakwanya kian tercemar ekoran amalan politik wang yang semakin berleluasa. "Jika kita tidak berani mengambil tindakan, Umno akan hancur. Inilah yang akan menunggu kita kalau keadaan ini berterusan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata amalan politik wang adalah faktor utama yang akan memusnahkan Umno dan struktur keseluruhan parti itu. Sekiranya tidak dibersihkan, negara perlu bersedia menghadapi keruntuhan kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Dr Mahathir. "Apabila mereka menggunakan wang, pandangan pengundi kepada mereka akan lebur. Mereka (pengundi) jijik pada orang macam ini. Pada pilihan raya akan datang sudah tentu yang akan dapat jadi calon ialah mereka yang kalau tak cekap bodek pun, ialah mereka yang cekap memberi wang kepada pihak tertentu supaya mereka dicalon untuk menjadi calon pilihan raya. "Rakyat akan pandang mereka ini sebagai calon yang terlibat dengan rasuah. Apakah rakyat akan undi kepada calon-calon ini?," katanya.

Dr Mahathir berkata, hanya ahli yang tidak menggunakan akal sahaja akan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah. "Seperti yang saya katakan, undi daripada ahli sahaja tidak memberikan kemenangan kerana undi dari ahli (Umno) itu sedikit. Kita perlukan undi dari pengundi yang bukan ahli Umno tetapi merupakan penyokong setia Umno," katanya.

Rentetan daripada itu, kata beliau, tidak mustahil untuk BN kalah pada pilihan raya ke-13 akan datang jika para pengundi enggan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah. "Itu bukan mustahil. Sebelum pilihan raya umum Mac lepas, kita fikir kita tentu menang di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, tentu kita menang di Kedah, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.
he...he...

Cukuplah ikut si Luncai tu...

Bila kita kata UMNO ialah parti yang sedang menuju kepada kehancuran, ramai ahli-ahli UMNO marah. Mereka kata kita busy body. Itulah pemikiran orang UMNO. Bagi mereka, apa yang mereka hendak lakukan orang lain terutama orang yang di luar UMNO jangan masuk campur. Itu urusan mereka, kata mereka.
Ya, benar itu urusan mereka. Tidak ada siapa yang teringin hendak masuk campur urusan UMNO. Dan tidak ada siapa yang hendak kisah apa yang hendak terjadi kepada UMNO. Kita boleh kata dan akan kata, lantak engkau nak jadi apa pun. Persoalannya....
Persoalannya, apa yang UMNO lakukan sejak dari dulu sampai sekarang sama ada dalam pengurusan kerajaan Malaysia mahupun dalam urusan diri dia sendiri terlalu banyak menyusahkan rakyat. Dalam ertikata yang lebih mantap dan tepat, banyak yang UMNO buat sekarang bukan membantu rakyat malah sebaliknya merusakkan budaya rakyat, merusak integriti, merusakkan kredibiliti dan macam-macam lagi yang rusak. Ini tuduhan !
Bukan, ini bukan tuduhan. Ini realiti rupa wajah dan kelakuan UMNO yang ada pada hari ini.
UMNO mana ada integriti. UMNO mana ada kredibilti. UMNO mana berjuang di atas dasar perjuangan! Contoh, Khairy mahu debat terbuka untuk calon-calon yang bertanding Ketua Pemuda UMNO. Selepas Khairy memberi cadangan maka berjujuklah pandangan pro dan kon dari pelbagai peringkat pemimpin UMNO. Eh, kita nak tanya, puak-puak UMNO berdebat tu untuk apa ? Cuba jawab.
Oo...berdebat untuk menyatakan wawasan calon, visi dan misi serta dasar perjuangan kononnya. Maka dengan itu akan memudahkan perwakilan memilih calon yang bertanding nanti. Nak tergelak pula kita. Betulkah begitu ?
Sekarang kita nak tanya pula. Perwakilan UMNO mana ni yang memilih calon kerana wawasan, dasar perjuangan , visi dan misi ? Perwakilan UMNO mana ? Itu, yang Lembaga Disiplin UMNO duduk pening kepala tu kenapa ? Pasukan Tengku Ahmad Rethaudeen tu pening kepala bukan kerana wawasan, visi, misi dan dasar perjuangan calon tetapi kerana dasar tabur FULUS. Calon UMNO yang bertanding pasti akan kalah jika kerana hanya tempikkan wawasannya, visinya, misinya dan dasar perjuangannya. Pasti akan kalah. Tengok apa berlaku pada Ku Li, hanya dapat satu pencalonan itupun calon sendiri.
Perwakilan UMNO yang mengundi nanti, tak tengoknya kepada wawasan calon, visi calon, misi calon dan dasar perjuangan calon ! Bohong je ! So apa yang perwakilan UMNO tengok ? Siapa banyak tabur fulus pasti orang itu akan menang. Sebab itu kita kata cadangan Khairy tu hanya retorik politik sahaja.
Inilah sebabnya kita semua bising pasal UMNO. Bukan kita busy body. Apa yang UMNO buat ni memalukan orang Melayu. Boleh meruntuhkan tamadun bangsa dan negara. Memalukan Islam kerana majoriti Melayu adalah Islam. Merusakkan Islam memang dah lama UMNO lakukan. Engkau ni menuduh ! Menuduh apa...tu yang Islam hadhari itu apa? Tak ingatkah ada seorang mufti suruh bertaubat pasal buat Islam Hadhari ?
Kalau UMNO sahaja yang runtuh tak apa tapi masalahnya negara boleh bangkrap, ekonomi boleh punah. Mana tidak bangkrap, mana tidak punah, duit yang ditabur dalam rasuah politik itu duit siapa ? Contoh kita dengan cerita sahabat di Pahang, katanya ada ladang-ladang sawit anak-anak syarikat kerajaan negeri di jual terutamanya di kawasan Rompin. Siapa yang jual ?Untuk apa dijual ? Untuk taburlah, untuk apa lagi! Jadi patut atau tidak patut kita bising? Kalau ladang-ladang itu hak UMNO tak apa tapi hak kita semua digunanya untuk rasuah politik.
Sebab itu kita katakan, semua orang tak kira siapa terutama orang-orang UMNO yang baik-baik tu yang ada kesedaran marilah bersama, kita tentang UMNO yang ada ini, kerana UMNO yang ada hari ini membawa penyakit yang membarah yang boleh meruntuhkan negara kita yang kita cintai ini. Cukuplah...jangan ikut si Luncai dengan labu-labunya !

Sunday, November 16, 2008

Tamatkanlah PPSMI.

Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Setelah keluar keputusan UPSR pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak menteri, timbalan menteri dan komen-komen dari ahli masyarakat tentangnya. Ada yang mengatakan pencapaian UPSR tidak dihalang oleh PPSMI. Ada yang mengatakan pencapaian penguasaan Bahasa Inggeris meningkat dengan melihat pencapaian mata pelajaran sains dan matematik. Ada yang mengatakan PPSMI berjaya walaupun dikritik hebat. Macam-macam analisa dan komen.

Beginilah, pada pandangan saya, Kementerian Pelajaran Malaysia baik Menteri mahupun Timbalan Menteri tak usahlah mengarut. Kalau sudah majoriti rakyat tidak bersetuju dengan PPSMI, lebih baik tak payahlah dasar ini dilaksanakan. Hendak persidangan meja bulat apa lagi ? Bukankah kita hanya membuang masa dan wang rakyat untuk bersidang, mengkaji semula, menilai dan bagai-bagai lagi. Kerana mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris jangan korbankan prestasi sains dan metematik.

Kalau dikatakan pencapaian matematik dan sains dalam UPSR meningkat kerana PELAJAR-PELAJAR MENJAWAB DALAM BAHASA INGGERIS, hal inilah yang saya selaku ibubapa hendak tanya. Betulkah anak-anak itu menjawab dalam bahasa Inggeris ? Anak-anak di mana, anak-anak siapa ? Atau soalan-soalan matematik dan sains UPSR, masih dwi bahasa dan oleh kerana dwi bahasa, ramai guru-guru yang mengajar matematik dan sains dalam bahasa Melayu ?

Memberi reaksi kepada persoalan saya ini mesti telus. Jangan jadi seperti Nazri Aziz dalam kes hakim, dipecat katanya disuruh letak jawatan, lepas itu mengaku silap. Dah menyentuh kredibiliti tapi tak nak minta maaf pulak.

Kembalilah kepada jati diri kita, bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah terbukti sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu zaman berzaman.

Untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris bukan melalui PPSMI. Mengarut ! Kenapa saya kata mengarut ? Hendak memperbaiki kelemahan bahasa Inggeris, akibatnya sains, matetematik dan bahasa Inggeris yang hancur. Yang bagusnya analisa, semuanya berjaya. Tidakkah mengarut namanya tu. Realistiklah sedikit. Kaji balik sistem pembelajaran, pengajaran dan penilaian bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Pada pemerhatian saya, kandungan dalam buku teks, cantik dan sangat baik. Masalah yang saya nampak ialah sistem penilaian. Mencari AAAAAA. Apakah A atau B itu memberi makna penguasaan berbahasa Inggeris yang sebenarnya ? Tolong jawab. Saya bimbang cikgu-cikgu tidak ajar bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar berkomunikasi atau melahirkan idea tetapi melatih macam burung tiong untuk menjawab soalan bagi mencapai target A. Dan cikgu-cikgu bahasa Inggeris di sekolah juga sibuk digesa habiskan sukatan, habiskan sukatan atau buat apa sahaja, janji A. Lihat…matlamat pengajaran bahasa Inggeris telah tersesat jauh!

Akibat dari kesesatan itu, inilah hasilnya, anak-anak Malaysia khususnya yang tinggal di luar bandar, belajar bahasa Inggeris 11 tahun tapi tetap tidak pandai berbahasa Inggeris. Bodoh benar mereka ? Di mana silapnya ini.? Adakah semua guru bahasa Inggeris tidak pandai mengajar kerana semua ini berlaku di seluruh negara !?

Cuba ubah sistem penilaian yang lebih mengukur penguasaan perbendaharaan kata yang kaya dan lepas itu latih dan uji mereka menyampaikan idea dalam lisan terutamanya dan tulisan, biarkan dulu perkara teknikal bahasa seperti ejaan dan tatabahasa. Uji mereka secara rasmi dalam bentuk oral dahulu. Ukurkan dua aspek itu dulu. Setelah mereka kuasai perbendaharaan kata dan aspek keupayaan penyampaian idea, mereka akan mempunyai keyakinan diri yang cukup tinggi dalam bahasa Inggeris dan di tingkatan tiga atau empat contohnya barulah ajar aspek teknikal bahasa. Memberi keyakinan untuk berbahasa terlebih dahulu adalah sangat penting.

Jangan samakan pelajar sekarang dengan pelajar dahulu. Dahulu sekolah ada dua aliran. Pelajar yang masuk ke aliran bahasa Inggeris adalah pelajar terpilih atau melalui kelas-kelas peralihan terlebih dahulu. Dan apabila mereka berada di sekolah aliran bahasa Inggeris suasana bahasa Inggeris telah wujud di sekolah-sekolah tersebut. Sekarang ?

Ingat kita bukan perlu melahirkan semua pelajar Malaysia dari segenap kampung dan desa, bandar dan kota menjadi pakar bahasa Inggeris, kita mahu mereka menguasai ilmu dan menguasai komunikasi melalui bahasa inggeris. Itu matlamat kita. Saya masih ingat sewaktu peristiwa Highland Tower, pakar terowong Jepun sudah tentu seorang jurutera bercakap bahasa Inggeris yang sangat teruk tatabahasanya sewaktu ditemuramah TV3, tapi apa yang dia mahu katakan semua orang faham.

Dan kajilah sedikit psikologi pelajar-pelajar bangsa Melayu yang pemalu. Sebab itu persoalan yang boleh memalukan dan menyusahkan mereka dalam belajar bahasa Inggeris, menyebabkan mereka rasa rendah diri perlu dihapuskan. Dah nak buat macam mana mereka dilahirkan sebagai bangsa lemah lembut, sopan, tidak jenis selamba dan pemalu. Semuanya itu sifat positif jika kita pandai menguruskan psikologi mereka. Jangan salahkan mereka.

Hanya itu pandangan saya tetapi siapalah saya berbanding para pakar di Kementerian Pelajaran Malaysia. Mereka pasti akan bertanya "siapa anda ??" Saya hanya lulusan sekolah atap je!