Followers

Thursday, October 30, 2008

Agenda perjuangan Melayu !

Sekarang bakal Perdana Menteri sibuk menerang kenyataannya mengenai menghapuskan secara beransur-ansur unsur-unsur DEB. Datuk Najib kata DEB akan dihapuskan terus apabila orang Melayu sudah boleh berdikari sepenuh seperti kaum lain dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata , beliau akan memperjuangkan agenda Melayu dan katanya lagi jangan ada sesiapa yang berada dalam dewan atau di luar dewan mempertikaikan perjuangannya untuk agenda Melayu.

Hebat sungguh pemimpin kita ini !

Setelah 51 tahun merdeka;

1. Equiti 30% penyertaan orang Melayu dalam DEB tidak pernah tercapai. Bila akan tercapai entahlah ! Yang hanya mendapat keuntungan dari DEB hanya segelintir kroni dari kalangan UMNOPUTRA.

2. Kuasa politik Melayu terancam apabila dilakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh kerajaan UMNO.

3. Biasiswa yang merupakan keistimewaan kepada orang Melayu telah ditukar menjadi pinjaman oleh Dr Mahathir dan disokong oleh Datuk Najib pemimpin UMNO.

4. Habis sahaja belajar beribu anak-anak Melayu automatik menjadi penghutang kerana agaknya dasar UMNO aialah menjadi generasi Melayu penghutang untuk mudah ditarik hidung.

5. Masih ramai orang Melayu menjual tanah di kampung-kampung tradisional kepada kaum bukan Melayu kerana perlukan duit untuk anak-sekolah, perbelanjaan hidup, baiki buat rumah baru dan pergi ke Mekah. Inilah mentality orang Melayu yang UMNO lahirkan. UMNO tak pernah diambil kesah. Sudah merdeka selama itupun orang Melayu masih terpaksa jual tanah untuk mendapat sedikit kesenangan. Dah tu apa yang UMNO tolongnya.

6. Banyak mana tanah-tanah rezab Melayu telah berkurangan dalam 51 tahun UMNO memerintah. Salah siapakah ini ? Salah PAS agaknya, UMNO parti pembela Melayu tak salah!!!

7. Bahas Melayu telah digersangkan oleh kerajaan UMNO dengan terlaksananya PPSMI.

8. Sebelum terlaksananya PPSMI golongan professional Melayu dalam pelbagai bidang telah melebihi 30%. Tetapi dengan terlaksananya PPSMI golongan professional Melayu akan merudum jauh dari 30 %.

9. Ramai anak-anak Melayu dari golongan miskin yang belajar di IPTS lintang pukang kehidupannya kerana PTPTN hanya untuk yuran pengajian sahaja. UMNO tidak pernah ambik kesah walaupun mereka kerap makan mee segera yang sudahpun kian mahal.

10. UMNO ajar orang Melayu berpolitiklah sampai berkelahi sama ada dalam bidang politik, ekonomi, persatuan belia termasuk juga dalam persatuan sukan.

11. Agaknya majority orang Melayu dalam negara hanya mempunyai simpanan wang berjumlah lebih kurang RM6 -7 ribu sahaja.

12. Anak-anak Melayu semakin menderita mundur dalam mata pelajaran sains, matematik dan agama Islam terutama di kawasan luar bandar. UMNO tak kisah.

13. Ramai anak-anak remaja Melayu melahirkan anak luar nikah dan banyak kes buang bayi. UMNO tak kisah.

14. Betapa ramainya anak-anak Melayu yang menganggur pada ketika ini. UMNO tak kisah sebaliknya UMNO menempelak mereka yang mengganggur sebagai pemalas dan tidak kreatif. Tetapi apabila sampai musim pilihanraya inilah yang akan menjadi alat untuk dipergunakan.

15. UMNO tidak suka membuat perancangan agar orang Melayu cepat kaya dan boleh berdikari kerana UMNO lebih suka orang yang miskin dan orang yang berhutang untuk dipergunakan.

16. UMNO mengaku dia adalah parti yang membela orang Melayu tetapi sebenarnya UMNOlah pembuli orang Melayu terutama kerajaan Melayu yang memerintah Kelantan, Trengganu dan mungkin dan Kedah. Kalau tidak percaya tanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan sempat juga kena buli sekejap ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

INILAH RASANYA ANTARA AGENDA PERJUANGAN MELAYU YANG AKAN DITERUSKAN OLEH DATUK NAJIB. HIDUP MELAYU !!!!!!!!

Wednesday, October 29, 2008

Macam bercanggah je...

Perdana Menteri kata pembelian eurocopter diputuskan, ditunda sehingga kedudukan kewangan kembali pulih. Datuk Najib berkata Kementerian Pertahanan dan KDN akan berbincang mencari kaedah paling sesuai sama ada menangguh pembelian atau memanjangkan tempoh bayaran.
Nampak macam bercanggah kenyataan PM denganTPM. Apakah makna ini semua. Apakah Pak Lah telah memulakan serangan pertamanya terhadap Najib? Atau sebaliknya Najib mula mempermainkan Pak Lah ? Kerajaan UMNO/BN semakin lemah kerana sebuah kerajaan yang baik tidak harus mempunyai pandangan seperti ini antara para pemimpinnya dalam hal yang sebegini penting.
Dan Pak Lah agaknya sudah layak digelar Bapa Pembatalan Projek - Batal Jambatan Bengkok, Batal Enam Koridor Negara dan Tunda Eurocopter (macam batal jugalah tu).

Petikan dari Utusan online:

Kementah, KDN akan bincang Eurocopter - TPM

PUTRAJAYA 28 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berbincang berhubung keputusan menangguhkan pembelian pesawat Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan itu bagi mencari kaedah yang paling sesuai mengenai pembelian pesawat tersebut sama ada menangguhkan pelaksanaannya atau tempoh pembayaran dipanjangkan.

"Kita telah memutuskan projek yang tidak ada kesan limpahan yang besar dikaji semula.
"Ini supaya peruntukan yang dijimatkan itu digunakan untuk membangunkan ekonomi serta menentukan bahawa kesan limpahan yang maksimum dapat dirasai rakyat terutama mereka yang memerlukan bantuan kerajaan.

"Tetapi kita serahkan perkara ini (penangguhan pembelian Eurocopter) untuk dirundingkan dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, sekiranya prinsip ini boleh diterima, projek itu kita boleh kaji semula, sama ada kita tangguh pelaksanaannya atau buat pembayaran yang kita panjangkan," katanya.

Kerajaan UMNO/BN tunda beli eurocopter

Hah…. Kerajaan UMNO/BN menunda pembelian Eurocopter !

Ada beberapa persepsi umum mengenai hal penundaan ini:

Pertama; Selamatkah lagi Nuri untuk digunakan. Perdana Menteri meminta helikopter Nuri sentiasa dibaik pulih. Seram sejuk mendengar arahan ini. “….semua 28 helikopter Nuri sedia ada perlu sentiasa dibaik pulih supaya selamat digunakan…”. Agaknya orang manalah yang sanggup naik helicopter tua tersebut ?

Kedua; Apakah penundaan ini bermakna ekonomi negara benar-benar berada di dalam keadaan yang kritikal sehingga kerajaan UMNO/BN sanggup menunda pembelian satu mekanisma ketenteraan yang penting demi keselamatan negara. Jika ekonomi tidak terjejas teruk masakan kerajaan UMNO/BN mahu menundakan pembelian tersebut.

Ketiga: Apakah penundaan itu seolah-olah pendedahan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai penyelewengan atau hanky-panky dalam proses pembelian eurocopter ada kebenarannya. Dan untuk melepaskan tekanan yang berterusan kerajaan UMNO/BN melakukan keputusan menunda pembelian buat sementara? Apakah nanti peranan Jawatankuasa Audit Parlimen yang diketuai oleh Datuk Azmi Khalid akan merasionalkan alasan-alasan penundaan agar diterima umum.

Keempat: Penundaan ini memberikan imej ketenteraan yang buruk negara kepada dunia luar. Imej ini menggambar kelemahan atau proses memperkukuhkan benteng keselamatan negara, bermasalah dan begitu lemah dari sebarang ancaman. Ini bermakna mendedahkan kelemahan kepada umum.

Apa yang jelas, penjelasan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam hal penundaan ini kelihatannya tidak meyakinkan pelbagai pihak. Umum lebih meyakini penundaan ini adalah akibat dari pendedahan berterusan pihak pembangkang khususnya Ketua Pembangkang dalam soal pembelian eurocopter ini. Fakta ini yang kelihatan menggugat.

Laporan dari Utusan Online:

Tunda beli Eurocopter

Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 28 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan itu akan membolehkan perbelanjaan pembelian yang keseluruhannya bernilai RM1.67 bilion disalurkan untuk projek lain yang boleh memberi faedah secara langsung kepada rakyat tanpa kerajaan membuat sebarang pinjaman baru.
“Keputusan telah dibuat pada Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan saya pada 13 Oktober lalu supaya Eurocopter tidak dibeli pada waktu ini sebab kita memerlukan peruntukan ini untuk membiayai banyak projek lain yang boleh memberi kesan berganda kepada rakyat.
“Ini bukan bermakna kita langsung tidak mahu membeli helikopter pengganti Nuri. Keputusan pembelian helikopter baru akan dibuat selewat-lewatnya sebelum 2011 atau lebih awal, bila kedudukan kewangan membolehkan kita beli.
“Ini termasuk kemungkinan membelinya dalam jumlah sedikit terlebih dahulu,” kata Abdullah kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di sini hari ini.
Dengan keputusan menangguhkan pembelian Eurocopter, kata Perdana Menteri, semua 28 helikopter Nuri sedia ada perlu sentiasa dibaik pulih supaya selamat digunakan memandangkan sebarang pembelian baru akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum bekalan diterima.
Abdullah menjelaskan, keputusan tersebut tiada kaitan dengan dakwaan beberapa pihak bahawa wujud penyelewengan dalam pengeluaran tender projek itu termasuk dakwaan Eurocopter menawarkan kemudahan membaik pulih helikopter di Subang, Selangor bernilai RM250 juta.
“Saya tidak percaya berlaku penyelewengan kerana pemilihan Eurocopter dilakukan melalui tender terbuka dan banyak syarikat terlibat. Terpulang kepada syarikat terbabit untuk menawarkan apa sahaja pakej sampingan yang ingin diberi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, penangguhan tersebut tidak akan merugikan kerajaan kerana pembelian masih pada peringkat pengeluaran surat hasrat yang tidak memerlukan kerajaan membayar apa-apa pampasan jika berlaku penangguhan.
“Pada masa ini kerajaan belum memaklumkan secara rasmi kepada pihak berkenaan (Eurocopter dan kerajaan Perancis) berhubung penangguhan ini.
“Kita juga belum membuat keputusan sama ada helikopter baru yang akan dibeli sebelum 2011 nanti akan melibatkan tender baru atau terus memilih Eurocopter,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan, semua pihak tidak harus membuat andaian bahawa negara akan menghadapi kegawatan ekonomi berikutan langkah penangguhan tersebut kerana kemungkinan itu tidak akan berlaku.
Ditanya sama ada penangguhan berkenaan akan menyebabkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bakal diadakan esok bagi mengkaji pembelian helikopter itu akan dibatalkan, Abdullah berkata, mesyuarat berkenaan boleh diteruskan.
“Perkara ini telah diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya PAC diberi peluang untuk menghalusi mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan cadangan untuk membeli helikopter ini.
“Mesyuarat ini pun ada baiknya. Biarlah mereka tahu apakah prosedur yang telah digunakan oleh Kementerian Pertahanan dan mengapakah akhirnya harga yang dibeli begitu tinggi, apakah sebab-sebabnya,” kata beliau
Menurut Abdullah, harga yang agak tinggi dibayar Malaysia berbanding helikopter Eurocopter yang dibeli oleh Brazil kerana helikopter yang ditawarkan mempunyai kemampuan untuk pelbagai fungsi khususnya aktiviti mencari dan menyelamat, tempur serta mengangkut anggota tentera.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Monday, October 27, 2008

Semua tunjuk berjurus.

Meluat itulah nada yang boleh kita luah kepada UMNO. Semenjak proses pencalonan jawatan-jawatan UMNO yang sedang berlangsung ini, UMNO sebenarnya tidak bekerja untuk rakyat. Hari-hari apa yang mereka perkatakan ialah tentang perebutan kuasa di antara mereka. Seolah-olah urusan UMNO itu adalah urusan hidup mati semua rakyat.

Ulasan-ulasan para pemimpin UMNO kelihatan berjurus berlaka; tak baik rasuah politik, rasuah politik tidak bermoral, jangan ugut sms kerana ia suatu yang tidak dapat diterima langsung, marilah kita berdebat kerana debat dapat menyampaikan visi dan misi perjuangan, tak perlu berdebat belum sampai masa lagi, jangan sekat ahli berjumpa pemimpin dan macam-macam ulasan.

Pak Lah marah, Dato Najib pun marah. Dr Rais lagilah berdengung, Shahidan marah rasuah politik, Syed Hamid kata dia tidak berkenan langsung, Ali Rustam pun marah, Mat Taib marah. Pendek kata semua yang bertanding tu marah politik wang termasuk Khairy, Mukhriz dan Khir Toyo.
Dalam berita TV 3 sebentar tadi Datuk Shahril Samad berdengung dapat sms ugutan agar bahagian mencalonkan gandingan tertentu bagi jawatan tertinggi UMNO kalau tidak..... Dato Najib tegur, Rais yatim minta BPR masuk siasat...alahai, Adnan Mansor bagi nasihat jangan ugut-ugut. Pendek kata kalau tanya semua calon timbalan presiden, calon naib presiden dan calon MT semuanya marah dan minta dibuat laporan kepada Jawatankuasa Dsiplin UMNO yang rongak itu. Inilah UMNO ! Mereka buat kerja tidak beretika mereka juga yang sibuk tunjuk berjurus sungguh.

Sedarkah mereka itu mereka sebenarnya kata kepada siapa ? Kerana yang bertanding itu adalah mereka itulah juga. Kalau mereka tidak buat itu semua tentulah pengikut mereka yang buat. Pengikut mereka buat atas arahan siapa ?

Kadang-kadang kita tak tahu kata-kata siapakah yang jujur dan yang boleh dipakai di antara mereka. Yang dapat pencalonan banyak, marah rasuah politik, yang dapat pencalonan sedikitpun marah juga dan yang tidak dapat langsung lagilah marah ! Mereka ini marah kepada siapa ? Adakah dalam pertandingan UMNO ini, pemimpin PKR, DAP atau PAS yang melakukan rasuah politik ? Pandir benar kelihatannya !

Sebab itulah pada pandangan saya bagi orang yang berfikiran rasional dan ikhlas, para pemimpin UMNO ini memang sudah tidak layak menjadi pemimpin. Mereka semakin merapu sama ada dalam percakapan atau tindakan. Tidak malukah mereka tuduh menuduh sesama sendiri akan perangai buruk masing-masing di khalayak ramai atau mereka sebenarnya sudah tidak ada kemaluan lagi !
Boleh percaya jugalah kata-kata Musa Hitam; UMNO dah tua !!

Pertembungan dalam UMNO, kian sengit.

Khairy Jamaluddin mencadangkan agar calon-calon Ketua Pemuda UMNO berdebat sesama mereka. Cadangan Khairy itu adalah untuk membolehkan para calon menjelaskan pendirian masing-masing dan menyatakan visi dan misi mereka. Setakat ini ketiga-tiga calon telah layak menyertai pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda iaitu Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo.
Malangnya cadangan Khairy tidak mendapat layanan Mukhriz. Maknanya Mukhriz memandang sepi cadangan tersebut dan menganggap sebagai tidak perlu. Seperti dilaporkan Utusan Online hari ini, Mukhriz berkata, soal pemilihan parti itu merupakan hal ehwal keluarga UMNO dan tidak wajar dilakukan secara terbuka.

‘‘Hal dalaman UMNO mempunyai banyak perkara tersirat dan debat sebegini mampu melemahkan parti terutama ketika parti menghadapi banyak cabaran. Lagipun tak payah debat-debat kerana para perwakilan sudah kenal rapat dengan calon dan mereka cukup matang memilih yang paling layak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Itulah calon popular Ketua Pemuda UMNO. Katanya hal dalaman UMNO mempunyai banyak yang tersirat dan debat akan melemahkan parti. Dia terlupa bagaimana pula dengan sikap ayah nya yang bukan ahli UMNO tetapi sibuk menyusun team untuk menentang orang-orang Pak Lah. Tidakkah dia banyak mendedahkan hal dalaman UMNO kepada ayahnya yang bukan orang UMNO lagi ?
Dan Mukhriz semacam sudah tahu perangkap Khairy. Khairy memang suka dan agak pandai berdebat berbanding Mukhriz yang agak lambat dalam berhujah. Bagi Mukhriz jika bersetuju bermakna memberi kelebihan kepada menantu Pak Lah itu.

‘‘Setiap calon Ketua Pemuda harus dinilai melalui track record, sifat amanah dan siapa yang dilihat sanggup berkorban untuk rakyat. Yang paling penting, secara umumnya, calon yang mengamalkan politik wang harus ditolak kerana ia akan membinasakan parti,” tegasnya.
Sindiran Mukhriz cukup berbisa apabila berkata pemuda harus menilai antaranya sifat amanah dan siapa yang sanggup berkorban untuk rakyat dan mana-mana calon yang mengamalkan politik wang harus ditolak !.
Sudah pasti Khairy terasa dengan sindiran ini dan apakah Khairy akan membiarkan dirinya dikecewakan oleh anak Mahathir? Kita tunggulah apa serang balas Khairy nanti. Pertembungan antara Mukhriz dan Khairy dalam tempoh 5 bulan yang panjang ini sudah pasti menjadikan Pemuda UMNO bagaikan retak menunggu belah ! Persoalannya apakah Abdullah akan membiarkan menantu kesayangannya tersungkur dan impian menantunya untuk menjadi PM sebelum usia 40 tahun terbantut.
Makin yakinlah saya Pakatan Rakyat akan terus mendominasi sokongan rakyat kerana UMNO kian rapuh dan akan runtuh bila-bila masa terutamanya selepas Perhimpunan Agung UMNO Mac nanti.

Turunkan harga minyak menjadi RM1.80 seliter.

Kenyataan awal Datuk Shahril Samad bahawa harga petrol mungkin akan diturunkan tidak lebih RM0.15 adalah mengecewakan. Menteri berkenaan kelihatan cuba memancing pandangan umum agar menerima hasrat beliau untuk hanya menurunkan harga petrol seminima itu. Ini jelas menggambar 'sikap pembuli dan pembelit' pemimpin-pemimpin kerajaan terhadap tuntutan rakyat.
Tidakkah menteri tersebut sedar bahawa kenaikan harga petrol yang tinggi dahulu masih menjadi fobia kepada rakyat dan beliau seharusnya bertanggungjawab untuk menghilangkan fobia tersebut. Turunkanlah harga petrol ke tahap RM1.80 seliter. Jika harga petrol diturunkan ke paras tersebut sudah pasti rakyat akan berterima kasih dengan keperihatinan kerajaan. Persoalannya apakah kerajaan khususnya Kementerian Datuk Shahril akan bersikap membela rakyat ? Atau akan menjadi pembuli rakyat yang penuh dengan putar belit?
Datuk Shahril harus sedar, turunlah berapa sen pun jika tidak mencapai sekurang-kurangnya pada harga lama RM1.92, rakyat tetap tidak akan gembira kerana kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dahulu tidak pernah rakyat terima dan persetujui. Sebab itu menurunkan harga petrol pada tahap harga RM1.80 adalah wajar.
Datuk Shahril tidak perlu bimbang penurunan harga petrol ke paras RM1.80 akan merugikan kerajaan kerana Malaysia telah mendapat Menteri Kewangan yang baru yang telah memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia akan tetap kekal stabil pada tahun-tahun akan datang !

Sunday, October 26, 2008

Begitulah cara UMNO/BN bekerja, buat masalah cuba selesai masalah, tapi kerap gagal.

Itulah cara bekerja Kerajaan UMNO/BN. Cipta masalah lepas itu cuba selesai masalah. Sementara hendak selesaikan masalah, sempat lagi cari duit. Buat sesuatu projek tanpa buat kajian. Akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa.

Dalam kecoh-kecoh parti BN bergaduh sesama sendiri ( sesama sendiri !), timbul isu kontrak sosial. Kononnya rakyat sudah tidak bersatu padu, penyelesaian perlu dicari segera, kata mereka.

Maka timbullah cadangan mengajar semula mata pelajaran Sejarah dan perlu diwujudkan mata pelajaran Kontrak Sosial. Itulah cara UMNO /BN. Bila dirasakan rakyat kononnya tidak bersatu padu, wujudkan mata pelajaran Sejarah dan Kontrak Sosial. Bila banyak kes rogol dan buang anak, wujudkan cadangan Pendidikan Seks. Bila harga barangan naik dan kononnya untuk menghadapi tekanan inflasi, wujudkan mata pelajaran kepenggunaan. Bila ramai yang terkorban di jalanraya, diadakan mata pelajaran Keselamatan Jalanraya. Bila didapati kononnya generasi muda kurang semangat patriotisme (sebenar semangat cinta UMNO) buang duit banyak-banyak dan adakan PLKN. Bila didapati pelajar lemah dalam Bahasa Inggeris wujudkan pula PPSMI dan macam-macam idea lagi yang akhirnya bukan menjadi penyelesai masalah sebalik membebankan pelajar dan tenaga pengajar dan pencetus masalah yang lebih kritikal pula.

Kadang-kadang kita pertikai semua idea-idea ini semua, bukan kerana ianya mengarut atau tidak bagus tetapi ia lebih kepada pelaksanaan yang tidak telus, penyelesaian masalah yang tidak betul dan salah dan begitu banyak membazirkan wang rakyat.

Hari ini sibuk dan riuh dengan mata pelajaran Sejarah dan Kontrak Sosial. Kalau idea tersebut bagus, buatlah dan laksanakanlah. Cuma jangan akhirnya ada udang disebalik batu. Maksud saya ada udang di sebalik batu ialah akhirnya ia bermatlamat memuja dan memuji UMNO tanpa asas yang kukuh. Saya bukan menuduh tanpa bukti. Cuba lihat mata pelajaran Sejarah yang ada, ke mana sanjungan dan pengiktirafan terhadap pejuang-pejuang tulen kemerdekaan dan kenapa dikecilkan peranan mereka yang sebenar sangat besar seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut, Ibrahim Yaakub, Ishak Muhammad, Dr Burhanuddin el-Helmi, Ustaz Abu Bakar Baker, Samsiah Fakeh, Ahmad Buestamam dan ramai lagi. Bukan mahu menafikan tapi asyik-asyik Tunku, Dato Onn, Tun Razak, Malayan Union, 13 Mei 69. Fakta lain semua jadi kecil dan kelihatan terpencil. Penuh dalam sejarah peranan UMNO semata-mata. Peranan pihak lain tidak adakah ? Kenapa digelapkan ?

Sebab itu saya katakan, apabila sesuatu program dirangka untuk perpaduan rakyat atau untuk apa -apa pun, buatlah secara ikhlas demi kesejahteraan Malaysia (bukan kesejahteraan UMNO) buat selama-lamanya. Dalam hal ini Kerajaan UMNO/BN wajar bertanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz apakah ramuan yang ampuh untuk menjamin kesejahteraan Malaysia buat selama-lamanya. Tuan Guru sudah pasti ada formulanya dan UMNO jangan terlalu ego sampai tidak boleh menerima nasihat.

Apakah yang boleh diharap dengan wawasan ini ?

Sewaktu diwawancara oleh Blooomberg TV, bakal katanya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan wawasan beliau sebagai katanya, bakal peneraju Malaysia, ingin membawa Malaysia ke tahap pembangunan seterusnya dengan memberi penekanan bukan sahaja terhadap aspek fizikal tetapi juga untuk mewujudkan transformasi terhadap negara ini.

Beliau menambah kata, "Bukan saja daripada segi pertumbuhan KDNK, tapi kami juga ingin membina negara Malaysia yang lebih kukuh, yang mempunyai institusi serta nilai dan rakyat yang lebih mantap, di samping mampu memenuhi harapan rakyat yang lebih tinggi untuk masyarakat yang lebih progresif matang dan canggih."

Apakah sebenarnya yang boleh rakyat harapkan dengan wawasan di atas?

Persoalan yang kabur ialah apakah 'tahap pembangunan seterusnya' yang menjadi maksud Najib dan apakah perubahan-perubahan dalam usaha, 'untuk mewujudkan transformasi terhadap negara'.

Najib juga mahu membina Malaysia yang mempunyai institusi dan nilai. Apakah yang dimaksudkan oleh Najib 'mempunyai institusi ' . Dan 'nilai' yang berasaskan apa yang Najib mahukan menjadi amalan rakyat ?
Persoalan yang serius, apakah kita mampu mengharapkan Najib, meletakkan Badan Pencegah Rasuah di bawah kuasa dan mandat Parlimen, menghapuskan ISA, menubuhkan Suruhanraya Perlantikan Hakim yang benar-benar bebas dari pengaruh seorang Perdana Menteri (?), agensi-agensi dan penguatkuasa kerajaan yang bersih, cekap dan amanah yang berasaskan nilai-nilai agama dan berintegriti ?

Semuanya kelihatan kabur dan penuh dengan retorik, kerana Najib sebenarnya seperti juga pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, menghadapi krisis kredibiliti dan integriti yang serius. Jika itu keadaannya, sudah nampak bayangan bahawa Malaysia di zaman Najib juga tidak akan ke mana. Lebih teruk, mungkin !