Followers

Saturday, September 13, 2008

PPSMI

Walaupun isu ini sudah begitu banyak dirungut dan diperkatakan namun sekali lagi saya sebagai ibubapa/penjaga, benar-benar berharap pihak kerajaan khususnya kementerian Pelajaran kembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Sudah begitu banyak rungutan dari masyarakat, ngo, ibubapa malah para pelajar sendiri mengenai hal ini. Kenapa pihak kementerian masih berlengah dan masih sibuk dengan hendak membuat kajian kepada satu dasar yang jelas menyusahkan dan mampu menggagalkan jati diri anak-anak watan kita.
Walaupun ada jaminan dari pihak Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula dasar ini tetapi, rakyat terbanyak khususnya masyarakat Melayu masih tidak yakin dengan jaminan tersebut selagi tiada keputusan yang jelas dan muktamat untuk mengembalikan kepada pengajaran sains dan matematik kepada situasi asal dahulu yang telah berjaya melahirkan ramai para profesional Melayu.
Jangan sampai putus akal, persoalan kelemahan bahasa Inggeris tidak wajar sama sekali d kaitkan dengan pengajaran Sains dan Matematik. Saya selaku ibubapa tetap berpendapat bahawa kegagalan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah adalah kerana perkara dasar pengajaran dan kurikulum Bahasa Inggeris itu sendiri. Mustahil seorang pelajar yang telah belajar bahasa Inggeris dari tadika masuk tahun satu sampai tahun enam kemudian ke sekolah menengah selama 5 atau 7 tahun, akhirnya keluar sebagai pelajar sekolah yang gagal berbahasa Inggeris dengan fasih. Masuk pula ke universiti dan keluar masih tak mampu menguasai bahasa Inggeris. Di manakah silapnya ? Adakah pelajar-pelajar Malaysia ini semuanya bodoh atau benak belaka ? Ini berlaku bukan di satu tempat sahaja yang mungkin boleh di persalahkan kepada proses pengajaran guru tetapi berlaku di seluruh negara.
Perkara inilah yang perlu diberi perhatian oleh pakar-pakar di KPM. Jangan asyik memberi data yang tidak berfaedah setiap tahun konon setiap kali keluar keputusan peperikasaan awam keputusan mata pelajaran bahasa Inggeris meningkat !! Sedarkah KPM, apakah data-data tersebut menceritakan sesuatu yang ikhlas seikhlasnya mengenai keadaan sebenar penguasaan BI atau ia semata-mata untuk meransang sokongan kepada Menteri yang hendak bertanding dalam jawatan politik? Ikhlaslah terhadap kualiti ilmu untuk anak-anak watan kita. Jangan peralatkan mekanisma yang ada untuk kepentingan tertentu.
Kesimpulannya, saya tetap mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan modul kurikulum BI KPM dan kaedah pembelajaran serta penilaiannya yang mesti diubah bersifat mudah amal dan realistik oleh para pelajar di semua latar belakang sosio ekonomi. Cukup setakat ini dahulu sebelum saya menyambung lagi nanti.

1 comment:

Cikgu Wahab: said...

Saya bersetuju dengan sdr. bahawa memang ada sesuatu yang tidak kena. Sukar sangatkah untuk belajar Bahasa Inggeris?. Sehingga berbelas tahun belajar (atau diajar)pun tidak pandai Bahasa Inggeris.{1

Pihak yang terlibat perlu merancang dengan teliti. Jangan "sekadar ada" atau "orang lain buat kita pun boleh buat".{2

Kadang-kadang ada pakar tertentu pergi ke luar negara dan melihat kejayaan negara yang dilawati melaksana sesuatu projek pendidikan. Maka idea itu dibawa balik, dicadangkan supaya dilaksanakan tanpa perancangan yang teliti dan kesesuaian pelaksanaannya di negara ini. {3

Selagi pengajaran Bahasa Inggeris "berorientasikan peperiksaan", selagi itulah majoriti pelajar tidak dapat menguasainya. Saban tahun berapa ramai pelajar yang di"write-off" kerana dianggap tidak mampu menguasai BI. Biarlah mereka gagal BI kerana subjek itu dianggap tidak penting dan tidak menjejaskan keputusan peperiksaan.{4

Suatu ketika dulu apabila dijadikan matapelajaran Matematik sebagai syarat wajib untuk lulus SRP, ramai pula yang boleh belajar dan menguasai matapelajaran matematik. Walaupun sebelum diwajibkan, matematik memang "gawat".Barangkali jika matapelajaran BI dijadikan syarat wajib untuk lulus UPSR, PMR, SPM dan STPM maka barulah matapelajaran BI itu dapat dikuasai.{5

Hal ini barangkali dapat dikaitkan dengan sikap. Dalam keadan gawat, terdesak atau dalam keadaan 'hidup atau mati" barulah kita akan bersungguh-sungguh. {6

Sebenarnya tidaklah sukar belajar BI kalau kena caranya. {7

Dan apakah yang diharapkan daripada PPSMI? {8