Walaupun isu ini sudah begitu banyak dirungut dan diperkatakan namun sekali lagi saya sebagai ibubapa/penjaga, benar-benar berharap pihak kerajaan khususnya kementerian Pelajaran kembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Sudah begitu banyak rungutan dari masyarakat, ngo, ibubapa malah para pelajar sendiri mengenai hal ini. Kenapa pihak kementerian masih berlengah dan masih sibuk dengan hendak membuat kajian kepada satu dasar yang jelas menyusahkan dan mampu menggagalkan jati diri anak-anak watan kita.
Walaupun ada jaminan dari pihak Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula dasar ini tetapi, rakyat terbanyak khususnya masyarakat Melayu masih tidak yakin dengan jaminan tersebut selagi tiada keputusan yang jelas dan muktamat untuk mengembalikan kepada pengajaran sains dan matematik kepada situasi asal dahulu yang telah berjaya melahirkan ramai para profesional Melayu.
Jangan sampai putus akal, persoalan kelemahan bahasa Inggeris tidak wajar sama sekali d kaitkan dengan pengajaran Sains dan Matematik. Saya selaku ibubapa tetap berpendapat bahawa kegagalan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah adalah kerana perkara dasar pengajaran dan kurikulum Bahasa Inggeris itu sendiri. Mustahil seorang pelajar yang telah belajar bahasa Inggeris dari tadika masuk tahun satu sampai tahun enam kemudian ke sekolah menengah selama 5 atau 7 tahun, akhirnya keluar sebagai pelajar sekolah yang gagal berbahasa Inggeris dengan fasih. Masuk pula ke universiti dan keluar masih tak mampu menguasai bahasa Inggeris. Di manakah silapnya ? Adakah pelajar-pelajar Malaysia ini semuanya bodoh atau benak belaka ? Ini berlaku bukan di satu tempat sahaja yang mungkin boleh di persalahkan kepada proses pengajaran guru tetapi berlaku di seluruh negara.
Perkara inilah yang perlu diberi perhatian oleh pakar-pakar di KPM. Jangan asyik memberi data yang tidak berfaedah setiap tahun konon setiap kali keluar keputusan peperikasaan awam keputusan mata pelajaran bahasa Inggeris meningkat !! Sedarkah KPM, apakah data-data tersebut menceritakan sesuatu yang ikhlas seikhlasnya mengenai keadaan sebenar penguasaan BI atau ia semata-mata untuk meransang sokongan kepada Menteri yang hendak bertanding dalam jawatan politik? Ikhlaslah terhadap kualiti ilmu untuk anak-anak watan kita. Jangan peralatkan mekanisma yang ada untuk kepentingan tertentu.
Kesimpulannya, saya tetap mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan modul kurikulum BI KPM dan kaedah pembelajaran serta penilaiannya yang mesti diubah bersifat mudah amal dan realistik oleh para pelajar di semua latar belakang sosio ekonomi. Cukup setakat ini dahulu sebelum saya menyambung lagi nanti.