Followers

Friday, December 19, 2008

UMNO telah meminggirkan Bahasa Melayu -Hassan Ahmad

(Di sini saya petik kembali keseluruhan wawancara Suara Keadilan (SK) 17-24 Dis 2008 dengan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu yang juga bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad (HA)untuk menjadi renungan bersama)

SK: Apakah kesan dasar kerajaan terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sejauh mana penghakisan statusnya sebagai bahasa rasmi ?

HA: Setiap rakyat Malaysia mesti tahu bahawa Bahasa Melayu adalah salah satu daripada bahasa yang termaju di dunia sejak 1,000 tahun dahulu. Ia adalah antara lima sahaja bahasa ibunda di dunia sekarang yang dijadikan bahasa rasmi negara isitu bahasa-bahasa Inggeris, Cina, Hindi dan Sepanyol, dan Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 280 juta penduduk di seluruh dunia.
Saya kesal kerana dasar kerajaan sejak tahun 1990an terutamanya pemimpin UMNO telah meminggirkan bahasa Melayu. Ini kerana pemimpin Melayu yang membuat dasar sedemikian tidak cerdik dan sebab itu mereka tidak menentang apabila pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik ditukar daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.
Ini telah memberi kesan yang amat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pemimpin Melayu yang ada sekarang tidak ada ‘sense of proportion’ kerana mereka hanya akan terpekik terhadap isu-isu kecil tetapi membisu berhadapan isu besar dan kritikal.
Mereka tidak berpandangan jauh ke hadapan dan tidak mampu berhujah mempertahankan sesuatu isu yang mempunyai kepentingan Melayu secara bijak berdasarkan fakta dan sejarah.
Pendek kata kita tidak ada pemimpin Melayu yang kredibel, professional, intelektual dan bijaksana.

SK: Mengapa situasi ini berlaku ?

HA: Mereka buta sejarah. Bangsa Melayu sudah bernegara sejak abad ke 14, kalau berdasarkan sejarah era Islam dan lebih 1,000 tahun kalau dikira daripada Empayar Srivijaya. Pemimpin UMNO kata kita sebagai sebuah bangsa telah merdeka sejak 50 tahun dahulu, pendapat ini amat salah kerana Melayu sudah ada kerajaan dan negara sejak lebih 10 kurun dahulu.
Kita dijajah oleh tiga bangsa Eropah iaitu Portugis, Belanda, Inggeris secara terus menerus tetapi system raja Melayu kekal, bahasa, budaya dan sastera Melayu masih unggul. Kita tidak menjadi seperti kaum Red Indian di Amerika. Fakta ini sahaja membuktikan ada sesuatu kekuatan luar biasa dalam budaya Melayu.
Keadaan haru biru sekarang berlaku kerana pemimpin Melayu bukan lagi pemimpin yang berjiwa Melayu yang membawa bangsa kearah kemajuan. Ide mereka bercampur aduk dengan konsep pasca colonial seperti sistem pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Dasar pendidikan kita mengamal dasar berpecah di mana kita ada sekolah kebangsaan, Inggeris, Cina dan Tamil. Inilah yang menybebakan jurang perkauman bertambah lebar.

SK: Jadi apa yang patut kita lakukan ?

HA: Kita mesti kembalikan kemuliaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Sebab itu kita namakan ia sebagai bahasa kebangsaan selepas merdeka kerana kita mahu ia menjadi bahasa untuk kepentingan negara bukan perkauman hatta bangsa Melayu sekalipun. Kita mesti tolak mana-mana kelompok yang memperjuangkan kepentingan kaum semata-mata samada ada Melayu, Cina atau Tamil. Yang penting hanya agenda nasional, lain daripada itu kita mesti tolak. Di sebabkan pelaksanaan yang lemah kerana pemimpin lebih mementingkan poltik perkauman masing-masing kita ubah satu system yang baik. Hasilnya wujudlah dasar seperti Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang menurut satu kajian akan memberi kesan amat buruk kepada lebih 500,000 pelajar Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan di kawasan pedalaman dan kampung.

SK: Apa pendapat Datuk mengenai dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan dan juga pendekatan Pakatan Rakyat dalam isu Bahasa Melayu ?

HA: Walaupun saya bukan orang Pakatan Rakyat tetapi saya bersetuju dengan dasar beliau yang mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai asas pembentukan negara bangsa Malaysia dan juga asas kepada institusi kebangsaan lain seperti system beraja, pendidikan, perundangan dan sebagainya. Dalam pada itu Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua hendaklah diajarkan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa itu harus diperbaiki supaya anak-anak kita mahir bagus dalam bahasa itu. Yang kita tolak bukan Bahasa Inggeris tetapi kita tolak gaya bahasa yang kembali ke arah bahasa penjajahan. Umpamanya jika pemohon jawatan di sector swasta tidak layak mendapat kerja sebab tidak fasih bertutur Bahasa Inggeris maknanya bahasa itu sudah menjajah atau menjadi bahasa penjajah di negara ini. Kita menggunakan Bahasa Inggeris sebagai alat membantu mencari ilmu dan selepas mendapat ilmu itu kita terjemahkanlah ia ke dalam bahasa kita.

SK: Bagaimana pula dengan masa depan Bahasa Melayu ?

HA: Dari segi geografi, budaya dan politik, Bahasa Melayu sukar hendak musnah tetapi di Malaysia, Bahasa Melayu nampaknya bakal menjadi bahasa kedua dalam proses pembangunan negara, setakat menjadi bahasa perpaduan sahaja. Kita menentang trend ini. Dalam arus pembangunan negara Bahasa Melayu hanya akan jadi bahasa biasa, bahasa rojak dan bahasa pasar.
Akhirnya orang Melayu tidak pandai dalam bahasanya sendiri, kita jadi seperti Jamaica, Papua New Guinea dan Haiti. Jika kita tengok bagaimana menteri Melayu menjawab kalau disoal dalam Bahasa Melayu oleh wartawan.
Dia akan menjawab dalam Bahasa Inggeris atau bercampur-campur, bermakna dia tidak dapat berfikir dalam bahasanya sendiri. Jadi orang Melayu menjadi bangsa yang tidak mampu berfikir secara kreatif.
Kita lihat sahaja kepada ribuan peribahasa Melayu yang ada. Setiapnya mempunyai ilmu dan mesej yang dalam yang diwariskan oleh orang Melayu dahulu, Melayu yang tidak belajar bahasa Inggeris, tetapi mampu menghasilkan pemikiran yang amat tinggi.
Bahasa Melayunya tidak salah dan tatabahasanya tepat. Misalnya “alah membeli menang memakai”, konsep Melayu mengenai konsumerisme yang hebat disampaikan secara halus dan berseni.
Malangnya system pendidikan kita tidak mengajar budaya bahasa, Cuma mengajar tatabahasa Bahasa Melayu. Orang Melayu sudah tidak mahir lagi memahami secara kiasan peumpamaan simbolik.
Sebab itu ada di antara mereka dalam Parlimen hanya pandai maki hamun. Tidak ada yang keluar daripada mulut mereka kata-kata berhikmah kerana mereka tidak lagi guna Bahasa Melayu sebagai bahasa pemikiran.

SK: Mengapa UMNO mengambil sikap dan mengamalkan dasar yang merugikan Bahasa Melayu ?

HA: UMNO ubah dasar bahasa pengantar atas tiga alasan yang saya anggap melucukan dan bodoh. Pertama, kalau hendak maju dalam Sains dan Matematik, mesti belajar dalam Bahasa Inggeris bukan Bahasa Melayu. Ini menghina bahasa dan bangsa Melayu. Negara Cina maju dalam bahasanya, menghantar angkasawan mereka dengan roket dalam Bahasa Cina, Rusia pun sama. Jepun maju dalam bahasa mereka sendiri. Ini adalah bukti yang menolak teori UMNO.
Kedua, kalau hendak mahir Bahasa Inggeris belajarlah melalui Sains dan Matematik. Sepatutnya belajar matametik tidak perlu sebarang bahasa khususpun. Saya bertemu ramai pemegang ijazah PhD yang balik dari Amerika, belajar Matematik dan Sains tetapi cakap Bahasa Inggeris pun berterabur.
Ketiga, ada menteri UMNO cakap apa hendak dibisingkan sangat hanya pasal dua mata pelajaran sahaja. Yang mereka tidak sedar dan jahil sebenarnya sejumlah 89 subjek yang berasaskan Sains dan Matematik terlibat dalam perubahan dasar ini.
Kalau ini dibiarkan terus berlaku Bahasa Malayu tidak lagi akan menjadi bahasa ilmu.

3 comments:

Anonymous said...

Saya setuju dengan pendapat saudara, bahasa Melayu mempunyai sejarah dan kemampuan yang untuk mengepalai semua bidang, dari segi sains, matematik, perdagangan dan semuanya. Yang menjadi masalah adalah orang kita sendiri yang tidak yakin pada bahasa mereka. Contoh yang jelas dalam perniagaan, kenapa perlu dua peniaga Melayu berbincang dan berutus surat sebut harga atau tender dalam bahasa Inggeris? Adakah ayah ibu mereka mat salleh? Tidak, ibu bapa mereka Melayu, makan budu, sambal, tetapi tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam perniagaan mereka, mereka tidak sedar, kerajaan Melaka dulu berkembang kerana perniagaan dan bahasa yang digunakan di perlabuhan Melaka adalah bahasa Melayu, nah! perlabuhan antarabangsa yang dikunjungin oleh peniaga-peniaga seluruh dunia, baik Cina, Arab, India, Eropah, menggunakan bahasa Melayu di sana sebagai bahasa urusniaga, keyakinan apa lagi yang mereka tunggukan?

Saya seorang peniaga, jika urusan dengan orang Melayu saya akan cuba untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua bidang, baik surat, email, sebut harga, kontrak dan lain-lain.

Saya hanya akan menggunakan bahasa Inggeris apabila berurusan dengan peniaga bukan Melayu atau luar negara. Mulanya saya sendiri agak kekok, tetapi lama kelamaan ia menjadi kebiasaan. Kita tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita boleh mengubah diri kita sendiri.

Anonymous said...

Saya sangat sedih kerana setelah 52tahun merdeka bangsa Melayu masih berjiwa kecil dan merendah diri, malu dengan diri sendiri!UMNO denga Kamal Ataturk kelihatan macam serupa walapun tak sama. Kamal Ataturk kata nak maju buang Islam, UMNO kata nak maju buang segala indentiti Melayu !! Sama le tu !!

Awang Kata said...

Sampai bila pun UMNO tetap perjuangkan keinggerisan. UMNO berjiwa Inggeris, sebab itu UMNO terus kekalkan namanya singkatan kata Inggeris. Walau berapa tahun pun merdeka bahasa Inggeris akan tetap dipuja UMNO.