Followers

Friday, November 28, 2008

Bahasa Melayu mesti diperkasakan.

Sebagai seorang yang mencintai Bahasa Melayu dan sedih melihat Bahasa Melayu dikerdilkan oleh pemimpin Melayu sendiri yang mendakwa sebagai pembela Melayu, saya membangkitkan sekali lagi isu PPSMI.
Tun Dr Mahathir sekali lagi bersuara menentang pemberhentian dasar PPSMI yang dicetuskan zaman beliau itu. Memang itu adalah gaya Tun, beliau seorang yang pantang orang usik atau nilai semula apa yang telah dilakukan di zaman beliau walaupun perkara yang dilakukan itu boleh merosakkan. Beliau bukan peduli bahasa Melayu, yang beliau peduli yang dia buat jangan kacau, teruskan juga.
Semasa zaman Tun Mahathir hendak laksanakan PPSMI dulu ramai yang tidak bersetuju tetapi oleh kerana kerasnya pemerintahan Tun, semua terpaksa setuju dan semu terpaksa memuji dasar itu sebagai satu langkah yang positif. Yang menentang pada waktu itu hanya dari kumpulan dan pengikut pembangkang yang dianggap sebagai musuh negara.
Tun kata kalau tidak cukup guru untuk mengajar PPSMI, gunakan komputer. Itulah pemikiran Tun Mahathir. Benda disuruh guna untuk mengajar manusia! Itulah sebabnya anak dia Marina, tak sudah-sudah tentang pengharaman Yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Baru-baru ini Menteri Pelajaran juga memuji PPSMI dan katanya terbukti keputusan UPSR baik semenjak Dasar PPSMI dilaksanakan. Ini adalah petanda awal puak-puak ini memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap tentangan pejuang-pejuang dan pencinta-pencinta Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Saya sangat yakin dengan ulasan-ulasan yang berbunyi seperti itu Dasar PPSMI akan tetap diteruskan. Percayalah kita, apabila dasar ini diteruskan Bahasa Melayu akan hilang kekuatan sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu akan beransur-ansur menjadi bahasa pasar satu suku kaum terbesar di Malaysia , itu sahaja tarafnya nanti. Malang sungguh bagi umat Melayu, usaha dan asas yang diletakkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan dimusnahkan oleh para pemimpin Melayu sendiri (UMNO). Secara peribadi saya sangat kecewa.
Satu perkara lagi yang seharusnya menjadi ingatan kita ialah apabila dasar ini diteruskan pejuang dan pencinta bahasa Melayu yang terdiri dari sasterawan, budayawan, seniman, penyair dan pengguna ilmiah bahasa Melayu akan beransur-ansur lenyap dari bumi Melayu ini. Ini bukan dakwaan yang keterlaluan kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang mudah lupa.
Bagi diri saya jati diri orang Melayu ialah Islam dan yang kedua ialah Bahasa Melayu. Dalam keadaan semakin ramai umat melayu terhakis aqidahnya, bahasanya juga telah dikerdilkan. Apakah lagi bangsa Melayu pada waktu itu ? Ya bangsa yang telah hilang jati dirinya. Siapa nak segan dan siapa nak pandang ?
Dengan sebab itu seluruh umat Melayu harus bangkit melahirkan tentangan secara padu menggunakan tindakan politik jika sekira Dasar PPSMI ini diteruskan. Jika mahu memperkembangkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu bukan dengan memperkerdilkan Bahasa Melayu. Bukan itu caranya. Bahasa Melayu wajib diperkasakan.

No comments: